‘ASTAGHFIRULLAH, Astaghfirullah, Astaghfirullah,
ALLAHUAKBAR’ mulutnya tidak pernah lekang dari terus berzikir memohon
pertolongan Yang Maha Esa.
“Ini adalah ujian ALLAH buatku, DIA maha mengetahui dan DIA tahu aku mampu menanggung dugaan ini,” bisiknya di dalam hati.
Jam di dinding rumah Kelab Pengawal Presiden Republikan di Kaherah dipandang beberapa kali sambil bersilang tangan.
Langkahnya ke kiri dan ke kanan dari bangun dia duduk dan berjalan ke
jendela. Perkara itu dilakukan sejak awal kedatangannya ke pejabat baru
di rumah itu, seolah menanti sesuatu.
Pintu diketuk dan sekumpulan tentera menyerbu masuk ke pejabat gerakan
itu. Keadaan sedikit huru hara kerana lebih daripada sepuluh anggota
pergerakan itu cuba menghalang kehadiran tentera daripada berjumpa
beliau.
“Tidak mengapa biarkan mereka masuk dan sediakan kerusi,” pintanya memberi arahan kepada seorang ahli kumpulan itu.
“Silakan duduk Encik Abdel, apa hajat dan apa yang boleh saya bantu,”
katanya kepada Menteri Pertahanan, Jeneral Abdel Fattah al Sisi dengan
tenang.
Hatinya yang dari malam kelmarin dirundung keresahan itu terlerai lalu
berdetik adakah saatnya sudah sampai? Adakah aku akan berpisah dengan
isteriku, Najlaa yang selama ini menjadi kekuatanku dan lima anakku,
tiga orang cucuku serta ratusan pengikutku?
Wajah Abdel ditatap tanpa gentar.
“Tuan Presiden, kami hanya ingin membuat permintaan mudah, tempoh 48
jam telah berlalu dan kami mohon tuan mengumumkan peletakan jawatan bagi
mengelakkan lebih banyak nyawa terkorban dan protes di negara ini,”
kata Abdel.
“Kamu langkah mayat saya dahulu. Saya rela mati demi rakyat Mesir.
Perjuangan ini akan saya teruskan hingga ke titisan darah terakhir,”
katanya sambil menggenggam erat kerusinya, menahan marah.
Bergelar Hafiz dan dibesarkan dengan penuh didikan agama tidak
memungkinkan beliau untuk bangkit menerajang tetamu tidak diundang itu.
Tingginya pegangan agama beliau membuatkan dia menjadi insan paling
sabar sekuat imannya.
“Tuan...rakyat, ulama, hakim dan anggota keselamatan, Perdana Menteri
Hesham Kandil semuanya mendesak tuan untuk berundur. Terlalu banyak
kesilapan yang telah tuan lakukan. Banyak jawatan kerajaan tuan serahkan
kepada Ikhwanul Muslimin, masalah ekonomi gagal ditangani.
Berundurlah!,” pinta Abdel.
“Kamu langkah mayat aku dulu!,” Mursi mengulangi kata-katanya itu.
Hakikatnya, puluhan kereta perisai telah ditempatkan di jalan-jalan
utama sekitar bandar Kaherah. Puluhan khemah didirikan oleh penyokong
anti Mursi dan pejabat Ikhwanul Muslimin juga sudah beberapa kali di
pecah.
“Sekiranya tuan tidak mahu mengikut arahan kami, saya menggunakan kuasa
sebagai menteri untuk mengarahkan tuan dan pengikut lain dikenakan
perintah tahanan di rumah. Tuan dan pengikut lain tidak dibenarkan
keluar, semua talian media dan telefon terpaksa diputuskan. Ini ARAHAN
TERAKHIR KAMI!,” katanya dan terus berlalu meninggalkan Mursi.
“Jangan susah ALLAH sentiasa melindungi kita dan ada penyelesaian untuk
masalah ini. Anda jangan melawan dan hanya mengikut arahan sahaja,
biarkan mereka berkuasa tetapi yakinlah ALLAH akan membantu kita,”
katanya kepada pengikut beliau yang mulai kecoh.
Kira-kira setengah jam kemudian, sepasukan tentera komando menyerbu ke
rumah itu mengacukan senapang ke arah ahli pergerakan Ikwanul Muslimin.
“Jangan halang tugas kami! Kami menerima arahan untuk membawa Mursi pergi!,” kata seorang komando.
“Jangan! Jangan! Jangan! Tidak kamu tidak boleh buat begitu, Tuan Mursi
tidak melakukan kesalahan dan atas tujuan apa dia ditangkap dan ke mana
dia akan dibawa? Biarkan aku ikut serta, tangkaplah aku sekali, aku
rela berjuang bersama dia?” teriak timbalan ketua pergerakan itu, Rashad
Bayoumi.
“Itu bukan urusan kamu!,” balasnya.
“Tuan sila ikut kami!” Lengan Mursi digenggam dan pemimpin itu akur mengikut arahan.
Di ruang rumah itu jugalah puluhan media berkumpul untuk menjadi saksi penahanan Mursi.
“Tentera telah membawa Mursi pergi dan kami yakin Abdel tidak akan
melayan tuntutan kami. Kami naif....Kami tidak sangka Jeneral
mengkhianati Presiden yang melantiknya dahulu,” kata jurucakap Ikhwan
Muslimin, Murad Ali kepada sekumpulan media.
“Anda yakin Mursi tidak akan meletakkan jawatan selepas ditahan?,” tanya seorang wartawan.
“Tidak! Kami dan beliau sanggup dipenjarakan, Mursi tidak akan memberikan kuasa kepada tentera,” katanya.
“Adakah anda sedar tempoh 48 jam telah berakhir tetapi kenapa Tuan Presiden masih berdegil?,” tanya wartawan itu lagi.
“Wahai pemberita anda perlu tahu pada 23 Jun lalu arahan itu datangnya
dari cetusan idea Duta Amerika Syarikat, Anne Patterson! Adakah kamu
tahu, Asaad el-Sheikh dan Rifaah el-Tahtawy adalah sekutu AS. AS selama
ini berpura-pura simpati terhadap nasib tentera Mesir berpangkalan Port
Said dan Ismailia di Terusan Suez adalah SANDIWARA!
“Kamu tahu tujuan AS bersimpati adalah mahu mewujudkan sekutu tentera
yang baru!, Adakah anda ingin membiarkan perkara itu berlaku? Di manakah
maruah Umat Islam dan anda sebagai rakyat Mesir?” jelas Ali.
************
“Najlaa, aku rasa demi keselamatan kamu, anak-anak dan cucu kita, elok
la kita berpindah. Istana Ittihadiya tidak selamat. Aku dapat rasakan
kebangkitan rakyat untuk menentang pemerintahanku akan berlaku pada 30
hari bulan ini. Kita belum terlambat. Masih ada enam hari untuk kita
bersiap dan mengemas. Bawalah Al-Quran, pakaianmu dan sejadah lebih
supaya senang pengikutku untuk berjemaah di rumah kelab nanti,” katanya.
“Baik dan segala tuntutanmu akan ku penuhi. Kamu jangan bimbang keselamatan kami dilindungi ALLAH,” kata wanita tabah itu.
Sejurus tiba di rumah kelab, kelihatan barisan puluhan tentera mengawal
di sekitar kediaman itu. Berpakaian lengkap dengan senjata.
“Helo, Tuan Presiden. Abdel sini. Tuan tahu apa yang berlaku di luar sana?”
“Ya saya tahu Jeneral.” kata Mursi pendek.
“Tuan, tempoh 48 jam makin hampir. Jangan lupa perjanjian kita. Apa
kata, kalau kami menawarkan pelindungan keselamatan untuk tuan dan
keluarga dengan meninggalkan Mesir dan pergilah ke Turki, Libya atau ke
tempat lain. Asalkan tuan melepaskan jawatan,” pintanya.
“Kamu langkah mayatku dahulu!. Assalam 'alaikum!” Ganggang terus diletakkan.
‘"Astaghfirullah, Subhanallah, ALLAHHU AKBAR..." bisiknya di dalam hati.
************
Pada 3 Julai, seawal jam 5 pagi askar mula mengawal seluruh jalan di
Kaherah. Kenderaan tentera, ratusan polis ditempatkan. Jutaan penyokong
pro dan anti Mursi berhimpun di Dataran Tahrir.
Bendera berkibar dengan lautan manusia memenuhi segenap ruang menanti
pengumuman. Media sosial dan stesen televisyen bagaikan mengalami
kesesakan trafik. Jutaan mesej di Twitter dan Facebook disampaikan
sepanjang menanti detik pengumuman tengah hari nanti.
“Dengan kuasa yang ada pada saya, saya mengumumkan kerajaan akan
mengambil kuasa di Mesir dan Presiden Muhamed Mursi digulingkan.
Pembentukan kerajaan sementara akan diketuai Adly Mansur sehingga tarikh
pilihan raya ditetapkan,” begitulah ucapan ringkas Jeneral Abdel Fattah
di stesen televisyen. (SH)
Lihat sebelum ini...
E-Buku IH-75: Dr Mohamed Mursi, Mujahid Akhir Zaman.