Laporan Langsung Malaysiakini Di PRK Sungai Limau. Kedah..
08:00 Trafik ke pusat penamaan calon di Dewan Datuk Madi, Yan bergerak lancar dengan kawalan polis.
Beberapa gerai jualan
air dan
makanan ringan didirikan di kiri dan kanan jalan beberapa puluh meter
dari pusat penamaan menjadikan suasana seperti pasar pagi hujung minggu.
08:30 Pemimpin
tertinggi Pakatan, termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang,
Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, Naib Presiden PKR Tian Chua dan
Pengarah Pilihan Raya PAS DUN itu Datuk Mahfuz Omar, kelihatan bersama
Azam.
Ratusan penyokong PAS yang menyertai calon mereka bersama
pemimpin tertinggi Pakatan diminta bergerak ke Pantai Murni daripada
pusat penamaan calon.
Mereka diminta berbuat demikian kerana berkumpul dalam jarak yang tidak dibenarkan. Rombongan BN dijangka tiba tidak
lama lagi.
Penyokong
parti Islam itu kelihatan tidak gembira kerana sedang teruja mahu menyaksikan acara hari ini dari dekat.
08:36 Penyokong PAS mula berarak melalui penamaan calon sambil bertakbir berulang kali.
08:45 Lautan penyokong PAS makin rancak berselawat dan melaungkan
slogan
anti-BN. Manakala penyokong BN pula, kira-kira 500 orang - yang lebih
kecil daripada kumpulan PAS - menyanyikan lagu parti dan melaungkan
slogan "Hidup BN".
Heavyweight Umno termasuk Datuk Seri
Zahid Hamidi dan Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin kelihatan bersama Tan
Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai kumpulan itu.
09:00 Tepat
jam 9 calon BN masuk ke dewan menyerahkan borang pencalonan. Ketika
calon menghantar borang penamaan, penyokong kedua-dua menunggu di luar
dengan penuh semangat.
"Jantung kami berdebar, tak sabar hendak menang," kata Umi Haida Mahmood, 50-an, yang datang dari Pendang seawal jam 7 pagi.
Manakala seorang pemuda Fitri Badaruddin, 22, dari Bukit Chira pula kelihatan membawa
poster berkaitan kenaikan harga petrol RON95 sebanyak 20sen.
"Terima kasih kepada BN!" laungnya kepada orang ramai.
Polis selepas itu memasang kawat berduri di hadapan penyokong BN.
09:15 Di
luar pusat penamaan calon, Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir
memberitahu pemberita, BN yakin merampas kerusi Sungai Limau.
Beliau berharap angin perubahan akan bertiup kencang di kalangan pengundi kawasan itu.
Unit Amal pakai topeng
Unit Amal PAS kali ini lebih bersedia apabila terdapat sebahagian mereka memakai topeng bagi bagi menghadapi gas pemedih mata. Bagaimanapun, terdapat juga gelagat mencuit hati apabila terdapat tiga penyokong wanita Umno termasuk ke dalam kumpulan PAS.
"Kesian,
depa sesat, ini kawasan bendera hijau," kata seseorang yang disambut
gelak ketawa, sebelum trio itu bergerak ke kumpulan BN.
Anggota
Parlimen Cheras daripada DAP Tan Kok Wai berkata, walaupun hilang
negeri, rakyat DUN itu perlu menjadi agen semak dan imbang.
"Kita akan memang. Azizan sangat popular di sini," katanya.
Khairy mahu bawa peluang kerja
Sementara
itu, Ketua Pemuda Umno merangkap Menteri Belia dan Sukan, Khairy
Jamaluddin Abu Bakar sewaktu ditemui di khemah calon dalam kawasan pusat
penamaan berikrar untuk membawa lebih banyak peluang pekerjaan buat
golongan muda di Sungai Limau.
"Kita akan bawa lebih banyak
peluang pekerjaan ke sini. Saya amat bersetuju dengan menteri besar
bahawa kawasan ini perlu dibangunkan.
"Permintaan saya kepada
anak muda di sini, berilah peluang BN jadi waka]il rakyat di sini kerana
kita mahu rakyat di sini selari dengan kerajaan negeri," katanya kepada
pemberita.
09:25 Suasana di dalam kawasan
penamaan calon ceria dan ibarat majlis kenduri apabila rombongan
pimpinan Pakatan Rakyat mengunjungi khemah pimpinan BN yang terletak
kira-kira 30 meter sahaja di antara satu sama lain.
Naib
Presiden PAS, Datuk Mahfuz omar dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali
berbual-bual mesra dengan TPM, Tan sri Muhyiddin Yassin dan dua naib
presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Dr Ahmad Zahid
Hamidi.
Mahfuz dan Azmin sempat mencuri peluang mengucapkan tahniah kepada Zahid dan Hishammuddin. Azmin
yang kemudian menemui Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir
sempat mengusik Mukhriz berkenaan keputusan pemilihan naib presiden Umno
yang lalu. Mukhriz memperolehi jumlah undi popular yang lebih
tinggi berbanding Hishammuddin namun hanya berjaya memperolehi 91 undi
keseluruhan berbanding 100 undi yang diperolehi Hishammuddin untuk
tempat ketiga naib presiden.
"Dulu suruh pakai undi popular tak
mahu, sekarangkan dah menyesal," kata Azmin sambil menepuk bahu Mukhriz
yang hanya tertawa mendengar usikan tersebut.
09:40 Naib
Presiden Umno Mohd Shafie Apdal menggesa pengundi memikirkan masa depan
mereka dengan serius, terutamanya berhubung pembangunan lemah di
kawasan itu selama 23 tahun dimenangi PAS.
"Saya
tahu ramai daripada mereka anggota PAS, tetapi ini tidak bermakna
mereka tidak boleh mengundi BN," katanya kepada pemberita.
Beliau
menegaskan keperluan memilih calon BN supaya penyelarasan dengan
kerajaan negeri dan pusat mudah dan memastikan pembangunan lancar di
kawasan itu. Penyokong BN ketika itu kelihatan membawa kain rentang dan plakad bertulis "Undi untuk transformasi".
10.15 Penamaan
calon secara rasmi ditutup. Sah pertandingan satu lawan satu antara
calon PAS Mohd Azam Abd Samat dan calon BN Ahmad Sohaimi Lazim di Sungai
Limau.
Ahmad Sohaimi diumumkan sebagai calon pertama menyerahkan borang pada 9.04 diikuti Mohd Azam pada 9.05 pagi. Mohd
Azam dalam sidang media ringkas selepas penamaan calon ditutup menggesa
kerajaan negeri agar tidak meminggirkan penduduk Sungai Limau dalam
pembangunan Kedah.
"Kita harap pihak berwajib akan berusaha
walaupun kita berada di kawasan luar bandar, tetapi tidak dianaktirikan
bagi mendapat wifi percuma," katanya.
A.Hadi: Ikut rekod kita menang
10:30 Presiden
PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yakin PAS mampu mempertahankan kerusi
Sungai Limau berdasarkan rekod lampau mereka di kawasan ini.
"Kalau
pilihan raya umum boleh menang, Insya-Allah pilihan raya ini juga kita
boleh menang," kata Hadi kepada pemberita sewaktu ditemui di khemah
calon dalam kawasan pusat penamaan calon.
Penyokong dan pimpinan tertinggi kedua-dua pihak sudah mula meninggalkan pusat penamaan calon.
10:40 Calon
PAS yang mengambil kesempatan menyampaikan ucapan terima kasih kepada
penyokong-penyokong PAS di tepi pintu pagar pusat penamaan calon sekali
lagi.
Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih
kepada bondanya yang memberi restu kepada beliau untuk bertanding dalam
pilihan raya kecil kali ini.
Muhyiddin: Sukar tapi dapat rampas
10:45 Muhyiddin dalam sidang media selepas tamat penamaan
calon mengakui BN bakal melalui laluan sukar kerana Sungai Limau
merupakan kawasan kuat PAS.
"Peluang kita untuk menang tidak sebai PAS," katanya.
Katanya, walaupun pertemuan satu lawan satu baik untuk BN, cabaran yang bakal diberikan parti lawan masih kuat.
"BN dulu kalah di kerusi ini dengan majoriti 2,774 undi, tetapi ia tidak bermakna kita tidak dapat merampas kembali," tegasnya.
Muhyiddin
menjangkakan Pakatan akan membangkitkan isu seperti kos hidup, cukai
barang dan perkhidmatan dan belanjawan akan datang.
Bagaimanapun, katanya, BN akan menjelaskan perkara itu satu persatu semasa tempoh berkempen.
Muhyiddin
juga meminta pembangkang tidak membuat provokasi di kawasan itu bagi
mewujudkan suasana kempen yang damai dan tidak agresif.
11.00 Hujan
mulai turun renyai-renyai dan orang ramai mula bersurai. Kelihatan
pemberita mula menulis laporan - sebahagiannya kecewa kerana talian
Internet yang perlahan.
Ketika pemimpin BN dan penyokongnya bersurai, PAS masih sempat mengadakan ceramah mini selama 20 minit.