Oleh:
Datuk Dr Haron Din
SOALAN: Datuk,
mengapa PAS bertahaluf dengan DAP? Tidakkah DAP itu kafir? Mengapa PAS
tidak bertahaluf dengan Umno? Umno jelas Islam, mana lebih baik
bertahaluf sesama Islam atau bartahaluf dengan orang kafir? Penjelasan
ini amat perlu khususnya dalam keadaan gawat seperti sekarang ini yang
ditunjukkan oleh keputusan PRU13 yang boleh merugikan Islam.
Abdul Quddus Abdul Mukmin, Padang Jawa, Klang, Selangor.
JAWAPAN
PERKARA
pertama yang perlu anda tahu dan faham, bahawa tahaluf itu adalah
sesuatu yang diharuskan oleh hukum syara’ dengan syaratsyaratnya. Apa
yang dilakukan oleh PAS dalam isu tahaluf dengan DAP, sebenarnya tidak
bercanggah dengan syarat-syarat syarak.
Kedua tahaluf yang
dilakukan bersama orang kafir, akan tetapi jika sesama Islam tidak pula
dinamakan dengan tahaluf. Kerana asasnya umat Islam adalah bersatu pada
asalnya, kerana umat Islam perlu bersatu dan tidak boleh berpecah-belah.
Ketiga,
Rasulullah s.a.w. pernah bertahaluf dengan Yahudi Madinah apabila
kabilah-kabilah Arab Musyrikin Makkah membuat onar dan menimbulkan
penindasan dan kezaliman terhadap Rasulullah dan juga Yahudi, maka apa
yang dilakukan oleh Rasulullah untuk bertahaluf menghadapi kezaliman
Musyrikin adalah diharuskan.
Keempat, banyak kali berlaku pada
Rasulullah s.a.w. bermuamalah dengan orang kafir sedangkan baginda boleh
bermuamalah dengan orang Islam, contohnya ketika Rasulullah hendak
berhijrah ke Madinah, baginda bermuamalah dengan Abdullah bin Uraiqit
iaitu seorang musyrik, sedangkan pada waktu itu ramai lagi orang Islam
yang boleh Rasulullah bermuamalah dengan mereka.
Begitu juga
Rasulullah pernah bermuamalah dengan seorang Yahudi dengan menggadaikan
baju besinya kepada Yahudi itu untuk mengambil bahan makanan bagi
keluarganya.
Persoalannya di sini, mengapa dengan Yahudi Nabi
bermuamalah? Mengapa tidak dengan orang Islam? Kalau dengan orang Islam,
mungkin Nabi tidak perlu menggadai baju besinya atau tidak perlu
membeli atau berhutang, mungkin orang Islam akan memberi sebagai satu
hibah (pemberian) secara percuma kepada Nabi.
Namun demikian,
Nabi meninggalkan orang Islam dan bermuamalah dengan orang Yahudi.
Mengapa berlaku demikian? Kerana hendak menyatakan ada ketika-ketikanya
dengan sebab-sebab tertentu umat Islam diharuskan bermuamalah atau
bertahaluf dengan orang kafir dan tidak dengan orang-orang Islam.
Kelima,
PAS pernah memasuki Pakatan Barisan Nasional dengan Umno pasca tragedi
13 Mei 1969, dengannya terselamat Umno daripada tumbang atas gelombang
rakyat menolak Umno – Perikatan ketika itu. Dengan penyertaan PAS ke
dalam Barisan Nasional (menggantikan Perikatan) ketika itu, maka
selamatlah Umno, maka kuat semula Umno dan tegak semula BN.
Maka
ia terselamat daripada tumbang dan ditumbangkan oleh rakyat. Selepas
Umno kuat semula dan merasakan PAS tidak diperlukan, maka Umno memecat
dan menghalau PAS keluar daripada BN.
Banyak pihak yang
mengetahuinya, maka PAS ditendang daripada BN, kesannya PAS berpecah dan
bercelaru serta banyak ahlinya meninggalkan PAS, ada yang menubuhkan
Parti Islam yang perlu menandingi PAS, PAS hampir terkubur ketika itu
angkara perbuatan Umno, pengalaman itu amat pahit dan PAS berhempas
pulas untuk bangun semula, dan sekarang sudah terbangun.
Sejauh
ingatan saya, Umno tidak pernah menyatakan kekesalannya kerana memecat
dan menghalau PAS keluar daripada BN, malah Umno tidak pernah meminta
maaf kepada PAS hingga ke hari ini.
Kalau itulah sikap Umno, maka
bagaimana orang PAS mahu memikirkan untuk mendampingi Umno semula
seperti ada usaha membayangbayangkan isu itu, pengalaman amat pahit itu
bagi PAS amat berguna.
Apabila PAS bertahaluf dengan Pakatan
Rakyat khasnya dengan DAP, jelas PAS mengaut keuntungan yang ketara
hasil daripada keputusan undi dalam PRU13 baru-baru ini, PAS semakin
mendapat pertambahan pengundi dan penyokong.
Namun demikian,
ramai orang menyedari, bahawa ‘Tahaluf Siayasi’ bukanlah satu perkara
yang qat’ie, ini adalah satu hasil ijtihad daripada ahli-ahli PAS yang
layak, hasil ijtihad itu diterima pakai dan namun demikian ia tetap
terdedah kepada pelbagai kemungkinan, ijtihad boleh kekal selagi tidak
ada keperluan untuk menyemaknya seperti timbul masalah.
Ada
perkara-perkara penting yang menjadikan ijtihad itu lagho, maka barulah
timbul keperluan untuk melihat semula perkara-perkara ijtihad yang
lampau, atas dasar itulah persoalan mengapa PAS dan Umno tidak dapat
disatukan yang dapat dilihat dari perkaraperkara yang telah saya
sebutkan tadi, sekian wassalam.(IH/Hrkh)
Lihat kuliah Ramadhan...
E-Buku IH-73: Kembali 'Univ Ramadzan' 2013.