Saturday, January 11, 2014

Dr Mujahid Jawab, Rampasan Injil Di Premis Persatuan Injil..

by  Dr Mujahid Yusof Rawa
 
Dr Mujahid Yusof Rawa

Rahmat Yang Hilang... 

KERAHMATAN adalah perkataan yang indah namun sukar dinikmati dan kerana hakikat ini, mengecapi kerahmatan adalah sesuatu yang merupakan kemuncak perasaan belas dan ihsan kepada ciptaan Allah.
Tidak mungkin kerahmatan ini dihargai jikalau tidak terasas dalam diri kita sebagai seorang muslim sifat insaniah yang dianjurkan oleh Islam. Mukadimah di atas membuka ruang untuk saya menyinggung perkembangan terkini rampasan beberapa ratus naskhah Injil dari premis PersatuanInjil Malaysia oleh pihak penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

MEMBETULKAN SALAH TANGGAP

Adalah jelas di sini pertikaian betul atau tidak tindakan Jais boleh dibahaskan dari sudut perundangan dan kebijaksanaan bertindak dan inilah yang berlaku kepada setiap penguatkuasaan yang dilaksanakan. Saya tidak berminat untuk membahas aspek itu kerana Jais pasti akan mempertahankan tindakannya dan terserahlah kepada pihak pengamal undang-undang untuk membuat penilaiannya.

Saya lebih cenderung untuk melihat dalam artikel ini dari sisi prinsip yang memantulkan sifat rahmatan Islam yang mencakupi keseluruhan alam ini termasuk kepada penganut agama lain. Apa yang saya nyatakan sebelum ini dalam kenyataan saya selepas peristiwa rampasan kitab Injil itu berpandukan kepada prinsip Islam dalam konteks hubungannya dengan penganut agama lain supaya kejelasan kita kepada isu ini tidak diheret dengan sentimen dan emosi buta yang boleh mencemarkan nama baik Islam.

Saya bimbang dengan sesetengah pihak dari kita yang memandang serong kepada saya sehingga mereka tidak dapat membezakan apa yang saya katakan dari kerangka prinsip dan kemarahan mereka yang tidak berasas.

Kita dididik untuk berpegang kepada prinsip, walaupun dalam keadaan marah sekalipun, kita memerlukan prinsip untuk memandukan kita dan Islam sarat dengan prinsip khususnya dalam memahami hubungan Islam dengan agama lain. Semoga prinsip yang saya akan jelaskan di bawah difahami oleh mereka yang kenyataan dan tindak-tanduk mereka telah mencemarkan nama baik Islam.

PRINSIP PERTAMA: RAHMATAN LIL ALAMIN

Prinsip Rahmatan diambil dari kenyataan Al Quran yang mengasaskan
  • “Tidak kami utuskan dikau wahai Muhammad melainkan untuk membawa rahmat ke alam ini” (Al Anbiya' 107).
Sebarang tindakan ataupun undang-undang mestilah tidak bercanggah dengan sifat Rahmatan yang diasaskan oleh Islam . Demikianlah kita menentang ISA dan lain-lain akta yang tidak bersandarkan prinsip utama Syariat.

Bagi sesebuah pihak yang berkuasa yang bertindak atas nama Islam, prinsip ini lebih-lebih lagi hendaklah diutamakan kerana walaupun bertindak atas nama Islam tetapi apabila tidak memantulkan makna Rahmatan maka ia bukanlah daripada Islam.

Makna Rahmatan bagi hubungan sesama manusia membawa maksud berlembut dan bersantun dalam memelihara hak Allah kepada manusia walaupun manusia tidak dapat menerimanya. Hak Allah ke atas hamba-hambanya tanpa mengira keturunan dan agama ialah menghormati kebebasan mengamalkan agama masing-masing termasuklah upacaranya dan kitab sucinya.

Islam hanya menentang dan tidak dapat menerima aspek teologinya (aqidah) dan caranya ialah dengan menjelaskan kepada mereka melalui dakwah dan berdebat dengan cara yang terbaik. Allah berfirman dalam An Nahl: 33, yang bermaksud:
  • “Dan apakah yang lebih baik dari seseorang yang menyeru kepada jalan Allah dan mengatakan bahawa aku adalah dari kalangan muslimin.”
Para musfasir berpendapat bahawa kerana ayat ini turun di Mekah maka ia adalah ayat tentang tugas Nabi yang besar dalam menerangkan kebenaran Tauhid melalui hujah dan keterangan dari Allah. Kecuali Aisyah (r.a.h) menyatakan ayat ini ialah pujian kepada para muazin yang menyeru untuk mendirikan solat (sedangkan azan hanya disyariatkan selepas hijrah).

Kerahmatan Islam juga terserlah dalam menegakkan keadilan tanpa mengira bulu atau agama dan salah satu keadilan yang dibela oleh Islam ialah hak untuk beragama malah segala keperluan ibadat mereka adalah hak yang tidak boleh dirampas dan hendaklah diperuntukkan kepadamereka.

PRINSIP KEDUA: LARANGAN MENGUTUK AGAMA LAIN

Nabi menunjukkan contoh kepada kita bahawa seorang muslim hanya bertanggungjawab menyampaikan kebenaran tetapi tidak boleh mengecam tuhan-tuhan golongan yang tidak beriman kerana balas membalas kecaman hanya akan mengheret pihak lain akan memaki hamun Allah pula sebagai tindak balas. Allah berfirman dalam Al An'am:108 yang bermaksud;
  • "Jangan kamu memaki hamun tuhan mereka yang menyeru selain daripada Allah, kelak mereka akan balas memaki Allah dengan permusuhan dan mereka tidak ada pengetahuan tentangNya (Allah), Demikianlah dihiaskan pada setiap umat (yang menganuti sesuatu agama,mereka amat menyukainya dan akan mempertahankan apa yang mereka ada) perbuatan mereka, dan kemudian kepada Tuhan mereka akan dikembalikan dan diberitakan kepada mereka (apa yang kesesatan yang mereka lakukan, dan kebenaran yang dibawa oleh Muhamaad s.a.w)”
Ayat sebelum 108, iaitu 107, dengan tegas menyebut bahawa Muhammad s.a.w bukan penjamin dan boleh memaksa mereka untuk beriman kerana hakikatnya Allah menyatakan bahawa Dia berkuasa untuk menjadikan mereka beriman tetapi Allah tidak berbuat demikian. Nabi dan orang Islam hanya dituntut dengan penuh hikmah menyeru mereka.
  • “Jikalau dikehendaki Allah pasti mereka tidak akan mensyirikkan diri dengan Allah, Kami tidak jadikan engkau wahai Muhammad sebagai penjaga mereka(untuk beriman) dan engkau bukanlah penjamin mereka (supaya beriman).”
PRINSIP KETIGA: TIADA PAKSAAN DALAM AGAMA

Islam tersebar ke seluruh dunia bukan dengan kekerasan dan pemaksaan. Telah terbukti bahawa penerimaan Islam berlaku secara pilihan dan pemerintahan Islam tidak pernah memaksa mana-mana bangsa yang dikuasainya untuk memeluk Islam.
Malah rumah ibadat dan kitab suci mereka dibiarkan untuk penganut masing-masing tanpa ada urusan campurtangan dalam urusan agama orang lain. Sebenarnya umat Islam dipandu dengan prinsip “tiada paksaan dalam memeluk Islam”.

Ia diasaskan oleh firman Allah dalam Al Baqarah:256 yang bermaksud;
  • “Tiada paksaan dalam agama, telah jelas petunjuk dari kesesatan, barang siapa yang kufur dengan Thagut (selain dari Allah) dan beriman dengan Allah maka dia telah berpegang dengan ikatan yang kuat, tiada tercerai daripadanya. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Ayat ini turun di Madinah di kalangan ibu-ibu yang Islam bertanya kepada Rasulullah s.a.w apakah dizinkan mereka memaksa anak-anak mereka yang beragama Yahudi untuk peluk Islam?
Menjadi amalan kepada ibu-ibu yang susah mendapat anak untuk bernazar dengan berkata, “Jikalau aku dapat anak akan ku jadikan anak ini nanti memeluk agama Yahudi.”
Apabila mereka mendapat anak mereka memenuhi nazar ini lalu setelah mereka menerima Islam, mereka mahukan anak -anak mereka dipaksa supaya memeluk Islam.
Dalam riwayat yang lain apabila Bani Nadhir dihalau dari Madinah anak-anak mereka berada dalam itu lalu untuk menyelamatkan anak mereka, mereka mahu memaksa anak-anak mereka memeluk Islam, dan turunlah ayat menerangkan prinsip besar ini iaitu “tiada paksaan dalamagama”.

Prinsip ini konsisten hatta semasa Nabi di Mekah apabila Allah menegaskan bahawa jika dikehendaki semua orang akan beriman. Sifat Nabi yang ambil berat kepada kaumnya menyebabkan dia bimbang keengganan mereka untuk tidak beriman lalu Allah menegur Nabinya dalam Yunus:99, yang bermaksud;
  • "Jika Tuhan mu kehendaki maka akan berimanlah semua yang dibumi, apakah engkau mahu memaksa mereka sehingga mereka beriman?"
Kaedah tiada paksaan menerangkan kepada kita juga tentang perlunya umat Islam menghormati agama lain termasuk rumah ibadatnya dan segala apa yang mereka anggap suci termasuklah kitab mereka.
Hormat bukan bererti mengiktiraf mereka tetapi akur kepada realiti kepelbagaian dan bersikap terbuka lewat interaksi dakwah dan mendorong mereka ke arah menghayati keindahan Islam. Abu Bakar As-Siddiq menulis surat kepada Kristian Najran dengan berkata:
  • “Dengan nama Allah Maha Pengasih, Maha Penyang, ini adalah surat dari hamba Allah Abu Bakar, pengganti Muhammad sebagai pemimpin kamu untuk penduduk Kristian Najran bahawa aku melindungi mereka dengan perlindungan Allah dan jaminan Muhammad, Rasulallah ke atas diri mereka dan tanah mereka, agama mereka, harta mereka, binatang ternakan mereka, ibadat mereka dan semua yang ada serta uskop mereka, rahib mereka dan jual beli mereka dan apa yang ada dalam milikan merekasedikit pun tidak dikurangkan atau diambil dari mereka, tiada uskop yang ditukar dan rahib yang ditukar” (dalam Kitab Kharaj).
Abu Bakar selaku khalifah Islam pertama meletakkan asas hubungan atas prinsip “tiada paksaan” menjadi ikutan sepanjang sejarah Islam dalam hak orang bukan Islam khususnya Ahlul Kitab yang perlu dilindungi oleh pemimpin Islam.
Tidak pernah dalam sejarah Islam mana-mana kitab suci dirampas atas apa juga alasan kerana ia mencemari prinsip tiada paksaan.

“Tiada paksaan” juga bermakna bahawa setiap penganut mempunyai caranya tersendiri memahami keperluan agamanya tanpa ada hak untuk kita mencampuri urusan agama dan kitab suci mereka apatah lagi menentukan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh untuk mereka kerana merekamempunyai undang-undang dan cara mereka tersendiri.

Dalam al-Maidah ayat 48 menegaskan (yang bermaksud);
  •  “...pada setiap umat Kami jadikan mereka undang undang dan cara masing-masing, jikalau dikehendaki Allah dijadikan kamu atas satu agama tetapi adalah untuk menguji kamu apa yang diberikan maka berlumbalah berbuat baik..”
Kitab suci Taurat dan Injil ada undang-undangnya dan caranya walaupun Islam merangkumi kitab sebelumnya tetapi hakikatnya Injil dan Taurat masih ada hari ini dan tiada hak untuk kita menentukan apa yang boleh dan tidak boleh dipakai dalam keperluan kitab mereka kerana itu jugaadalah satu bentuk paksaan.

PRINSIP KEEMPAT: BERDIALOG

Keindahan Islam dan Rahmatnya kepada agama lain terserlah dengan jambatan dakwah dan dialog sebagai interaksi Islam dengan bukan Islam.
Walaupun kebenaran Islam tidak diragui lagi, Allah tetap menyatakan prinsip berdialog dan berbincang dengan cara yang baik seperti firmanNya dalam An Nahl ayat 125 yang bermaksud:
  • “Serulah kamu ke jalan Tuhan mu dengan penuh bijaksana dan hikmah dan jika berdebat maka berdebatlah dengan cara yang terbaik(lembut) Maka Tuhamu mengetahui siapa yang sesat dan siapa yang mendapat petunjuk”
Prinsip dialog menuntut supaya dalam apa jua hal maka rundingan dan dialog adalah lebih baik dalam menentukan hubungan dengan agama lain, apatah lagi jika berlaku kekeliruan ataupun sesuatu yang sensitif yang boleh menjejaskan hubungan antara agama di negara ini.

RUMUSAN PRINSIP

Prinsip-prinsip di atas membentuk Rahmatan Islam kepada keseluruhan Alam dan khususnya dalam hubungan muslim dan bukan muslim. Kita diajar bahawa setiap apa yang kita lakukan tidak boleh bercanggah dengan prinsip di atas selagi tidak ada apa-apa keadaan dan situasi yang membolehkan orang Islam bertindak sebaliknya seperti mempertahankan diri ataupun apabila terbukti sesuatu ancaman itu berlaku.

Adalah sesuatu yang bertentangan dengan prinsip juga apabila Islam cuba mencampuri urusan agama orang lain dengan menentukan mana yang boleh dan mana yang tidak boleh lalu bertindak ke atas mereka. Premis hubungan muslim dengan bukan muslim diasaskan oleh kedamaian dan situasi sebaliknya seperti permusuhan adalah sesuatu yang mendatang atas sebab-sebab yang jelas dan bukti yang nyata.

Dakwaan kristianisasi jika benar hendaklah ditangani dengan bukti kerana itu bertentangan dengan semangat negara ini yang terbina atas Islam sebagai agama rasmi persekutuan. Apa yang berlaku hari ini ialah hubungan dengan bukan Islam seolah-olah berada di atas premis permusuhan manakala kedamaian adalah pengecualian.

Asas fahaman ini amat bahaya dalam konteks membina negara bangsa dan perpaduan nasional kerana ia rapuh dan boleh dirampas perpaduan yang dibina selama ini oleh pihak-pihak yang sempit gagasan negaranya pada bila-bila masa.

Saya menyeru kepada mereka yang tidak setuju dengan pandangan saya bahawa berhujahlah atas prinsip yang saya kemukakan dan jangan berhujah atas emosi dan amarah apatah lagi tuduhan pro Kristian dan malah ada yang mempersoalkan keIslaman saya.

Apakah sebahagian kita ini sudah hilang kewarasannya dengan menyebarkan kejahilan dan kebodohan dan menyerang prinsip dan menidakkannya atas nama Islam?

Penulis ialah Ahli Parlimen Malaysia merangkap Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. Beliau juga merupakan Pengerusi Forum Dialog Antara Agama Untuk Kedamaian peringkat Asia Tenggara. (mStar)

Lihat Sebelum Ini..
E-Buku IH-18: 'PAS & Pemikiran Dr Mujahid'
E-Buku IH-18: 'PAS & Pemikiran Dr Mujahid'

4 comments:

maae said...

Ingin saya lontar pandangan dari sudut keadaan biasa :-

1. Jika Mujahid bercerita pasal prinsip dari perpektif Islam, memang tiada cela nya kerana itu lah peraturan Allah SWT yang di beri Nur kepada Rasululah pembawa rahmat untuk sekian alam. Ia terpakai untuk pengembangan syariah Allah SWT untuk semua manusia, alam dan kejadian. Memang universal.

2. Dalam kontek kristian di sini, kenapa pula prinsip Mujahid tergadai ? Sepatut nya kristian itu tunduk kepada keagungan Islam kerana dakwah yang berkesan tetapi kes ini terbalik. Mujahid menjadi perisai melindungi musuh Islam yang nyata ( perlu di ingat, bukan musuh manusia. Musuh Allah SWT) yang siang dan malam akan cuba memurtadkan umat Islam. Kita tidak ragu dengan yang mukmin kerana keimanan mereka melayakkan di panggil orang-orang yang beriman. Sasaran yang di risaukan ialah kepada bangsa kita yang hanya pada nama Islam tetapi amalan harian tidak dengar dan tidak patuh kepada syariat Allah SWT. Mulut berkata tetapi hati tidak tunduk. Mereka ini bakal terjerumus kerana kristian memang bijak menjalankan dakwah dan propaganda mereka. Mereka rela berkorban demi matlamat tercapai. Lihat saja di Sabah dan Serawak bagaimana mereka begitu aktif dan berjaya mengkristiankan pribumi. Mujahid melayu di mana ? Kenapa semua di pupuk kepada Umno ? Kristian bergerak tanpa suar politik tetapi dengan kebijakan strategi. Cuba fokus kegiatan kristian di sana . Malu kita kepada Rasul dan Allah kerana betapa jumud nya cara kita berdakwah.

3. Kita beriktikad berkonsepkan Tauhid. Kristian berkonsepkan triniti. Mana yang di katakan agama Islam itu sama seperti laungan Marina? Islam yang sihat menolak konsep ini. Islam yang sakit akan segera tunduk kepada konon nya keinsanan. Kafirun tiada sifat keinsanan sehingga kita mengikut mereka. Itu kenapa Palestin sehingga kehari ini di simpai sehingga semua menjadi milik yahudi. Ada keinsanan ? Cara Dap menghambat melayu, ada keinsanan ? Perkara kecil-kecil di biarkan akan menjadi besar. Peniaga cina bebas berniaga, peniaga melayu di kawasan stratejik di hambat seada nya, depan mata melayu sendiri ! Saya timbulkan ini kerana LGE memang penggerak dan katalis untuk kristian tidak hormat kepada Pemerintah Melayu, undang-undang dan peradaban Islam. Siapa mereka sehingga memijak kepala ? Ini bukan lagi soal kemanusiaan. Ini soal "penguasaan" dan provokasi melampau melibatkan maruah Melayu dan Islam. Jadi Mujahid Islam di mana ? Mujahid Rawa dan Marina di mana ? Tidak kah ini membahayakan akidah umat Islam ?

Tidak berasa sakit hati ? Jika tiada, sesungguh nya kita sendiri sebagai Melayu Islam sudah mati sifat keinsanan kerana menganiaya bangsa sendiri ! Islam sejagat yang bebas di beri contoh oleh Rasul Allah. Kafir dan Munafik akan membakar hancur Sunnah dan Anutan Agama Rasul kita. Mereka tidak pernah mengiktiraf Muhammad ! Kenapa pula kita mesti menyokong mereka ?

Unknown said...

Untuk mengukuhkan sesuatu hujah,saudara maae mesti komen balik atas jawapan yg telah dr.mujahid sampaikan.kalau xda,nyatakan sesuatu hujah kemaafan dan pengiktirafan terhadap jawapan yg dsampaikan.

Unknown said...

Untuk mengukuhkan sesuatu hujah,saudara maae mesti komen balik atas jawapan yg telah dr.mujahid sampaikan.kalau xda,nyatakan sesuatu hujah kemaafan dan pengiktirafan terhadap jawapan yg dsampaikan.

musafir dunia said...

KEPADA Maae
hidayah hanya dari ALLAH.kalau dia bukan islam sepenuhnya, dia tetap kafir, samada kris,maj, yah,budd, hin, atau apapun, Melayu banyak begitu,engkau pergilah dakwah mereka
supaya menjadi islam tulin.Siapa yang menjadikan mereka begitu?. antara sebabnya orang macam awaklah.
penyokong tegar.setahu saya orang kris gunakan allah hanya didalam gereja mereka sahaja.memang mereka berniat hendak mengelirukan/ berdakwah kepada orang islam tetapi hanya orang melayu bodoh kononnya islam akan terpedaya.Bagi orang islam yang berilmu, mereka mengambil kesempatan ini (kekalutan) untuk berdakwah /menerangkan kepada orang bukan islam. Yang hak/benar tetap menang dan akibatnya memperbanyaknya orang bukan islam masuk islam.Yang melayu lalai ini,teruslah hanyut dan akhirnya masuk N. Syarat Nak masuk Syurga mestilah berilmu.Yang
berilmu masuk islam, yang bodoh jadi kafir.Tak adilkah begitu.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails