Friday, January 17, 2014

PM.. Kangkung.. Apa Tindakan Seterusnya.

 PM Najib.. kangkung.
KL: Perdana Menteri berkata ia bagi memastikan peniaga lebih beretika dalam menjalankan aktiviti perniagaan, sekali gus membantu rakyat.
             
"Saya dah arahkan kementerian untuk gunakan akta sedia ada yang mana kuasa dan tindakan boleh diambil terhadap mana-mana peniaga yang umumkan bayaran atau caj yang terlalu tinggi, (semata-mata) untuk mendapat untung lebih.
             
"Ini satu cara bagaimana kita boleh bantu mengurangkan harga kepada pengguna dan rakyat, (akibat) peniaga tidak beretika yang cuba mencari kesempatan dalam masa sekarang," katanya ketika berucap pada Majlis Jamuan Malam Bersama Perdana Menteri anjuran Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) di sini malam ini.
             
Beliau turut menggesa pengguna supaya lebih proaktif dengan terus melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mereka mengesan peniaga yang sengaja menaikkan harga barangan.

Di samping itu, Najib berkata beliau dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri akan turun padang untuk melihat situasi harga barang dengan lebih dekat.
             
Menurutnya, kesempatan itu akan diambil untuk mempromosikan kedai yang
menawarkan harga berpatutan kepada rakyat.
             
"Kita akan iklan atau maklumkan kepada semua pihak bahawa inilah kedai-kedai yang patut dikunjungi orang ramai," katanya.
             
Mengulas isu 'kangkung' yang ditimbulkan sesetengah pihak susulan penjelasannya sebelum ini berhubung harga barang, Najib berkata perkara itu tidak patut dipermainkan.
             
Beliau berkata sayuran itu hanyalah contoh barangan yang digunakan ramai orang.
             
"Saya suka makan kangkung, anda semua suka makan kangkung...(sebab itu) saya beri contoh yang semua orang makan. Kalau saya beri contoh seperti burung puyuh, orang tertentu sahaja makan.
             
"Tidak seharusnya contoh itu dipermainkan oleh sesiapa kerana saya beri contoh sebagai prinsip 'supply and demand' (penawaran dan permintaan) yang tentukan harga sebahagian daripada barang makanan yang kita tidak kenakan harga kawalan," katanya.

Dalam pada itu, Najib memuji tindakan peniaga di bawah Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) yang menurutnya lebih bertanggungjawab dalam memastikan harga makanan dan minuman tidak dinaikkan sehingga membebankan pengguna.
             
"Presidennya (Noorul Hassan Saul Hameed) berkata kedai-kedai yang dikendalikan Presma atau anggotanya begitu bertanggung jawab sekali. Meskipun harga susu manis dan gula naik, tetapi beliau beri jaminan kepada saya harga the tarik tak dinaikkan.
             
"Ini adalah contoh bagaimana peniaga yang amat bertanggungjawab dan tidak mahu mengambil kesempatan atau eksploitasi keadaan (berbanding pihak yang) memberi pelbagai alasan semata-mata untuk tujuan naikkan harga," katanya.
             
Najib turut mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk membolehkan Koperasi Kimma Bhd (KopKimma) membuka cawangan Al-Rahnu di perkarangan Masjid India di sini.
             
Najib berkata beliau secara peribadi memandang tinggi usaha KopKimma untuk membuka cawangan itu bagi memastikan masyarakat India Muslim mempunyai peluang untuk memohon skim mikro kredit bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

"Saya memandang tinggi usaha KopKimma di bawah pengerusinya (Prof Datuk Dr) Mohd Harun Nizam yang bercadang membuka cawangan Al-Rahnu yang pertama di perkarangan masjid itu sedikit masa lagi.
             
"Ini akan membolehkan golongan India Muslim di negara ini mendapat pinjaman mikro kredit dengan kadar lebih adil dan berpatutan berbanding kedai yang gunakan kadar yang begitu tinggi," katanya.
             
Mengulas pencapaian komuniti tersebut di negara ini, Najib berkata di bawah kepimpinan Kimma, masyarakat India Muslim tempatan mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang perniagaan seperti peruncitan, katering, kedai emas dan sebagainya.
             
Namun, beliau melahirkan harapan masyarakat itu terus mempelbagaikan lagi bidang keusahawanan yang diceburi untuk merangkumi bidang lebih mencabar seperti bioteknologi, teknologi hijau serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). - Bernama


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails