SUKAN
NAY PYI TAY, Myanmar - Skuad karate meneruskan aksi cemerlang apabila menambah empat lagi pingat emas di Stadium Tertutup Wunna Theikdi A semalam.
S. Senthil Kumaran menyumbangkan emas pertama negara pada saingan semalam menerusi acara kumite lelaki bawah 60 kilogram (kg) selepas menewaskan atlet Indonesia, Donny Dharmawan di akhir.
Meskipun terikat 0-0 selepas tiga minit bertarung, Senthil diumumkan sebagai pemenang pingat emas berdasarkan keputusan juri.
Pingat emas kedua negara diperoleh menerusi S. Shree Sharmini apabila menewaskan Pham Thi Tien dari Vietnam meskipun keputusan terikat 2-2 dalam kategori kumite wanita bawah 68kg.
Malaysia menambah dua lagi pingat emas menerusi A. Nisha yang mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas peserta Filipina, Mae Soriano dalam kategori wanita bawah 55kg.
K. Syakilla Saini memastikan aksi cemerlang skuad negara apabila menundukkan Le Thi Thuy dari Vietnam 1-0 dalam kategori kumite wanita bawah 61kg.
Skuad negara turut memenangi pingat perak apabila R. Sharmemdran tumpas 0-3 kepada atlet Indonesia, Jintar Simanjuntak pada perlawanan akhir kumite lelaki bawah 67kg.
Sementara, pingat gangsa menerusi Shaharudin Jamaludin dalam acara kumite lelaki bawah 75kg, L. Kunasilan (lelaki bawah 55kg) dan Mohd. Hatta Mahanut (lelaki bawah 84kg).
Senthil berkata, dia gembira kerana berjaya membalas dendam terhadap Donny yang menumpaskannya pada pusingan kedua Sukan Perpaduan Islam di Palembang, Indonesia, September lalu.
"Beraksi sebagai atlet bukan pilihan tidak memberi tekanan kepada saya kerana dia (Donny) merupakan pemenang pingat emas pada Sukan SEA 2011 (di Indonesia)," katanya.
Sementara itu, Sharmini yang beraksi buat kali kedua pada Sukan SEA berkata, dia menghadiahkan kemenangan itu kepada keluarganya yang tidak pernah jemu memberi sokongan.
Dua pingat emas ditawarkan pada hari terakhir acara karate hari ini iaitu dalam kategori kumite lelaki dan wanita berpasukan.
Skuad karate mengutip dua pingat emas kelmarin menerusi acara kata individu dan berpasukan lelaki, sekali gus melepasi sasaran tiga emas yang ditetapkan pada temasya kali ini.
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Islam mengajar umatnya pelajari ilmu pertahankan diri..
Ulama' sejak dari dahulu telah membahaskan tentang (hukum) mempelajari seni mempertahankan diri. Dalil yang diambil dalam memahami isu ini ialah dari surah al-Anfal ayat 60,
- “Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi.”
Terdapat
juga sebuah hadith yang direkodkan Abu Daud, bahawa Nabi saw pernah
bergusti dengan Rukanah. Dan menurut hadith tersebut, Rukanah dan Nabi
saw pernah bergusti lebih dari sekali. Berdasarkan kepada hadith ini,
para ulama’ mengulas bahawa gusti tidak akan sesekali mengurangkan
kewibawaan, kemulian dan darjat seseorang.
Menurut Imam Yusuf al-Qardhawi,
- “Belajar seni mempertahankan diri adalah dibenarkan bagi mereka yang mampu. Kadangkala ia menjadi wajib bagi seseorang. Khususnya bagi mereka yang diancam dengan serangan fizikal. Dengan mempelajari ilmu bela diri, seseorang akan memiliki bekal untuk menangkis serangan serta mematahkan usaha lawannya. Pandangan ini sesuai dengan kaedah syariat yang menyebutkannya, “Hal yang menjadi syarat bagi terjadinya sesuatu yang wajib, maka hukumnya menjadi wajib pula.”
Seni mempertahankan diri tidak harus ada campur tangan hal-hal yang boleh mengoncangkan akidah. Menurut Ustaz Abdul Kadir,
- “Yang penting seni mempertahankan diri itu mestilah jauh dari unsur-unsur syirik, khurafat dan bid’ah. Kalau seni silat sekalipun, tetapi ianya mengandungi perkara-perkara syirik, khurafat dan bid’ah seperti mandi bunga, mandi limau, mandi tawassul dengan kain putih dan seumpamanya, maka sudah tentu kita tidak boleh menyertainya.”
- “Seorang mukmin yang kuat lebih baik dan dicintai oleh Allah daripada mukmim yang lemah.”
Dalam hal ini, Imam Yusuf al-Qaradhawi mengatakan,
- “Islam tidak menghendaki tubuh yang rapuh, yang tidak boleh menangung beban ketika sedang dituntut darinya, tidak mampu menghadapi kesengsaraan, serta tidak kuat ketika mendapat tentangan. Islam menolak manusia seperti yang digambarkan oleh seorang penyair arab dahulu:
“terpaan angin-angin sepoi melukai kedua belah pipinya, dan usapan sutera membuat hujung-hujung jemarinya berdarah.”
No comments:
Post a Comment