Akhbar harian berbahasa Inggeris Republik Singapura, Straits Times berkata, tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang adalah bagi mengekang krisis antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.
Akhbar berkenaan melaporkan, tindakan ketua umum PKR itu adalah cubaan terdesak beliau untuk mengawal keretakan dalaman partinya.
"Alasan mereka adalah untuk mengukuhkan PKR di Selangor," kata akhbar itu.
Straits Times Singapura berkata, Abdul Khalid merupakan pemimpin yang mempunyai sokongan tinggi rakyat, namun tidak begitu digemari oleh ahli PKR. Manakala Mohamed Azmin pula kukuh di peringkat akar umbi parti, namun dua kali ditolak untuk menjadi calon menteri besar. Kekosongan kerusi DUN Kajang dirancang apabila bekas Adun, Lee Chin Cheh melepaskan jawatan tersebut untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding di kerusi berkenaan.
Perkara itu turut disahkan Mohamed Azmin apabila berkata terdapat persefahaman antara Lee dan Anwar berhubung pengosongan kerusi tersebut. Tindakan Anwar itu dilihat cubaan beliau untuk menjadi menteri besar menggantikan Abdul Khalid. – 30 Januari, 2014. (TMI)
No comments:
Post a Comment