Saturday, February 22, 2014

DAP Nafi Tak Boleh K'sama, MB PAS S'ngor Pun Tak Masalah..


Ketua Menteri Lim Guan Eng menolak dakwaan bahawa PAS tidak diperuntukkan kerusi Exco dalam kerajaan negeri di Pulau Pinang adalah kerana bermotifkan dendam. Sebaliknya, menurut beliau, agihan kerusi exco di negeri itu adalah berdasarkan proses persetujuan bersama yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat.

Lim yang juga adalah setiausaha agung DAP berkata, walaupun tiada kerusi exco diberikan, namun wakil rakyat PAS iaitu ADUN Permatang Pasir, Datuk Mohd Salleh Man dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

“Wakil PAS satu di Pulau Pinang, bila kita (DAP) ada satu ADUN di Kedah (pada 2008), dia pun bukan ahli exco, jadi sama juga di Kelantan,” katanya ketika diwawancara Kinitv, baru-baru ini.

Apabila ditanya sama ada tindakan itu boleh diibaratkan sebagai membalas dendam, Lim tangkas menyangkalnya dan berkata percaturan berkenaan dibuat berdasarkan persefahaman di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat.

“Saya rasa yang penting adalah sama ada kita boleh memastikan dasar Pakatan Rakyat berjiwa rakyat. Malah ADUN tungal PAS (di Pulau Pinang) adalah Yand di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

“Ini adalah satu jawatan yang sangat penting. Jadi saya tidak faham mengapa (isu) ini diperkotak-katikkan kerana dari sudut pelaksanaan dasar itu adalah secara bersama,” katanya.

Lim juga berkata DAP tidak mempunyai masalah jika wakil rakyat PAS dilantik menjadi menteri besar Selangor tetapi beliau enggan mengulas isu berkenaan.

Sebaliknya, beliau  memberikan contoh di Perak, di mana, katanya DAP akan menyokong calon menteri besar berdasarkan kelayakkan dan kewibaan pemimpin berkenaan dan bukan berdasarkan parti.

Apabila diasak, sama ada benar atau tidak dakwaan bahawa DAP kurang selesa bekerjasama dengan PAS, Lim juga menyangkalnya.

Beliau juga memberitahu, seperti di Selangor, calon dari PKR yang di pilih menjadi menteri besar adalah berdasarkan formula yang telah dipersetujui oleh Pakatan sebelum ini.

“Kalau kita tak boleh bekerjasama dengan PAS mengapa kita tak sokong PKR? Yang kita sokong ialah orang yang paling layak dan paling kewibaan.

“Tak timbul kita tak sokong calon PAS. Di Perak (pada tahun 2008) kita sokong calon PAS (jadi menteri besar). Di Selangor, calon PKR telah dipilih untuk jawatan menteri besar, jika ini tidak berubah, Pakatan akan teruskan formula ini,” katanya.

Laporan penuh wawancara ini boleh diikuti menerusi segmen BicaraKini di Kinitv.  (MK)

No comments:

Post a Comment