Thursday, January 02, 2014

Hudud: Apabila K'tan 'Tinggalkan' Nik Aziz -Dr Abdul Aziz Bari


Di sisi perlembagaan pertukaran pimpinan kerajaan, baik pusat atau negeri, adalah pertukaran kerajaan. Inilah prinsip yang terpakai meskipun pertukaran itu masih dalam kalangan parti yang sama.

Sebab itu apabila Datuk Ahmad Yaakob (bawah) mengambil alih pucuk pimpinan kerajaan negeri Kelantan sebagai menteri besar dari Datuk Nik Aziz Nik Mat beliau bebas membuat dasar dan pendekatan yang baru yang berbeza atau bertentangan dengan kerajaan terdahulu.

Begitulah juga halnya apabila Datuk Seri Najib Razak mengambil alih jawatan perdana menteri dari Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 2009.

Secara kebetulan kedua-dua perubahan ini berlaku selepas pilihan raya umum: di pusat selepas pilihan raya umum 2008 manakala di Kelantan selepas pilihan raya umum 2013.

Bagaimanapun dari segi politik perubahan akan menimbulkan persoalan. Di Kelantan Ahmad Yaakub kelihatannya, sedar atau tidak, mengambil pendekatan atau sekurang-kurangnya rentak yang berbeza dari Nik Aziz dalam pelaksanaan hudud ini.

Najib pun nampaknya begitu juga. Jika kerajaan Umno-BN sebelum ini, khususnya sewaktu pentadbiran Mahathir, mengambil sikap menentang pelaksanaan hudud Najib belum memperlihatkan penentangannya.

Bahkan ada kalangan pemimpin Umno, contohnya Tan Sri Annuar Musa, yang semacam cenderung untuk menyokong pelaksanaan hudud.
Saya dipanggil untuk memberi penjelasan mengenai kedudukan hudud dalam perlembagaan oleh Nik Aziz sekitar bulan September 2011.

Dalam pertemuan satu jam di JKR 10 itu saya ditemani oleh Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Dzulkefly Ahmad. Sebelah malamnya saya diminta berceramah bersama beliau.

Secara kebetulan Datuk Seri Anwar Ibrahim pun berceramah di Kota Bharu juga malam itu. Antara ahli exco yang hadir malam itu ialah Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sendiri.

Seminggu sebelum pertemuan itu Nik Aziz dengan tegas memberi tahu media bahawa Kelantan, sama ada kerajaan pusat membenarkan atau tidak, akan melaksanakan hudud yang enakmennya telah pun diluluskan oleh DUN Kelantan pada 1993.

Seolah-olah digam

Najib dengan tegas menyatakan bahawa Umno tidak akan melaksanakan hudud. Pakatan Rakyat sendiri agak gusar dengan pendirian tidak berkompromi Nik Aziz.

Selepas pertemuan itu kerajaan negeri menganjurkan sebuah wacana pelaksanaan hudud di Kota Bharu. Bersama saya di pentas ialah Datuk Mohamad Daud (Daud Iraqi) dan Datuk Ketua Hakim Syarie Kelantan.

Moderator program tersebut ialah Zulkifli Mamat. Antara kesimpulan penting wacana tersebut ialah bahawa halangan pelaksanaan hudud di Malaysia bukan perlembagaan tetapi tidak wujudnya kemahuan politik k earah itu.

Kebanyakan yang hadir, termasuk Datuk Takiyudin Hassan yang ketika itu dalam exco, menzahirkan rasa lega dan puas hati.

Maklumlah saban hari Kelantan dihentam oleh media milik Umno-BN. Kelantan juga dilagakan dengan rakan-rakan dalam Pakatan, khususnya DAP.

Apa yang berlaku hampir tiga tahun lalu itu saya kisahkan semula kerana sebulan yang lalu dengan tiba-tiba PAS seolah-olah hendak menyerang dan menyisihkan saya.

Melalui Harakah mereka mencari kelemahan pandangan saya tentang pelaksanaan hudud dalam konteks perlembagaan.

Anehnya apabila saya menghubungi Harakah untuk memberi penjelasan saya seolah-olah digam. Semacam ada arahan bahawa pandangan saya tidak boleh disiarkan oleh organ rasmi PAS itu.
Anehnya Harakah menggeletek saya, mengatakan bahawa khalayak menunggu penjelasan saya; yakni mengapa saya mengatakan perlembagaan bukan halangan pelaksanaan hudud.

Tetapi apabila saya memberi maklum yang saya hendak memberi penjelasan mereka semacam tidak bersedia memberi ruang.

Bahkan dalam satu wawancara Harakah mendakwa pandangan saya didakwa tidak disetujui oleh ramai orang.

Kenyataan media membingungkan

Dalam pada itu kerajaan negeri Kelantan membuat beberapa kenyataan media yang membingungkan saya.

Nik Amar sebagai contoh berkata mereka telah meminta saya membuat kajian mengenai pelaksanaan hudud sedangkan saya tidak pernah menerima sebarang arahan seperti itu.

Pada satu peringkat Dr Mohd Fadzli Hassan (bawah) dilaporkan berkata bahawa Kelantan patuh kepada perlembagaan dan saya hanya memberi pandangan peribadi.

Ini seolah-olah hendak menyatakan bahawa saya mencadangkan bentuk pelaksanaan yang bertentangan dengan perlembagaan.
Sebab itulah di atas tadi saya sebut soal keharusan bagi seseorang menteri besar mengambil sikap atau pendekatan yang berlainan dari kerajaan yang terdahulu.

Apa yang saya lihat ialah kerajaan negeri di bawah Ahmad Yaakob telah mengabaikan pendekatan yang diambil oleh Nik Aziz yang saya restui tadi.

Meskipun kerajaan sekarang tidak mengatakan bahawa mereka telah meninggalkan Nik Aziz itulah hakikat yang kelihatan.

Mungkin kerajaan negeri akan berkata: kami tetap dengan Nik Aziz, kami hanya tidak menerima pandangan Aziz Bari.

Ini tidak masuk akal kerana bagi sesiapa yang faham dan meneliti pandangan saya mengenai pelaksanaan hudud sudah pasti akan melihat perbezaan jelas antara pandangan saya selepas pertemuan dengan Nik Aziz pada 2011 dengan apa yang zahirkan bertahun-tahun sebelum itu.

Termasuk dalam forum umum di Kota Bahru sempena 100 hari Pakatan Rakyat pada penghujung 2008.

Kronologi & insiden

Sesiapa yang faham isu ini tentu ingat apa yang saya kata malam itu. Untuk makluman panelis lain yang hadir malam itu ialah Datuk Husam Musa dan Khairy Jamaluddin bersama moderator Prof Madya Datuk Dr Mohd Agus Yusof.

Apa pun selepas pertemuan di Kota Bharu pada 2011 itu saya dilantik oleh kerajaan negeri untuk duduk dalam sebuah jawatankuasa teknikal pelaksanaan hudud di Kelantan.

Bagaimanapun saya tidak pernah dipanggil oleh jawatankuasa ini untuk menghadiri sebarang mesyuarat atau perbincangan.

Saya tidak menyalahkan bekas menteri besar kerana beliau sibuk. Selain itu beliau juga sudah lanjut usia dan uzur pula.

Dalam pada itu pada awal 2012 saya dijemput oleh kerajaan negeri untuk menghadiri satu forum mengenai pelaksanaan hudud di Shah Alam.

Bagaimanapun apabila saya hadir pada tarikh dan masa yang ditetapkan tidak seorang manusia pun ada di situ.

Anehnya sebelum itu saya tidak pula dimaklumkan tentang penangguhan atau pembatalan program berkenaan.
Saya paparkan insiden di atas untuk menunjukkan kesungguhan dan kejelasan arah dalam soal pelaksanaan hudud di Kelantan.

Saya tidak kisah jika pandangan saya tidak diterima atau tidak dilaksanakan. Tetapi apabila saya diserang dan saya dinafikan ruang untuk bercakap, saya tidak ada pilihan lain.

Saya juga tidak kisah apabila kerajaan negeri tidak menyenaraikan saya dalam jawatankuasa teknikal yang baru di bawah pimpinan Ahmad Yaakob.

Sebagaimana yang saya katakan tadi menteri besar baru ini tidak terikat dengan apa yang dibuat oleh kerajaan dahulu. Saya bersuara untuk memberi penjelasan, bukan kerana kecil hati disisihkan.

Paparan yang saya serlahkan di sini ialah mengenai kronologi dan insiden yang tidak diketahui umum. Masih ada yang saya perlu jelaskan, khususnya tentang pelaksanaan hudud dalam konteks perlembagaan, yang saya akan huraikan selepas ini.


DR ABDUL AZIZ BARI pakar perlembagaan yang pernah mengganggotai jawatankuasa pelaksanaan hudud Kelantan. (MK)

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-46: Isu Hudud, K'tan & Nik Abd Aziz
E-Buku IH-46: Isu Hudud, K'tan & Nik Abd Aziz 

IKLAN
Daun Stevia Siap Kering & Potong
Daun Stevia Siap Kering & Potong
1 kg = rm 70 tidak termasuk kos penghantaran berminat sila hubungi/sms kami : 
014 222 5865 / 011 2302 8768

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails