Wednesday, February 05, 2014

Antartika: Bawa Balik Penguin Pun Tak Boleh.. -Ahmad Said

by DR AZMAN IBRAHIM

Antartika: Syukurlah MB dapat pulang dengan selamat. 
SAYA tmerujuk kepada kenyataan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang dilaporkan sebuah akhbar harian sebagai berkata, bahawa dakwaan pembangkang yang menuduh ekspedisi ke Antartika suatu pembaziran adalah tidak benar sama sekali.
Tegas beliau lagi, ekspedisi saintifik ke Antartika telah memberi peluang kepada peserta rombongan melihat secara dekat kerja-kerja penyelidikan para saintis dari seluruh dunia. Sebagai rakyat Terengganu, saya menyanjung tinggi akan minat mendalam Menteri Besar terhadap bidang sains dan teknologi sehingga minatnya membawa beliau memijakkan kaki ke Kutub Selatan.

Harapan saya juga sebagai anak Terengganu, dakwaan pembaziran ini hanyalah dakwaan palsu pembangkang yang tak berasas kerana rombongan ekspedisi ini akan sedia untuk membentangkan secara terperinci butiran ‘Projek Salji’ ini kepada rakyat, antaranya:

Yang pertama, siapakah ahli rombongan tersebut dari kalangan rakyat Terengganu dan apa kelayakkan mereka dalam bidang penyelidikan?

Yang kedua, walaupun dimaklumkan bahawa kedatangan rombongan dari negeri penyu ini adalah atas undangan Institut Penyelidikan Antartika Chile, tentunya ada belanja yang dikeluarkan. Rasanya tak munasabah pemergian mereka atas tanggungan Kerajaan Chile. Berapakah jumlah belanja tersebut?

Yang ketiga
, Terengganu setakat ini masih lagi beriklim Khatulistiwa. Di hari mendatang, tiada siapa yang tahu. Kuasa Allah mengatasi segalanya. Allah berkuasa menjadikan Terengganu sebuah negeri bersalji atau menukarkan bumi Terengganu menjadi gurun pasir yang tandus.

Saya sangat berminat untuk mengetahui walaupun sekadar makluman ringkas, apa dia kerja-kerja penyelidikan yang sedang dilakukan oleh saintis-saintis dari seluruh dunia di sana sebagaimana yang dikhabarkan oleh MB telah disaksikan oleh ahli rombongan. Kalau boleh dihuraikan sedikit apa-apa bidang penyelidikan yang boleh diaplikasikan untuk faedah rakyat Terengganu.

Saya juga merasa bangga kerana mempunyai seorang MB yang berani mengambil risiko keselamatan demi faedah rakyat, sebagaimana kata Datuk Seri Ahmad Said, “kami sebenarnya mengambil risiko tinggi kerana cuaca di sana sukar diramalkan dan berubah dalam masa yang singkat".

Syukurlah Datuk Seri dapat pulang dengan selamat. Kalau tidak, mungkin kami di Terengganu tak dapat nak membantu PRK Kajang lantaran kemungkinan PRK Dun Kijal juga diadakan serentak. Walaupun begitu terdetik sedikit rasa hampa kerana Datuk Seri tak bawa balik seekor dua penguin sebagai buah tangan kepada kami.

Saya kecewa membaca kisah Datuk Seri, "Kalau saya nak makan angin, lebih baik saya tidak ke Antartika. Nak beli apa di sana? Nak sentuh dan bawa balik penguin pun tak boleh”.

Sebagaimana dulu Datuk Seri telah berjaya membawa angsa dari China untuk dipelihara di Tasik Kenyir sehingga kami tidak perlu lagi membelanjakan wang untuk ke China bagi melihat angsa tersebut, begitulah juga kami amat berharap untuk melihat penguin di Terengganu tanpa perlu ke Underwater World, Langkawi untuk bermesra dengan spesis salji ini.

Cuma maafkan saya Datuk Seri. Walaupun saya hanya rakyat biasa, seketika saya juga pernah berkhidmat sebagai tenaga akademik di sebuah universiti tempatan , selalu saya nyatakan kepada rakan-rakan, apa sahaja penyelidikan yang kita lakukan dengan menggunakan geran penyelidikan yang diambil dari wang rakyat, pastikan kita mampu menghasilkan sesuatu untuk faedah rakyat, dengan makna kita mampu memulangkan kembali wang rakyat yang diambil dengan nilai manfaat yang bakal mereka perolehi.

Walaupun saya cuma anak kampung dengan cara pemikiran yang agak kekampungan, tetapi secara tegas saya nyatakan, saya anti dengan penyelidikan yang cuma di atas kertas yang akhirnya dapat dimanfaatkan sekadar untuk rekod pencapaian peribadi penyelidik.

Bila nak memohon untuk kenaikan pangkat, lantas akan dikemukakan “Ini senarai research yang pernah saya buat!” lantas, dari seorang pensyarah biasa boleh naik pangkat jadi pensyarah kanan, professor madya dan seterusnya professor. Ini dalam kes di universiti.

Saya sentuh sedikit bab universiti sebab dimaklumkan bahawa antara ahli rombongan adalah sekumpulan saintis dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Maafkan saya kerana cuba menyentuh bidang kerja para bijak pandai.

Berbalik semula kepada Projek Antartika, permintaan rakyat biasa seperti saya mudah sahaja Datuk Seri MB. Diharapkan selepas jutaan wang rakyat dibelanjakan, kita ingin melihat hasilnya secara nyata untuk rakyat Terengganu dan bukannya teori semata-mata. Terima kasih Datuk Seri Ahmad Said. (HD)

Lihat sebelum ini..

No comments:

Post a Comment