HALAMAN HIBURAN
BUKAN dibuat secara suka-suka. Sebaliknya, Konsert Siri Jelajah Blues
Buat Teman penyanyi, Datuk Ramli Sarip dibuat demi membantu teman-teman
seperjuangan yang sedang menderita sakit iaitu Yazid Ahmad (Search) dan
Hamid (Black Dog Bone).
Konsert jelajah itu akan bermula di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada
19 Januari 2014, diikuti dengan sembilan negeri lain seperti Sarawak
(14 Februari), Sabah (16 Februari), Pulau Pinang (23 Februari), Perak (1
Mac), Terengganu (7 Mac), Kelantan (8 Mac), Melaka (14 Mac), Johor (28
Mac) dan Singapura (29 Mac).
Mula merancang setahun yang lalu, ulas Ramli, idea untuk menghasilkan
konsert itu timbul selepas mendengar album Alive (2000) yang dirakamkan
semula pada tahun ini. Sepanjang lebih 40 tahun karier Ramli, album Alive (2000) adalah
antara album yang dirakam dalam bentuk digital. Ia juga antara album
yang sangat dihargai Ramli, langsung ia diterbitkan semula pada tahun
2013 dengan judul Ramli Sarip Live 2000.
“Allahyarham Samad Mian, Yazid dan Hamid terbabit dalam pembikinan
album tersebut. Saya tersentuh bila mendengar dan melihat gambar-gambar
rakan yang sudah pergi dan juga yang sedang sakit dalam album ini.
“Disebabkan itu, saya mula terdetik untuk menghasilkan konsert siri
jelajah ini demi memberi bantuan kepada mereka,” jelasnya yang bakal
menyanyikan lagu-lagu daripada album pertamanya sehingga ke album
bersama Sweet Charity untuk konsert jelajah itu nanti.
Sementara itu, disoal mengenai stamina Ramli yang masih hebat di atas
pentas pada usia 61 tahun, luah Ramli, ia adalah anugerah daripada
Allah dan juga disiplin hidup yang diamalkan sejak dulu lagi.
Bagi Ramli juga, tiada istilah berhenti daripada menyanyi. Selagi ada hayat, katanya, dia akan terus menyanyi.
Diminta mengulas mengenai nasib-nasib pemuzik yang dilanda kesempitan
hidup, ulas Ramli, bukan pemuzik sahaja malah ada juga pelakon yang
mengalami nasib yang sama. Apa yang penting, ujarnya, disiplin dan usaha keras dalam setiap pekerjaan.
“Selain jaga kerja dan disiplin, kita juga kena banyak bersyukur. Moga rezeki yang diperoleh diberkati,” tuturnya lagi.
Maklumat mengenai pembelian tiket boleh dibuat menerusi laman web www.ilassotickets.com atau hubungi talian 013-698 2336.
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Alhamdulillah saudara Ramli Sarip!
Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Nabi SAW, baginda telah bersabda:
"Barangsiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan
daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya
daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan kiamat.
Barangsiapa
yang mempermudahkan bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan
baginya di dunia dan di akhirat.
Barangsiapa yang menutup keaiban
seorang muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di dunia dan
akhirat.
Allah sentiasa bersedia menolong hambaNya selagi mana dia suka
menolong saudaranya.
Barangsiapa yang melalui suatu jalan untuk menuntut
ilmu, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya suatu jalan menuju ke
syurga.
Sesuatu kaum tidak berkumpul di salah sebuah rumah-rumah Allah
(iaitu masjid) sambil mereka membaca Kitab Allah dan mengkajinya sesama
mereka melainkan suasana ketenangan akan turun ke atas mereka, rahmat
akan melitupi mereka dan mereka akan di kelilingi oleh para malaikat dan
Allah akan menyebut (perihal) mereka kepada orang-orang yang berada di
sisiNya.
Barangsiapa yang terlambat amalannya, nescaya nasab
keturunannya tidak mampu mempercepatkannya." (
Hadis Riwayat Muslim)
Huraiannya :
1. Barangsiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan
daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya
daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan kiamat.
lslam adalah agama tolong menolong, bantu membantu dan saling
memperkuat antara satu sama lain. lslam menggalakkan umatnya agar selalu
melepaskan saudaranya yang dalam kesempitan dunia, yang berada dalam
kesusahan hidup. Faktor inilah merupakan teras kekuatan umat lslam dan
rahsia besar kegemilangan tamadun lslam yang silam.
Allah SWT memberi jaminan bahawa Dia akan memberi pertolongan kepada
sesiapa dikalangan hamba-Nya dihari akhirat nanti. Kesusahan diakhirat
adalah seperti berada kepanasan diPadang Mahsyar (mendapat perlindungan
Arasy), menerima Buku Catatan (mendapat buku catatan di tangan kanan),
Timbangan Amal {Mizan} (akan di pereksa dengan pemereksaan yang mudah)
dan Titian Siratul Mustakim (melalui titian seperti kilat atau angin
kencang). Pertolongan yang paling besar sekali adalah mendapat keampunan
Allah SWT dan dimasukkan ke dalam syurga-Nya dengan rahmat-Nya.
2. Barangsiapa yang mempermudahkan bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di akhirat.
Membantu orang yang susah dengan pemberian sedekah akan mendapat
banyak kebaikan di dunia dan akhirat seperti hadis Nabi SAW riwayat Amru
bin Auf r.a..
Dari Amru bin Auf r.a katanya Rasulullah SAW bersabda:
- “Sesungguhnya
sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati
dalam keadaan teruk (su'ul khatimah) dan Allah SWT pula menghapuskan
dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari
pemberiannya).” (Hadis Riwayat Bukhari)
Setiap pemberian sedekah akan diberikan ganjaran pahala sekiranya
dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata. Bahkan fadhilat atau
kelebihan bersedekah adalah meliputi dunia dan akhirat. Faedah sedekah
di dunia adalah seperti seseorang itu akan dimurahkan rezekinya oleh
Allah, terhindar daripada bala bencana, dipanjangkan umur, mencegah
daripada kematian yang buruk di mana orang yang selalu bersedekah akan
dilindungi daripada ditimpa kemalangan yang menyebabkan kematian dalam
keadaan yang ngeri atau mati dalam keadaan tidak beriman (su’ul
khatimah).
Dengan memberi sedekah itu sebenarnya membawa rahmat di samping
menghapuskan sifat sombong, takbur dan menunjuk-nunjuk dengan
pemberiannya.Manakala faedahnya di akhirat pula ialah seseorang itu akan
mendapat naungan Arasy daripada panas terik di Padang Mahsyar dan
mendapat pendinding daripada api neraka.
3. Barangsiapa yang menutup keaiban seorang muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
- “Sesungguhnya orang yang ingin agar
(berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang beriman,
bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah
mengetahui, sedang, kamu tidak mengetahui”. (Surah An-Nuur ayat 19)
Dalam riwayat yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya :
- “Siapa menutup
aib seseorang Islam, maka Allah akan tutupkan aibnya di dunia dan di
akhirat. (Hadis riwayat Tirmidzi).
4. Allah sentiasa bersedia menolong hambaNya selagi mana dia suka menolong saudaranya.
Firman Allah SWT maksudnya :
- ‘Tolong-menolonglah kamu dalam perkara
kebaikan dan ketakwaan, dan jangan sekali-kali kamu memberi pertolongan
di atas perkara kejahatan dosa yang membawa kepada perseteruan, dan
takut olehmu akan Allah. Sesungguhnya Allah akan mengenakan seksaan yang
amat dasyat’. (Surah Al-Maidah ayat 2)
Begitulah hendaknya dalam kerukunan hidup di dunia, sentiasa memberi
pertolongan kepada yang memerlukan semoga Allah memberi pertolongan
kepada orang yang bersifat pemurah agar dia mendapat kelapangan di dunia
dan akhirat. Pertolongan beginilah yang dituntut oleh syariat Islam
supaya hidup ummah sentiasa terjamin dan kukuh melalui tolong-menolong
serta mengeratkan persaudaraan dan merapatkan silatulrahim yang disertai
ganjaran pahala dari Allah yang tidak terhingga.
5. Barangsiapa yang melalui suatu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya
Allah akan mempermudahkan baginya suatu jalan menuju ke syurga.
llmu adalah cahaya menuju ke syurga. Barangsiapa yang menuntut ilmu,
dengan niat ikhlas, Allah SWT menjanjikan baginya kemudahan menuju jalan
ke syurga. Setiap muslim wajib menuntut ilmu. Rasulullah SAW bersabda
maksudnya :
- “Menuntut ilmu adalah kewajiban bagi setiap muslim laki-laki
dan perempuan.”.
Allah memberikan keutamaan dan kemuliaan bagi orang-orang yang
berilmu dalam firman-Nya dalam Al-Quran surat Al-Mujaadilah ayat 11 yang
bermaksud :
- “Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman diantaramu
dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat”.
Orang-orang yang berilmu akan pula dimudahkan jalannya ke syurga oleh Allah dan senantiasa didoakan oleh para malaikat.
6. Sesuatu kaum tidak berkumpul di salah sebuah rumah-rumah Allah
(iaitu masjid) sambil mereka membaca Kitab Allah dan mengkajinya sesama
mereka melainkan suasana ketenangan akan turun ke atas mereka, rahmat
akan melitupi mereka dan mereka akan di kelilingi oleh para malaikat dan
Allah akan menyebut (perihal) mereka kepada orang-orang yang berada di
sisiNya.
Berkumpul dan mengkaji al-Quran dan ilmu di masjid adalah antara
amalan yang amat diberkati Allah SWT. Para malaikat turun mengelingi
mereka, ketenangan dan rahmat menyelubungi mereka. Mereka mendapat
penghormatan agung dari Allah SWT apabila Dia menyebut nama mereka
kepada para penghuni langit.
7. Barangsiapa yang terlambat amalannya, nescaya nasab keturunannya tidak mampu mempercepatkannya.
Sesungguhnya manusia dimuliakan dan memasuki syurga dengan amalannya
dan rahmat Allah SWT, bukannya dengan keturunan. Barangsiapa yang
amalannya kurang dan atau amalan jahatnya menyusahkannya di akhirat
nanti, nasab keturunan kebangsawanannya tidak mampu sama sekali memberi
syafaat kepadanya. Secara tidak langsung hadis ini menggesa umat lslam
agar berbekal dengan amalan soleh untuk menghadapi hari akhirat nanti.
Allahu Akbar.
IKLAN
Peluang menambah pendapatan, atau memulakan perniagaaan. Bagaimana?
Mudah saja! Secara sambilan pun boleh buat.
Cari kawan-kawan yang perlukan minuman kesihatan ini, buat pesanan melalui pos hingga ke tempat anda!
Klik gambar ini (Bagaimana Anda Ingin Jadi Wakil Jualan Kami?..)...
Kandungan 100% Stevia, tiada pewarna, tiada pengawet.
Stevia Ganti Gula Dalam Makanan Dan Minuman, Baik Untuk Diabetes Dll.
No comments:
Post a Comment