Beirut: Sebahagian besar pemimpin Arab
menyokong keganasan yang dilakukan pihak berkuasa keselamatan Mesir
terhadap penyokong Ikhwanul Muslimin. Tindakan itu dipercayai kerana bimbang pengaruh kumpulan Islam itu
yang kian berkembang sejak Revolusi Arab mengancam kuasa mereka, kata
penganalisis.
Tentera Mesir menggulingkan Presiden Mohamed
Mursi yang dipilih secara demokratik pada 3 Julai lalu dan
menggantikannya dengan kerajaan sementara. Penyokong Mursi membina khemah penunjuk perasaan di Kaherah dan
berjanji akan kekal di situ hingga bekas pemimpin terbabit yang kini
ditahan, dikembalikan jawatannya.
Kerajaan mengarahkan mereka
bersurai dan selepas beberapa lama tertangguh, anggota polis yang
disokong tentera menyerbu khemah itu Rabu lalu. Jumlah kematian
akibat pertempuran kedua-dua belah pihak di ibu negara dan seluruh Mesir
menjangkau 600 orang.
Hanya Qatar, penaung Ikhwan dan
Tunisia, dengan Parti Ennahda yang memerintah mempunyai kaitan dengan
Ikhwan, mengecam keras keganasan yang berlaku.
“Semua pemimpin monarki di Teluk kecuali Qatar dan Jordan bimbang
revolusi Ikhwan akan dieksport ke negara mereka,” kata profesor
Universiti Paris-Sud, Khattar Abou Diab.
“Atas sebab itu, mereka berharap Mesir diperintah semula oleh parti sekular,” katanya.
Bagi Riyadh dan Abu Dhabi, rampasan kuasa dilakukan memberikan tamparan hebat kepada pesaing mereka di rantau itu iaitu Ikhwan.
“Kerana
itu, tidak wajar bagi mereka memberitahu tentera Mesir, ‘kami tidak
suka dengan apa yang kamu lakukan.’ “Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu
kini menjadi penaung utama kerajaan tentera yang baru dan juga
penyokong utama. Kerana itu mereka tidak akan menyelar keganasan itu,”
katanya.
Selama 30 tahun, Arab Saudi dan Ikhwan menjalin
hubungan baik, tetapi ia terjejas selepas Ikhwan mengkritik Riyadh
kerana menerima kakitangan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di negara
itu ketika Perang Teluk pada 1991. - AFP
Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-78: I Support Dr Mohamed Mursi (2)