▼
Friday, January 03, 2014
Himpunan Lebih Besar Jika Tiada Tindakan k'jaan -Suhaizan Kaiat
Dewan Pemuda PAS Malaysia mengancam untuk mengadakan satu perhimpunan lebih besar sekiranya kerajaan masih tidak melakukan sebarang tindakan menurunkan kenaikan kos sara hidup.
Ketuanya Suhaizan Kaiat (Gambar) berkata kehadiran 10,000 golongan anak muda ke perhimpunan di Dataran Merdeka pada malam tadi menunjukkan bahawa masyarakat yang mengalami kesempitan hidup kini tidak boleh lagi berdiam diri.
"Saya juga ingin menyatakan rasa yang sama, bahawa himpunan malam tadi adalah permulaannya.
"Jika kerajaan tidak berganjak dengan sikap degil dan tidak bertoleransi dengan rakyat, himpunan yang jauh lebih besar dari ini akan digerakkan," kata Suhaizan dalam kenyataannya.
Katanya, sikap yang ditunjukkan oleh para peserta perhimpunan di Dataran Merdeka itu juga menunjukkan golongan itu menghormati prinsip demokrasi dan tidak bertindak ganas untuk menggulingkan kerajaan seperti didakwa.
Tambahnya, ancaman yang timbul berhubung ancaman bom serta ribuan laporan polis oleh NGO pro-kerajaan juga tidak menghalang kemaraan kumpulan berkenaan untuk menyatakan bantahan mereka.
"Ancaman sebegitu tidak mampu melemahkan kebangkitan peserta terutama anak muda semakin bersemangat dan berani menyatakan sikap tanpa menghiraukan risiko yang bakal ditempuh mereka," katanya.
Menurutnya, ancaman seperti itu hanyala ketakutan golongan tersebut pada "bayang-bayang sendiri".
Sedangkan, kenaikan kos sara hidup itu berpunca dari kegagalan kerajaan mengurus tadbir negara dengan baik, dakwanya.
Perhimpunan tersebut masih tetap diteruskan semalam walau perdana menteri pada hari sebelumnya mengumumkan 11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam, termasuk mengurangkan elaun keraian menteri dan timbalan menteri sebanyak 10 peratus. (MK)
No comments:
Post a Comment