Oleh Abdul Hadi Awang
Parti Islam SeMalaysia (PAS) memandang dengan serius suara-suara
provokasi yang ditimbulkan oleh pihak tertentu dalam isu penggunaan
kalimah Allah, terutamanya terhadap cadangan beberapa pihak untuk
berdemonstrasi di hadapan gereja tertentu di Selangor pada hari Ahad 5
Januari 2014.
PAS mengingatkan umat Islam supaya ketenteraman awam dan
keharmonian masyarakat adalah perlu menjadi keutamaan terutamanya dalam
negara kita yang berbilang bangsa dan agama ini. Isu penggunaan kalimah
Allah ini perlu disantuni dengan ilmu Islam, berdasarkan disiplin ilmu
yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah dan bukannya menerusi kekerasan
apatah lagi menggunakan undang-undang yang dipaksakan semata-mata.
Pendekatan berhujah dengan ilmu perlu lebih diutamakan dalam memberikan
kefahaman kepada anggota masyarakat, terutamanya kepada masyarakat yang
bukan beragama Islam. Di sinilah tugas kita untuk menunjukkan contoh
teladan bahawa Islam adalah pembawa Rahmat ke seluruh alam, sebagaimana
yang dinyatakan oleh Allah SWT.
PAS akan terus melaksanakan
dakwah dan politik Islam dengan berdasarkan kepada Al Quran dan Sunnah
Rasulullah SAW. Ahli-ahli dan penyokong PAS di seluruh negara, serta
rakyat keseluruhannya perlulah senantiasa diingatkan agar bertenang dan
tidak terpengaruh dengan tindakan provokatif pihak-pihak tertentu.
PAS
juga merasa sangat dukacita sekiranya isu ini diperhangatkan sehingga
rakyat lupa kepada masalah keperitan hidup angkara kenaikan harga barang
pada tahun 2014 ini.
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
No comments:
Post a Comment