Semalam 8 Oktober 2013 Ustaz Nazir Zakaria, Yang DiPertua Pas Kawasan
Putrajaya telah mengadakan sidang akhbar berkaitan beberapa isu melibatkan Pas Kawasan tersebut. Antaranya ialah :
-
a)Status perehatan beliau sebagai YDP Kawasan;
- b) Kesahan Mesyuarat Agung Kawasan.
Tulisan ini bukan untuk mempertahankan mana-mana pihak tetapi untuk
melihat dari sudut perundangan dan kesannya terhadap Pas secara
keseluruhan.
a) Status perehatan Ustaz Nazir Zakaria sebagai YDP.
Ustaz Nazir Zakaria merupakan Yang DiPertua Pas Kawasan Putrajaya yang
telah dipilih secara sah melalui Mesyuarat Agung Kawasan pada 2011 untuk
penggal 2011 – 2013. Pada 3 April 2013 sepucuk surat telah dikeluarkan
kepada Ustaz Nazir yang ditandatangani oleh Sdr Kamaruzaman Mohamad atas
kapasiti Pemangku Timbalan Yang DiPertua Pas Kawasan Putrajaya, Sdr
Mohamad Hj Hassan, Pemangku Naib Yang DiPertua dan Sdr Kamarul Arif bin
Ambak, Penolong Setiausaha. Surat tersebut memaklumkan bahawa keputusan
Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Kawasan Putrajaya pada 18 Mac 2013
dan 20 Mac 2013 telah memutuskan bahawa Ustaz Nazir direhatkan daripada
menjalankan tugas sebagai YDP Kawasan sehingga suatu tempoh yang akan
diputuskan kembali oleh Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Kawasan. Surat
makluman tersebut bagaimana pun tidak menjelaskan alasan keputusan
tersebut dibuat.
PERTAMA : ADAKAH MESYUARAT KHAS JAWATANKUASA KERJA PAS KAWASAN SAH?
Dinyatakan di dalam surat bertarikh 4 April 2013 bahawa Mesyuarat Khas
Jawatankuasa Kerja Pas Kawasan pada 18 Mac 2013 dan 20 Mac 2013. Hasil
mesyuarat tersebut telah memutuskan untuk merehatkan YDP daripada
menjalankan tugas YDP sehingga suatu tempoh yang ditentukan Jawatankuasa
Kerja.
Siapa yang memanggil Mesyuarat Khas tersebut? Adakah ada di dalam
Perlembagaan PAS berkaitan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja? Perlu
diambil perhatian bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kawasan hanya
boleh dipanggil oleh YDP atau oleh satu pertiga (1/3) daripada AJK
Kawasan secara bersurat kepada Setiausaha dengan menyatakan
sebab-sebabnya. Ini diperuntukkan di dalam Fasal 28(9) seperti berikut
:-
(9) Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan itu hendaklah bersidang
sekurang-kurangnya sekali dalam masa tiga bulan atau pada bila-bila masa
yang dikehendaki oleh Yang Dipertua PAS Kawasan itu, atau pada sebarang
masa yang dikehendaki oleh satu pertiga daripada jumlah Ahli-ahli
Jawatankuasa itu yang meminta dengan bersurat kepada Setiausaha PAS
Kawasan itu dan menyatakan sebab-sebabnya.
Prosedur Mesyuarat Jawatankuasa Kerja telah dengan jelas diperuntukkan di Fasal 34 seperti berikut :-
FASAL 34. Notis Mesyuarat Jawatankuasa Kerja
(1) Satu notis hendaklah dihantar oleh Setiausaha atau Penolong
Setiausaha ketika ketiadaannya dalam tempoh 14 hari daripada tarikh
mesyuarat hendak dijalankan oleh mana-mana Jawatankuasa Kerja dan
Jawatankuasa Harian yang disebut dalam Fasal 25, 28 dan 31 Perlembagaan
ini.
Walaubagaimana pun suatu Mesyuarat Jawatankuasa Khas boleh dipanggil
dengan mengabaikan peruntukkan Fasal 34(1) iaitu diperuntukkan di Fasal
34(4) seperti berikut :-
(4) Dengan mengabaikan Ceraian (1), (2) dan (3) Fasal ini, mana-mana
mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja yang disebut dalam Ceraian-ceraian di
atas bolehlah diadakan pada bila-bila yang dikehendaki oleh Presiden
atau Pesuruhjaya PAS Negeri atau Yang Dipertua PAS Kawasan atau Ketua
PAS Cawangan atau Ketua Dewan-dewan berkenaan. Setiausaha Agung atau
Setiausaha yang berkenaan hendak mengeluarkan notis mesyuarat pada
bila-bila masa yang sesuai dengan apa-apa cara yang difikirkan munasabah
untuk menyampaikan notis tersebut.
Peruntukkan Fasal 34(4) dengan jelas menyebutkan bahawa Mesyuarat Khas
Jawatankuasa Kerja hanya boleh dipanggil oleh Presiden atau Pesuruhjaya
PAS Negeri atau Yang Dipertua Kawasan atau Ketua PAS Cawangan atau
ketua-Ketua dewan-Dewan berkaitan.
Justeru persoalan yang perlu dijelaskan oleh Jawatankuasa Kerja yang
bermesyuarat khas pada 18 dan 20 Mac 2013 tersebut, adakah mesyuarat
tersebut dipanggil oleh Presiden atau oleh Pesuruhjaya Pas Negeri atau
oleh YDP atau satu pertiga (1/3) daripada AJK secara bersurat dan kenapa
pada dua (2) hari yang berdekatan? Jika Presiden atau Pesuruhjaya PAS
Negeri atau YDP Kawasan atau Ketua Cawangan atau Ketua Dewan tidak
pernah memanggil mesyuarat, maka mesyuarat tersebut tidak sah dan
keputusan mesyuarat adalah tidak sah. Jika ada panggilan mesyuarat khas
dibuat oleh mana-mana orang yang tersebut itu, adakah suatu notis
mesyuarat dikeluarkan dan disampaikan secara munasabah.
KEDUA : ADAKAH JAWATANKUASA KERJA KAWASAN MEMPUNYAI KUASA MEREHATKAN YANG DIPERTUA KAWASAN?
Rujukan perlu dibuat kepada Fasal 28 Perlembagaan PAS. Difahamkan bahawa
Jawatankuasa Kerja menyatakan mereka merehatkan Ustaz Nazir (YDP)
berdasarkan Fasal 28 (8) seperti berikut :-
Fasal 28(8)
Dengan tidak tertegah oleh syarat-syarat yang terkandung dalam
ceraian (2), (3), (4), (5) dan (6) di atas, maka Jawatankuasa Kerja PAS
Kawasan adalah berkuasa memberhentikan atau menahan seseorang Ahli
Jawatankuasa PAS Kawasan daripada menjalankan kerja-kerjanya pada/atau
dalam masa yang ditentukan. Akan tetapi tidaklah boleh diberhentikan
seseorang Ahli Jawatankuasa itu melainkan dengan persetujuan
sekurang-kurangnya satu perdua daripada jumlah Ahli-ahli Jawatankuasa
Kerja PAS Kawasan itu.
Fasal 28(8) menerangkan kuasa Jawatankuasa Kawasan untuk memberhentikan
atau menahan seseorang AJK menjalankan tugas dalam masa tertentu.
Walaubagaimana pun kuasa tersebut tertakluk kepada sekatan yang
dinyatakan di dalam Fasal 28(2),(3),(4),(5) dan (6). Di dalam Fafal
28(8) tersebut diperuntukkan dengan jelas pada awalnya bahawa “Dengan
tidak tertegah oleh syarat-syarat yang terkandung dalam ceraian (2),
(3), (4), (5) dan (6) di atas” .
Apa maksudnya? Apa syarat-syaratnya? Frasa ini dengan tegas memberikan
maksud bahawa walaupun Jawatankuasa Kerja mempunyai kuasa untuk
memberhentikan atau menahan mana-mana Ahli Jawatankuasa dari menjalankan
tugas, ianya tidak termasuk kepada YDP, TYDP, NYDP dan KUU kerana
ketiga-tiga jawatan tersebut adalah jawatan yang dipilih dan dilantik
oleh perwakilan di dalam Mesyuarat Agung Pas Kawasan. Jawatankuasa Kerja
hanya boleh menggunakan kuasa memberhentikan dan menahan tugas hanya
bagi AJK yang dilantik. Ini secara jelas disebutkan dalam Fasal 28(5)
seperti berikut :-
(5) Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan yang disebutkan dalam
ceraian (1)(l) Fasal ini hendaklah dua pertiga daripadanya dipilih dalam
Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan pada tiap-tiap dua tahun sekali dan
satu pertiga daripadanya dilantik oleh Yang Dipertua PAS Kawasan di
dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan
daripada ahli-ahli PAS dalam Kawasan itu, dan mereka hendaklah memegang
jawatan masing-masing sehingga dua kali Mesyuarat Agung Tahunan PAS
Kawasan yang akan datang atau sehingga mereka meminta berhenti atau
diberhentikan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan dengan apa-apa jua
sebab sekalipun.
Fasal 28(5) menyebut dengan terang bahawa satu pertiga (1/3) AJK
dilantik oleh YDP dengan persetujuan mesyuarat AJK Kawasan memegang
jawatan untuk tempoh dua (2) kali Mesyuarat Agung Tahunan Kawasan atau
sehingga mereka meminta berhenti atau diberhentikan oleh Jawatankuasa
kerja Pas Kawasan dengan apa-apa jua sebab sekalipun. Justeru mereka
(1/3) AJK inilah sahaja yang boleh diberhentikan seperti yang
diperuntukkan oleh Fasal 28(8).
Jika Jawatankuasa Kerja mengguna-pakai peruntukkan Fasal 28(8) tersebut
untuk merehatkan YDP maka Jawatankuasa Kerja telah terkhilaf. Justeru
keputusan Jawatankuasa Kerja Kawasan merehatkan YDP melalui surat
bertarikh 4 April 2013 tersebut adalah tidak sah maka dengan sendirinya
surat bertarikh 12 September 2013 yang menarikbalik tempoh rehat beliau
sebagai Yang Dipertua adalah tidak sah.
Kesimpulannya, Ustaz Nazir Zakaria masih Yang Dipertua PAS Kawasan
Putrajaya yang sah sehinggalah Mesyuarat Agung Tahunan Pas Putrajaya
yang baru yang ada pemilihan, memilih orang lain sebagai Yang Dipertua
yang baru.
b) Kesahan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Putrajaya pada 22 September 2013
Sesebuah PAS Kawasan bergerak berdasarkan mandat Masyuarat Agung Tahunan
seperti yang diperuntukkan di dalam Fasal 18 seperti berikut :-
FASAL 18. Mesyuarat Agung PAS Kawasan
(1) Adapun gerakan dan pentadbiran sebuah kawasan PAS itu adalah
dijalankan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan itu di bawah kekuasaan
Majlis Mesyuarat Agung PAS Kawasan itu. Akan tetapi Majlis Mesyuarat
Agung itu sendiri adalah tertakluk di bawah syarat-syarat yang
terkandung di dalam Perlembagaan PAS dan juga Aturan dan Peraturan
mesyuarat kawasan itu.
(2) (a) Sesebuah Kawasan hendaklah mengadakan Majlis Mesyuarat Agung
Tahunannya sekali dalam setahun, seboleh-bolehnya pada bulan Februari,
atau pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh Yang Dipertua kawasan itu
ataupun dengan permintaan bersurat daripada sekurang-kurangnya satu
pertiga daripada ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan itu.
(b) Mesyuarat Agung Khas Kawasan bolehlah diadakan pada bila-bila
masapun jika dikehendaki oleh Yang Dipertua Kawasan itu, atau dengan
kehendak, sekurang-kurangnya satu perempat daripada jumlah
cawangan-cawangan atau daripada ahli-ahli kawasan itu. Maka dalam
Mesyuarat Agung Khas ini tidaklah boleh dibincangkan apa-apa selain
daripada perkara yang kerananya Mesyuarat Agung Khas itu diadakan.
(c) Notis Mesyuarat Agung Tahunan kawasan dan Mesyuarat Agung Khas
Kawasan hendaklah dihantar kepada perwakilan dalam tempoh 14 hari dari
tarikh mesyuarat hendak diadakan dengan menyertakan agenda, laporan dan
penyata kewangan yang telah diodit.
Mesyuarat Agung Tahunan PAS Putrajaya telah diadakan baru-baru ini pada
22 September 2013. Notis panggilan mesyuarat bertarikh 12 September
2013. Notis itu hanya 10 hari daripada tarikh Mesyuarat diadakan.
a) Adakah Notis Mesyuarat bertarikh 12 September 2013 tersebut sah?
Fasal 18(2)(c) menyatakan notis hendaklah dalam tempoh 14 hari daripada
tarikh mesyuarat. Frasa “dalam tempoh 14 hari” itu bagaimana
ditafsirkan? Adakah ianya bermaksud di dalam lingkungan 14 hari atau
bermaksud tidak kurang dari 14 hari”?
Pendapat saya frasa “dalam tempoh 14 hari” itu bermaksud hendaklah tidak
kurang 14 hari kerana ianya sebagai persediaan kepada perwakilan untuk
mengkaji dan meneliti agenda mesyuarat, laporan mesyuarat dan penyata
kewangan untuk dibahaskan di dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Kenapa saya
tidak menafsirkan dalam lingkungan 14 hari? Ini kerana jika notis
mesyuarat dikeluarkan dalam lingkungan 14 hari, maka notis boleh
dikeluarkan sehari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan dan itu tidak
munasabah. Contohnya Mesyuarat Agung Tahunan dijadualkan esok 10 Oktober
2013 dan notis dikeluarkan hari ini 9 Oktober 2013. Adakah wajar dan
munasabah kepada perwakilan? Tentu tidak, maka frasa “dalam tempoh 14
hari” hendaklah ditafsirkan sebagai tidak kurang 14 hari.
Atas sebab itu saya berpendapat bahawa Notis Mesyuarat Agung Tahunan Pas
Putrajaya bertarikh 12 September 2013 adalah pra-matang dan Mesyuarat
Agung Tahunan pada 22 September 2013 adalah tidak sah. Maka segala yang
dilakukan di dalam Mesyuarat adalah tidak sah. Pemilihan jawatan dan
pemilihan perwakilan ke Muktamar Agung PAS psuat juga tidak sah.
b) Siapa memanggil Mesyuarat Agung Tahunan Pas Putrajaya?
Rujuk kembali kepada Fasal 18(2(a) yang memperuntukkan kuasa kepada Yang
Dipertua untuk memanggil Mesyuarat Agung Tahunan pada bila-bila masa.
Tiada pihak lain yang boleh memanggil Mesyuarat Agung Tahunan selain
daripada Yang Dipertua atau pun permintaan bersurat daripada
sekurang-kurangnya satu pertiga (1/3) daripada AJK Kawasan.
Notis Mesyuarat Agung Tahunan bertarikh 12 September 2013 ditandatangan
oleh Setiausaha PAS kawasan. Siapa yang memanggil mesyuarat? Adakah
Setiausaha atau Yang Dipertua? Fasal 18(2)(a) jelas bahawa hanya Yang
Dipertua boleh memanggil Mesyuarat Agung Tahunan dan Setiausaha hanya
menjalankan tugas mengeluarkan notis. Adakah Ustaz Nazir Zakaria yang
memanggil mesyuarat tersebut? Jika beliau yang memutuskan memanggil
mesyuarat maka mesyuarat itu sah tetapi notisnya pula pra-matang. Jika
orang lain selain Ustaz Nazir yang memanggil mesyuarat, maka mesyuarat
langsung tidak sah.
Atau pun dimaksudkan yang memanggil mesyuarat itu Pemangku Yang
Dipertua? Persoalan tersebut tidak berbangkit kerana Ustaz Nazir Zakaria
adalah dan masih Yang Dipertua yang sah.
KESAN KEPADA PAS PUSAT
Krisis ini akan memberikan kesan secara langsung terhadap PAS. Bagaimana kesannya dan apa kesannya?
Jika Mesyuarat Agung Tahunan Pas Putrajaya tidak sah, maka perwakilan
yang dihantar oleh PAS Putrajaya adalah perwakilan yang tidak sah. Jika
perwakilan Pas Putrajaya memilih di dalam Muktamar Agung PAS November
nanti, pemilihan tersebut akan menjadi tidak sah kerana perwakilan yang
memilih itu tidak layak memilih. Apabila pemilihan Pusat tidak sah, maka
PAS Pusat yang baru dipilih secara keseluruhannya tidak sah dan PAS
boleh dibatalkan pendaftarannya dan diharamkan seperti mana Umno
diharamkan dulu. Kemungkinan Pendaftar Pertubuhan akan mengganggu kacau
PAS seperti mereka lakukan kepada pemilihana CEC DAP tidak boleh
dielakkan.
Adakah PAS mahu sebegitu? Tepuk dada istighfar banyak-banyak....
Zulhazmi Shariff
9 Oktober 2013
Sumber:
Facebook