Saturday, December 21, 2013

Jual Aset Negara Tutup Gagal Tadbir Ekonomi -Rafizi Ramli.



KL: Pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak dilaporkan akan mengambil jalan menjual aset negara dan menerbitkan lebih banyak sekuriti hutang dari aset-aset negara semata-mata untuk menutup kegagalan pentadbiran ekonomi dan mencapai sasaran defisit yang ditetapkan, dakwa Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Memetik laporan terkini dari Bank Dunia, beliau menyifatkan langkah ini sebagai ‘cukup mengejutkan’ kerana pentadbiran Najib  sudah sampai ke peringkat menjual aset negara dan mencagarkan harta-harta negara (melalui securitization of government mortgages) untuk menampung keborosan dan pembaziran kerajaan.

Laporan bertajuk  “Malaysia Economic Monitor: December 2013” pada mukasurat 10 menyatakan:

“… the government reaffirmed its headline deficit target for 2013 (4.0% of GDP vs 4.5% in 2012). This target will be achieved through additional tax revenues (Figure 13). Of the additional RM11.8 billion in revenues expected to be raised compared to budgeted estimates, RM7.4 billion originated from non-tax sources, including RM1.4 billion of proceeds from asset sales and RM4.2 billion from the securitization of government mortgages…”

Rafizi mengesyakki bahawa rancangan menjual aset negara ini telah pun berlaku kerana ia bertujuan mencapai sasaran defisit 4% bagi 2013 yang sebenarnya telah gagal.

“Ini bermakna, harta-harta negara ini telah pun dijual dan digadai supaya hasilnya itu diperolehi dalam tahun 2013 untuk menutup jurang pendapatan dan perbelanjaan negara.

“Saya memandang serius perkara ini dan akan menggesa satu sidang Parlimen tergempar dipanggil secepat mungkin untuk membincangkan kepincangan pentadbiran ekonomi Dato’ Seri Najib Tun Razak yang meliputi isu-isu kenaikan harga barang mendadak dan tindakan menjual dan mencagarkan aset negara seperti yang didedahkan di dalam laporan Bank Dunia.

“Perkara ini akan saya bawa dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan malam ini (semalam) supaya permohonan sidang tergempar Parlimen boleh dibuat secepat mungkin,” ujarnya.

Menurut beliau, PKR telah berkali-kali menegaskan bahawa untuk menurunkan defisit, reformasi ekonomi yang menyeluruh perlu dibuat, bermula dengan mengekang rasuah dan keborosan.

Langkah ini, jelasnya akan mengurangkan belanja yang ditanggung rakyat setiap tahun kerana pendapatan yang diperolehi negara adalah mencukupi.

Malah tambahnya, dengan penjimatan dalam perbelanjaan kerajaan, PKR yakin sasaran defisit yang lebih rendah iaitu 3.5% boleh dicapai seperti yang diunjurkan di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat.

“Keengganan Dato’ Seri Najib Tun Razak memotong perbelanjaan boros kerajaannya menyebabkan beliau mencari jalan yang menekan rakyat.
“Kenaikan harga barang, pengurangan subsidi, kenaikan tarif dan yang terkini kenaikan tol adalah berpunca dari kegilaan Dato’ Seri Najib Tun Razak mahu mencapai sasaran defisit tetapi tidak mahu membanteras rasuah,” tegas beliau. (IH)

No comments:

Post a Comment