Monday, January 13, 2014

Penunjuk Perasaan Sedia Tawan Bangkok

REUTERSPENUNJUK perasaan antikerajaan berkawal selepas mereka menutup jalan-jalan di sebuah persimpangan utama di Bangkok semalam

BANGKOK - Penunjuk perasaan antikerajaan bersiap sedia untuk menawan beberapa kawasan utama di ibu kota Thailand di sini semalam. Rancangan mereka untuk menutup bandar raya ini dibimbangi akan mencetuskan keganasan yang membawa kepada rampasan kuasa tentera di Thailand.

Penunjuk perasaan itu cuba memaksa Perdana Menteri Yingluck Shinawatra meletak jawatan dengan sebuah kerajaan sementara dilantik untuk melaksanakan pembaharuan bagi menamatkan rasuah dan politik wang di Thailand. Mereka juga mahu menggagalkan pilihan raya umum lebih awal yang diumumkan oleh Yingluck pada 2 Februari depan.

Sejak November tahun lalu, kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan telah beberapa kali bertempur dengan polis, memotong bekalan air dan elektrik ke ibu pejabat polis dan menawan seketika beberapa agensi kerajaan lain.

Sekurang-kurangnya lapan orang termasuk seorang anggota polis maut dalam keganasan akibat kekacauan politik tersebut. Terdahulu semalam, sejumlah penunjuk perasaan membuat sekatan di sebatang jalan raya di pinggir bandar raya ini yang menempatkan kebanyakan pejabat kerajaan.

"Setakat ini tiada konfrontasi berlaku dengan pihak berkuasa ekoran tindakan tersebut," kata Timbalan Jurucakap Polis, Kolonel Anucha Romyanan.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri Surapong Tovichakchaikul berkata, sejumlah 12,000 anggota polis dan 8,000 askar telah dikerahkan untuk mengawal ketenteraman di sini. Sementara itu, pemimpin penunjuk perasaan Suthep Thaugsuban menolak gesaan kerajaan untuk membatalkan tunjuk perasaan besar-besaran itu esok.

"Saya akan menyuruh penyokong saya berundur hanya jika perang saudara meletus," kata Suthep. - Agensi

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails