Monday, January 27, 2014

Undang Syariah Bentuk Peribadi Syumul -JPM Brunei


ANTARA para pegawai yang menyampaikan taklimat masing-masing.
ANTARA para pegawai yang menyampaikan taklimat masing-masing. (Foto: Azmah Haji Ahad)

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 25 Januari  - Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah merupakan rahmat dan ciptaan Allah Subhanahu Wata’ala yang bersumberkan kepada Al-Qur’an dan Al-Sunnah yang terbaik dan Ad-din, kerana penciptanya adalah Yang Maha Adil, Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui.

Perintah ini juga cukup hebat kerana mendidik jiwa dan membentuk peribadi mulia ke arah pembinaan ummah yang beriman yang menggabungkan dunia dan akhirat, manusia dengan Allah Subhanahu Wata’ala, manusia sesama manusia, peraturan dan undang-undang dengan akhlak dan akidah serta dosa dan pahala.

Perkara tersebut dijelaskankan oleh Pengiran Khamis bin Pengiran Metamin, selaku Pengerusi Majlis pada Taklimat Pembarigaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah 2013 bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya di Grand Theatre, Bangunan JPM, Jalan Menteri Besar, di sini.

Katanya, dengan penerangan dan pengetahuan yang mendalam mengenai perintah ini akan menghapuskan segala kewahaman, keraguan dan tanggapan yang tidak betul mengenainya.
Jelasnya lagi, perkumpulan tersebut amat penting ke arah pembarigaan meluas Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah 2013 di JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Usaha ini merupakan satu amanah dan ibadah bagi kita semua selain menjunjung tinggi hasrat dan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Ilmu pada tahun lepas.

250114 AZMAH2 TAKLIMATSEBAHAGIAN para pegawai kanan di JPM yang hadir mendengarkan taklimat. (Foto : Azmah Haji Ahad) 
Sementara itu, Awang Haji Johar bin Haji Mohammad dari Unit Perundangan Islam dalam taklimatnya antara lain menjelaskan bahawa, undang-undang Islam ini sumber utamanya adalah Al-Qur’an dan Al-Sunnah dengan erti ia disyariatkan oleh Al-Qur’an.

Katanya, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala untuk menjalankan syarat ini dan sudah tentulah ia menjadi kewajipan bagi baginda melaksanakan syariat Allah itu.

“Bila ia sudah ditetapkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala kepada Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, bermakna negara-negara Islam juga perlulah menjalankan perintah tersebut kerana beramal dengan kewajipan yang sudah ditetapkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala,” terangnya.
Kerana itu, Negara Brunei Darussalam dengan raja yang sangat prihatin terhadap undang-undang Islam terangnya, telah ditetapkanlah seperti mana yang telah diketahui dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada 22 Oktober tahun lepas bagi mula digazetkan dan akan mula berkuat kuasa Hukuman Kanun Jenayah Syar’iah 6 bulan selepasnya secara berfasa.

Manakala Pegawai Istinbat Kanan Jabatan Mufti Kerajaan, Awang Haji Dennie bin Haji Abdullah antara lain berkata, seperti yang diketahui dan difahami bahawa Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah 2013 adalah sebahagian besarnya berkaitan dengan hukum hudud seperti curi, rompak, zina dan sebagainya dan juga qisas yang merupakan perkara yang tidak asing bagi umat Islam sebenarnya.
Jelasnya, kerana perkara tersebut sudah terdapat di dalam kokurikulum sekolah agama di negara ini.

250114 AZMAH9 TAKLIMATSUASANA Taklimat Pemberigaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 bagi Jabatan perdana Menteri dan jabatan-jabatan di bawahnya di Grand Theatre, Bangunan Jabatan perdana Menteri. (Foto : Azmah Haji Ahad) 
“Cuma yang asing itu ialah kita belum pernah melihat hukuman hudud dan qisas ini dikuatkuasakan atau dilaksanakan di negara ini, yang ertinya kita tahu teorinya tapi tidak pada praktikalnya kerana kita belum pernah merasa atau melihatnya,” ungkapnya.

Tapi tahukah kita terangnya, bahawa hukum jenayah syar’iah terutama hudud dan qisas ini pernah dikuatkuasakan di negara ini.

Ini terangnya, berpandukan kepada buku yang ditulis oleh Allahyarham Dato Paduka Seri Setia Profesor Dr. Haji Awang Mahmud Saedon bin Awang Othman di dalam bukunya bertajuk ‘Perlaksanaan dan Pentadbiran Undang-Undang Islam NBD: Satu Tinjauan’.

Katanya, sistem perundangan Islam yang dijalankan di Negara Brunei Darussalam itu telah bermula sejak dari Sultan Brunei yang pertama, Sultan Muhammad Shah pada kurun ke-14 Masihi yang berdasarkan kepada bukti-bukti yang jelas, iaitu dengan kewujudan beberapa buah naskah undang-undang Islam yang bertulis yang menjadi fakta sejarah yang perlu kita fahami dengan betul.

Terang Awang Haji Dennie, keterangan tersebut juga disokong dengan pengakuan Konsul-konsul Inggeris yang datang ke negara ini pada tahun 1856 dan 1891 yang masing-masing mencatatkan dan mengesahkan bahawa undang-undang di negara ini pada ketika itu adalah undang-undang yang berasaskan daripada Al-Qur’an dan Al-Hadis.

“Kedua-duanya mengesahkan bahawa antara undang-undang yang dijalankan ketika mereka di negara ini ialah hukuman putung tangan,” jelasnya lagi.

“Oleh itu, Pelaksanaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah 2013 ini terutama yang berhubungan dengan hudud dan qisas yang akan dimulakan pada bulan April 2014 ini bukanlah suatu yang asing atau pun yang baru di Negara Brunei Darussalam. Tetapi pada dasarnya telah mengembalikan pelaksanaan hukum hudud dan qisas itu setelah kira-kira 108 tahun dihentikan pelaksanaannya yang berpunca dari campur tangan British pada tahun 1906 dalam pentadbiran dan perundangan Negara Brunei Darussalam. Ini adalah satu hakikat yang kita perlu fahami dan ketahui,” ujar beliau.

Juga disentuh dalam taklimat tersebut ialah mengenai dengan 3 fasa perintah kanun syar’iah di mana fasa pertama akan dikuatkuasakan pada bulan April depan selain hukuman yang akan dijatuhkan kepada setiap kesalahan.

Hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri di JPM, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Wahab bin Juned.

Juga hadir ialah Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Juga menyampaikan taklimat ialah pegawai-pegawai dari Pejabat Peguam Negara dan Pusat Da’wah Islamiah.
(IH/Pelita Brunei)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails