KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali
hari ini menafikan tuduhan kononnya Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu
terlibat dengan ajaran Syiah.
Bercakap kepada Harakahdaily hari
ini, beliau berkata sehingga kini PAS tidak pernah menerima sebarang
laporan berhubung tuduhan yang dikaitkan ke atas Mohamad itu.
Beliau
berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan penggulungan di
Perhimpunan Agung Umno 2013 di PWTC semalam yang menuduh Mohamad
mengamalkan ajaran Syiah.
"Saya sebagai Setiausaha Agung PAS
tidak pernah menerima sebarang laporan berhubung pembabitan Mohamad Sabu
seperti yang disebut itu.
"Maka bagi saya, wajarlah Mohamad Sabu mengambil tindakan undang-undang terhadap Zahid," kata Mustafa.
Dalam
ucapannya semalam, Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri bertindak
mengumumkan memberi kuasa kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
untuk menahan pemimpin kedua tertinggi PAS itu.
Dalam pada itu,
Mohamad dalam reaksinya semalam berkata, beliau akan berbincang dengan
peguam bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap Zahid ekoran
tuduhan terhadapnya itu.
“Saya tak dengar sendiri apa dia kata, jadi kena bincang dengan peguam dulu,” kata Mohamad.
Beliau dalam pada itu dengan keras menafikan tuduhan Zahid tersebut dan menyifatkannya sebagai tuduhan berniat jahat.
"Saya Ahli Sunnah Wal Jama'ah, seorang Islam yang mengikut ajaran Ahli Sunnah Wal Jama'ah," tegas Mohamad. (HD)
No comments:
Post a Comment