BN akan meletakkan bekas timbalan menteri, Datin Paduka Chew Mei Fun dari MCA untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Kajang, Mac depan. Keputusan itu diumumkan Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media selepas mesyuarat parti komponen BN, tengah hari ini.
PKR telah mengumumkan bahawa Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) akan bertanding di Kajang. Selain Anwar dan Mei Fun, Datuk Zaid Ibrahim dan Senator Nallakaruppan juga telah menyatakan hasrat mereka untuk bertanding sebagai calon bebas di situ.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetap tarikh penamaan calon pada 11 Mac manakala pengundian akan diadakan pada 23 Mac.
Sementara Bernama melaporkan Muhyiddin, yang juga timbalan perdana menteri, berkata Chew, yang berasal dari Selangor, menjadi pilihan kerana beliau seorang yang berwibawa, mempunyai pengalaman luas serta sudah biasa berurusan dengan kerajaan persekutuan.
"Strategi kita pastilah mencapai kemenangan. Walaupun kita tahu akan berhadapan dengan tentangan yang hebat daripada Pakatan Rakyat atau lain-lain pihak tapi kita anggap ini suatu peluang untuk BN tawarkan seorang calon.
"Calon BN yang dipilih ini, saya kira berwibawa, berpengalaman, (dan) pernah berada dalam kerajaan, (serta) menjawat jawatan sebagai naib presiden MCA," katanya.
PRK DUN Kajang diadakan berikutan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR pada 27 Januari lepas. Muhyiddin berkata BN akan mengatur gerak kerja sebagaimana yang biasa dilakukan, dan akan memberi tumpuan yang khusus kepada jentera komponen parti dari situ.
"Komponen parti telah pun diarahkan untuk buat persiapan yang perlu termasuk daripada barisan Wanita, Pemuda dan Puteri untuk bergerak di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM). Kita juga telah mengenal pasti PDM yang kita menang dan kalah," katanya.
Timbalan perdana menteri menjelaskan bahawa keputusan bertanding di Kajang merupakan satu ruang dan peluang BN menawarkan khidmat kepada pengundi untuk membuat pemilihan yang bijak.
"BN berjanji sekiranya (Chew) Mei Fun dipilih sebagai Ahli DUN di Kajang, dia akan memberi tumpuan sepenuh masa untuk bela rakyat di Kajang, tidak kira kaum dan bangsa," katanya.
"Ini adalah tradisi BN untuk membela rakyat dan perkhidmatan sepanjang masa. Saya berharap dengan pengumuman hari ini, pengundi yang ada di Kajang akan memberikan sokongan sepenuhnya," kata beliau.
Ditanya mengapa BN mengambil masa agak lama untuk mengemukakan calon sedangkan pembangkang sudah mula berkempen, Muhyiddin berkata pada kebiasaannya, BN hanya akan membuat pengumuman dua hari sebelum hari penamaan.
"Tetapi, sekarang ini hampir dua minggu sebelum penamaan dan itu bukannya lewat. Ia merupakan satu tempoh masa sesuai berikutan kita perlu mendapatkan pelbagai input daripada pihak tertentu," katanya.
Ditanya sama ada BN dianggap sebagai 'underdog' dalam PRK serta mempunyai senjata rahsia untuk menghadapi pilihan raya kecil ini, Muhyiddin berkata:
"Kita harus mengatur strategi kerana kita sedar pihak yang bertanding akan ambil kesempatan untuk gunakan platform Kajang bagi memburukkan nama kerajaan.
"Pemimpin BN berpendapat sekiranya BN tidak bertanding, dan semasa PRK pelbagai isu dibangkitkan berkaitan dengan BN, siapa yang boleh jawab. Oleh itu, kita menggunakan PRK ini sebagai platform untuk menjawab supaya pengundi tidak disogokkan dengan maklumat sebelah pihak sahaja," jelas Muhyiddin.
Ditanya tentang keyakinan BN untuk menang, beliau berkata: "Kita tidak akan masuk bertanding PRK untuk kalah. Mestilah hendak menang. Jangan berasa tertekan. Biarlah pengundi menentukan pilihan mereka."
Muhyiddin turut menyerahkan watikah pelantikan sebagai calon BN kepada Chew, dan bersorak 'Hidup Barisan Nasional' sebanyak tiga kali. (MK)
Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-82: Gerakan Drastik Anwar Rampas MB S'ngor?
No comments:
Post a Comment