Thursday, January 30, 2014

Biar S'ngor Sebagai Penunjuk Jalan Ke Arah Perpaduan..







DS Anwar: Ke Arah merealisasi perpaduan mantap
DS Anwar Ibrahim bimbang melihatkan perkembangan perhubungan antara kaum di Malaysia kini yang dilihat sebagai amat rapuh ketika ini. Amat membimbangkan.
Seolah-olah sudah hampir menyerupai suasana yang memungkinkan berulangnya berlakunya peristiwa pahit 13 Mei 1969.

Justeru mengesyorkan kepada pihak kerajaan agar diadakan satu perbincangan bagi menangani keadaan yang membimbangkan ini.

Walaupun ada tanda-tanda yang memungkinkan berlaku semula peristiwa sedemikian, namun aku masih yakin bahawa peristiwa hitam tidak akan berulang lagi di Malaysia. Aku amat optimis tentang hal ini. Namun kerisauan tetap ada. Dan eloklah para pemimpin negara berwaspada dan bertindak sebelum berlakunya peristiwa yang tidak diingini itu.

Sebetulnya perpaduan antara rakyat Malaysia sudah begitu mentap menjelangnya PRU13 yang lalu. Ikhlas aku katakan yang aku tidak pernah lagi melihat perpaduan yang sebegitu di kalangan rakyat Malaysia. Melayu, Cina, India dan jikalau di Sabah dan Sarawak pula tentulah ditambah dengan Iban, Kadazan, Bidayuh dll. Pendek kata ternampak sesuatu yang cukup meyakinkan kita bahawa sebenarnya Bangsa Malaysia telah wujud. Bukanlah hanya cakap-cakap kosong yang selalu kita dengar yang mengatakan tentang eratnya perpaduan antara kaum-kaum di negara ini.

Aku tertarik dengan kenyataan daripada J. Steen dari Blog Anilneeto.com  bertarikh 17 Mei 2013 . Aku sertakan petikannya,

“ I was at the JB rally. The atmosphere was simply incredible. This rally witnessed the true spirit of one Malaysia in action. I have never seen a more rousing rendition of our national anthem than the one sung at the end of this rally. People of all races, young and old, drenched, some perched on rooftops and trees singing loudly in unison. The incessant blare of the vuvuzelas is still ringing in my ears. Blackout tee shirts were being sold like hot cakes from the 25 plus stalls……..”

Maknanya suasana yang wujud di Perhimpunan ‘Black 505’ sungguh hebat dari banyak segi. Telah wujud semangat satu Malaysia dalam ertikata yang sebenar-benarnya. Bukan hanya slogan dan ‘rhetoric’. J.Steen begitu kagum dengan gelagat hadirin pada malam itu apabila melihatkan mereka menyanyikan lagu kebangsaan ‘Negara ku’. Yang menyebabkan beliau kagum ialah apabila melihatkan hadirin dari berbagai kaum, yang basah kuyup dan yang bukan sahaja berada di jalan-jalan raya tetapi yang berada di atas atap rumah, yang berada di atas pokok (disebabkan kawasan terlalu padat sehingga ramai yang terpaksa berada di atas pokok untuk bersama-sama di majlis berkenaan) beramai-ramai menyanyikan lagu Negaraku. Menyanyikan dengan kuat dan penuh semangat.

Menyanyikan lagu ‘Negara-ku” dengan cara sedemikian betul-betul menunjukkan penghormatan yang tinggi dan ketaatan yang bukan kepalang terhadap negara ini. Pernah kita melihat rakyat Malaysia menyanyikan Negara-ku di majlis-majlis rasmi. Namun apa yang kita perhataikan ialah mereka yang menyanyikan lagu kebangsaan semacam ‘hendak tak hendak’ sahaja menyanyikannya. Seolah-olah ‘terpaksa’. Berbanding dengan majlis perhimpunan ‘Black 505’ ini samada di Kelana Jaya atau di Batu Kawan atau di Pahang, ternampak jelas semangat satu Malaysia di hati hadrin. Aku rasa ini satu pencapaian Pakatan Rakyat yang cukup membanggakan. Tercipta Bangsa Malaysia sebenar-benarnya.

Tetapi mengapa semangat perpaduan yang erat antara kaum itu tidak berterusan? Mungkin agak keterlaluan aku mempersoalkan hakikat sedemikian. Mungkin perpaduan kaum dalam negara pada keseluruhannya memuaskan. Namun berdasarkan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh para pemimpin kita menampakkan ada sesuatu yang tidak kena yang berlaku dalam negara kita. Kenyataan DS Anwar Ibrahim yang merasa bimbang dengan keadaan perpaduan kaum dan kenyataan DS Mohd Najib yang sentiasa meyeru ‘agar rakyat bertenang’ memberikan sesuatu gambaran yang keadaan negara tidak begitu ‘tenang’.

Sebenarnya berlakunya sesuatu yang dianggap tidak tenang itu adalah berpunca daripada segelintir manusia yang sentiasa menimbulkan kekacauan dalam negara. Kumpulan sedemikian seolah-olah merupakan ‘profession’ mereka untuk menganggu gugat ketenteraman awam dengan tindakan mereka yang kadang-kadang dilihat sebagai di luar batas manusia yang mempunyai peradaban. Mereka seolah-olah berbangga berbuat demikian. Dan kadang-kadang terfikir juga aku bahawa apakah mereka diberi upah untuk melakukan kegiatan sedemikian rupa. Yang anehnya kumpulan ini tidaklah seramai mana. Boleh dibilang dengan jari.

Tindakan provokasi yang mereka lakukan itu tidak mendapat perhatian kumpulan sasaran mereka. Mungkin ada yang ‘tercuit’ dengan tindakan mereka itu. Namun bagi sebahagian besar masyarakat merasakan bahawa tindakan sedemikian adalah merupakan tindakan kebudak-budakan dan memalukan kaum itu sendiri.Yang malangnya kumpulan ini kebiasaannya menggunakan nama ‘Melayu’ sedangkan sebahgian besar orang Melayu tulen di negara ini tidak sebegitu sikapnya. Malah sebahagian besar orang Melayu menentang tindakan kumpulan yang menggunakan nama ‘Melayu’ memperjuangkan agama Islam dan bangsa Melayu itu. Bukan cara manusia yang bertamadun.

Perjuangan orang yang beradab tidak begitu caranya.

Perpaduan kaum adalah ‘asam-garam’ kempen Pakatan Rakyat samada dari PKR atau PAS mahupu DAP dalam menghadapi PRU13 yang lalu. Walaupun agak sukar pemimpin ketiga-tiga parti ini untuk menaja sesuatu yang amat sukar itu, namun disebabkan perasaan keikhlasan tulin agaknya, yang mahu melihat perpaduan bangsa Malasyia yang sejati, maka telah menghasilkan sesuatu yang agak konkrit.

Perkara-perkara yang selalu ditekankan oleh DS Anwar Ibrahim dalam ucapannya adalah seperti,

·      Anak Melayu, anak Cina, anak India, anak Iban adalah anak saya……..anak rakyat Malaysia…..

·      PR bukan sahaja akan memberikan pertolongan kepada orang Melayu tetapi juga kepada orang Cina, orang India, orang Iban…..tidak kira bangsa dan kaum…..Kita akan bantu siapa sahaja yang memerlukan bantuan…..

·      Soal Bahasa Kebangsaan tidak boleh dipertikaikan. Apa saja yang tercatat dan termaktub dalam Perlembagaan Malaysia tidak harus dipertikaikan.

Nampaknya rakyat Malaysia boleh terima. Menerimanya dengan sepenuh hati. Buktinya dapat dilihat dalam kempen-kempen PRU13 dan sambutan-sambutan yang diberikan oleh rakyat apabila diadakan kempen PR dan juga apabila diadakan Perhimpunan ‘BLCK 505’ yang diadakan di merata-rata tempat di seluruh Malaysia.

DS Anwar Ibrahim boleh meneruskan semula kempen menyatukan kaum ini terutama semasa berkempen dalam PRK Kajang yang akan diadakan tidak lama lagi. Dan sekiranya dizinkan Allah boleh terus menjadikan negeri Selangor sebagai negeri contoh yang memacu hasrat menyatupadukan kaum-kaum dalam ertikata yang sebenarnya.

Biarlah Selangor sebagai penunjuk jalan ke arah perpaduan yang sebenar.

Abuhassanadam 
(HD)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails