"Kira-kira 59% pengundi di Kajang yang ditemui berasakan PRK Kajang perlu diadakan bagi membolehkan Anwar menjadi menteri besar Selangor manakala 17% berpendapat sebaliknya dan 24% lagi berasa tidak pasti.
"Manakala 58% responden juga berpendapat PRK Kajang juga perlu diadakan bagi menyelesaikan krisis politik kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) di Selangor," kata Ketua Umcedel, Profesor Datuk Dr Riduan Othman dalam satu sidang media di Universiti Malaya, Kuala Lumpur hari ini.
Dalam kajian yang dijalankan itu, Redzuan berkata pengundi di Kajang berpendapat PRK pada 23 Mac ini bukanlah pembaziran apabila majoriti responden iaitu 53% berpendapat sedemikian dengan kaum India mewakili 60%, Cina (54%) dan Melayu (50%).
Katanya, pengundi di Kajang juga melihat tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melengahkan hari pengundian mencalarkan reputasi suruhanjaya itu apabila 48% responden mengakuinya dengan sokongan pecahan Cina (57%), India (42%) dan Melayu 41%.
“Hari in ramai bergantung kepada media arus perdana tetapi persoalannya adakah perkara yang ditimbulkan diakui di peringkat bawah? Tidak timbul isu orang Kajang tidak mahu PRK kerana pengalaman saya, rakyat mengalu-alukan PRK.
“Rakyat seronok jjika ada PRK kerana projek pembangunan banyak. Jika ada yag tidak mahu PRK, kita rasa pelik. Di Kajang dengan adanya PRK, sejak dua minggu ini kita berasa selamat kerana polis ramai,” katanya di hadapan wartawan dan pemimpin politik yang turut hadir pada sidang media itu.
Redzuan berkata, pengundi di Kajang lebih cenderung mendapatkan maklumat melalui internet iaitu mewakili 25% berbanding media elektronik yang hanya mencatatkan 14% responden yang gemar menggunakan medium berkenaan.
Katanya, akhbar vernakular dan akhbar alternatif turut menjadi rujukan pengundi Kajang apabila media berkenaan mewakili 19% dan 13% sumber rujukan pengundi di kawasan itu.
Anwar semasa majlis pelancaran bilik gerakan daerah mengundi Sungai Sekamat, Kajang semalam memuji pengundi Kajang yang lebih celik internet berbanding pengundi di kawasannya di Permatang Pauh.
Katanya, disebabkan faktor itu, pengundi Kajang lebih cenderung mengikuti berita semasa menerusi internet berbanding media cetak dan elektronik.
“Keistimewaan di Kajang, penembusan internet cukup kuat malah orang Kajang yang mengikuti berita melalui internet itu lebih daripada yang mengikuti berita RTM, TV3 dan surat khabar. Saya ucapkan tahniah kepada pengundi Kajang.
“Hebat Kajang daripada Permatang Pauh kerana mungkin di bandar, pusat pengajian tinggi, mahasiswa dan graduan. Saya minta segerakan laman web khas agar kita dapat sampaikan berita dengan lebih baik,” katanya kepada jentera parti PRK Kajang.
SPR dalam satu sidang media awal bulan ini memaklumkan 18 pusat mengundi akan dibuka iaitu tiga pusat mengundi awal dan 15 pusat mengundi biasa dengan menggunakan Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) Seksyen 15, Bandar Baru Bangi sebagai pusat penamaan calon dan penjumlahan undi rasmi.
Katanya, seramai 39,278 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 38,055 pengundi biasa akan mengundi dalam PRK kali ini, melibatkan 19,612 pengundi lelaki dan 19,666 pengundi wanita. – 20 Februari, 2014. (TMI)
Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-82: Gerakan Drastik Anwar Rampas MB S'ngor?
No comments:
Post a Comment