PETALING JAYA: Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli berkata beliau tidak tahu mengenai perjanjian yang ditandatangani antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk menstruktur semula industri air di Selangor.
Rafizi memberitahu portal berita dalam talian 'Star Online' bahawa Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim tidak memaklumkan kepada parti tentang perjanjian dengan kerajaan Persekutuan yang ditandatangani pada Rabu.
"Parti perlukan maklumat lanjut sebelum boleh memberi sebarang komen, kami akan meminta exco PKR negeri untuk menjelaskan kepada parti mengenai perjanjian ini," katanya sambil menambah beliau mendapat tahu tentang perjanjian ini daripada berita.
Walau bagaimanapun Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata terdapat beberapa pemimpin parti mengetahui tentang majlis menandatangani perjanjian itu yang diadakan pada Rabu.
"Saya tidak dapat memastikan dengan tepat berapa ramai, tetapi saya pasti ada yang tahu.
"Bagaimanapun, kita masih dalam proses untuk mengetahui butir-butir dan akan membentangkan isu itu pada mesyuarat parti pada Selasa depan," katanya ketika dihubungi Star Online.
Fahmi berkata parti perlu melihat pakej keseluruhan dan menganalisis bagaimana ia akan memberi manfaat kepada rakyat Selangor.
Melalui memorandum persefahaman (MoU), pembinaan loji rawatan air Langat 2 yang amat diperlukan juga akan dilaksanakan.
MoU itu ditandatangani di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya pada Rabu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Muhyiddin Yassin menyaksikan permeteraian itu. (mStar)
No comments:
Post a Comment