Wednesday, February 19, 2014

Kassim Ahmad Perlu Dipanggil & Diperbetulkan -Tuan Ibrahim


Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Berikutan bantahan pelbagai pihak terhadap kenyataan Kassim Ahmad, PAS meminta pihak berkuasa agama di negara ini memanggil beliau, diperbetulkan dan diberi kefahaman sebenar terhadap kekeliruan tersebut.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata setelah dipanggil dan diberi penjelasan, maka jangan pula ada penganjur yang merasai hebat pemikiran salah beliau sehingga sanggup menganjurkan wacana pemikiran beliau.

Tuan Ibrahim mengulas pengulangan kenyataan Kassim yang antara lain menolak hadis sebagai sumber perundangan Islam yang mendapat kritikan pelbagai pihak. Ia disifatkan sebagai kenyataan tidak beradab serta bertentangan dengan prinsip Islam dan diyakini boleh membawa kerosakan akidah.

Tuan Ibrahim berkata, pemikiran Kassim memang agak pelik, tetapi ia bukan sesuatu yang sukar untuk diatasi. Beliau mengambil contoh gesaan beliau agar Al-Quran ditafsir semula, dan penafsirannya mestilah berdasarkan Al-Quran sahaja, bukan Hadis dan bukan pandangan para sahabat atau alim ulama.

"Persoalannya, kalau beliau menolak Hadis, bagaimana beliau boleh beriman dengan Al-Quran kerana Al-Quran diturunkan kepada Rasulullah dan Baginda membacakan Al-Quran ini," katanya.

Sebagai contoh, katanya, di dalam Al-Quran, Allah memerintahkan sujud, dan bagaimana pula kita tahu perbuatan sujud tersebut kalau bukan melalui cara yang ditunjukkan Rasullulah.

Tuan Ibrahim berkata, begitu juga dengan puasa, zakat dan seluruh ajaran Al-Quran, jika Rasulullah bukan pentafsir kepada Al-Quran, siapa pula yang lebih layak mentafsirnya.

Katanya, pelbagai fatwa serta kecaman dilakukan sebelum ini, nampaknya ia tidak berkesan untuk mengubah pendirian dan kefahaman salahnya terhadap ajaran Islam.
Beliau berkata, melihat latarbelakang Kassim, pandangan seperti itu bukanlah sesuatu yang pelik kerana kejahilan adalah musuh utama manusia, namun tidak menyedari kejahilan adalah lebih besar lagi.

Sehubungan itu, katanya, wujud istilah seperti jahil murakkab, iaitu seseorang yang tidak menyedari bahawa ia tidak mengetahui atau dalam bahasa biasa "dia tidak tahu yang dia tidak tahu.”
Katanya, kalau ia hanya sekadar Kassim, mungkin tidaklah besar sangat untuk diulas dan diberi perhatian.
Bagaimanapun, katanya, apabila pemikiran salah ini diterima dan dibahas sebagai suatu pemikiran yang dianggap hebat, maka ia akan menjadi masalah.

"Ia ibarat bongkah ais di atas permukaan laut, walau yang kelihatan hanya seketul ais yang kecil, namun di bawahnya jauh lebih besar daripada apa yang dilihat," katanya.

Beliau meminta pihak berkuasa agama seperti Jakim khususnya, dan Majlis Agama Islam Negeri mesti melihat isu ini secara serius untuk diatasi.

"Kalau ajaran al-Arqam diburu sehingga akar umbinya, maka sepatutnya ajaran yang menyimpang ini juga mesti diatasi.
"Saya melihat serangan dan kecaman tidak akan menyelesaikan masalah. Kefahaman salah beliau perlu diperbetulkan melalui perbincangan dan diskusi yang penuh hikmah," katanya. – 19 Februari, 2014. (TMI)

2 comments:

Anonymous said...

Wahai Tuan Naib Presiden..dulu saya sangat menyanjung tuan dan perjuangan PAS, tetapi sekarang masih sanjung dan hormat lagi kot, hakikatnya saya sudah keluar menjadi ahli PAS sebaik sahaja PAS bersekongkol untuk menjadi barua DAP dan PKR ....

Kasihan kat Kassim Ahmad, pemikirannya itu sudah lama berakar umbi dalam benak minda dan kefahamannya...sesuatu yg hampir mustahil untuk diubah melainkan dengan Hidayah dan Rahmat Allah....

Bagaimana pula dengan Setiausaha Agung Tuan si stopa ali ..tidakkah Tuan sudah menasihatinya dan apa tindakan syariee yg telah Tuan ambil???

Tuan hanya nampak seekor lalat di pintu Jabal Uhud, sedangan pintu gua dan Jabal Uhud itu tuan tak nampak..pelik sungguh puak puak ni..

Anonymous said...

Buktikan? Tak perlu layan si pekak tu.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails