Friday, January 10, 2014

Erdogan Lawat Malaysia, Dialog & Kerjasama 2 Hala..


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan melakukan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia mulai hari ini atas jemputan rakan sejawatannya Datuk Seri Najib Tun Razak.
  
Erdogan akan diringi oleh isterinya Puan Emine Erdogan serta 97 anggota delegasi termasuk Timbalan Perdana Menteri, Menteri Hal Ehwal Kesatuan Eropah, Menteri Ekonomi, Menteri Tenaga dan Alam Sekitar serta Menteri Belia dan Sukan.
  
Wisma Putra, dalam kenyataannya malam tadi, berkata lawatan ke Malaysia itu adalah sebahagian daripada misi lawatan Erdogan ke Asia termasuk Jepun dan Singapura. Lawatan tersebut juga sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Turki yang terjalin pada 1964, menurut kenyataan itu.
  
Perdana Menteri Turki itu akan diberi sambutan rasmi di Perdana Putra, Putrajaya pada Jumaat ini, disusuli mesyuarat tertutup dengan Najib sebelum kedua-dua pemimpin itu mengetuai delegasi masing-masing pada mesyuarat dua hala.

Wisma Putra berkata perbincangan antara kedua-dua pemimpin itu dijangka tertumpu kepada soal meningkatkan dialog dan kerjasama dua hala, antara lain dalam bidang politik, perdagangan dan pelaburan, pelancongan, pendidikan dan pertahanan.
  
Selain itu, kedua-kedua mereka juga dijangka membincang dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu kepentingan bersama serantau dan antarabangsa.
  
Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor akan mengadakan majlis jamuan rasmi untuk meraikan Erdogan dan Emine di Seri Perdana.
  
Semasa lawatan itu, Erdogan dijadual menyampaikan kuliah utama bertajuk  'Mentranformasikan Asia Pasifik dan Turki' pada siri syarahan Tun Abdul Razak anjuran Yayasan Penyelidikan Mengenai Transformasi dan Razak School of Government (RSOG).
  
Wisma Putra berkata Perdana Menteri Turki itu akan menerima anugerah Ijazah Doktor Kehormat dalam Pengurusan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). (Sumber Bernama)

Sebelum ini..       Forum Usahawan 1
Forum Usahawan 1
Tambah Pendapatan & Mula Niaga. Dari 0.. Begini Caranya

No comments:

Post a Comment