PKR dilihat terus mempertahankan tindakan meletakkan ketua umum mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dengan menafikan pilihan raya kecil itu terpaksa diadakan untuk meredakan ketegangan di antara Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, berkata sekiranya PKR ingin menyelesaikan kemelut dalaman di antara Azmin dan Abdul Khalid ia boleh dilakukan dalam pemilihan PKR yang akan berlangsung pada April.
"Kalau hendak selesaikan kemelut dua pemimpin itu tidak perlu PRK kerana semasa pemilihan kita boleh biar mereka bertanding dan bergaduh sesama sendiri," katanya dalam forum bertajuk `Serampang Kajang' di Subang Jaya, malam tadi,
"Semua orang tahu Azmin dan Abdul Khalid tidak pernah sebulu dalam mengeluarkan pandangan dari hari pertama lagi," katanya di hadapan kira-kira 300 hadirin.
Rafizi berkata, keputusan mengadakan PRK di Kajang dibuat selepas melihat situasi politik yang sudah berubah dan semakin kritikal merujuk kepada serangan menggunakan sentimen perkauman dan agama dilakukan oleh Umno dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu di Selangor terutama dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam sebagai rujukan kepada Tuhan.
"Biarpun pada mulanya kita ingin adakan selepas pemilihan PKR kerana kita risau orang ramai akan melihat ia sebagai gerakan politik namun melihat daripada situasi, kita tidak boleh tunggu.
"Kalau hari ini mereka boleh membuat serbuan ke atas gereja, esok mungkin pula di kuil dan tidak mustahil kalau kita tidak ubah undi majoriti, maka mereka melakukan apa sahaja untuk melumpuhkan Pakatan," katanya.
Menjawab pertanyaan salah seorang hadirin tentang bagaimana kahadiran Anwar boleh memberi jaminan PR dapat memperkukuhkan negeri Selangor seterusnya menawan Putrajaya, ahli Parlimen Pandan itu berkata, tiada jaminan parti itu boleh melakukan perkara demikian.
"Kalau ada bertanyakan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad beliau akan menjanjikan perkara itu akan berlaku kerana jelas dirinya seorang penipu," katanya merujuk kepada mantan perdana menteri yang memecat Anwar sebagai timbalan perdana menteri pada 1998.
"Tapi kalau tanya saya tidak mungkin kami dapat memberi sebarang jaminan, namun apa yang saya boleh janji bahawa PR akan cuba melakukan perubahan lebih baik daripada sekarang memperjuangkan hak kesamaan kepada setiap rakyat," katanya.
Forum 'Serampang Kajang' membariskan ahli panel seperti bekas pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenavasan; Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dan Ahli Jawatankuasa PAS, Dr Dzulkefly Ahmad manakala Timbalan Speaker DUN Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad memainkan peranan sebagai moderator.
Kerusi DUN Kajang kosong selepas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari PKR, Lee Chin Cheh bertindak meletakkan jawatan secara tiba-tiba bulan lalu.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan hari penamaan calon bagi PRK DUN Kajang pada 11 Mac dan hari mengundi pula pada 23 Mac. - 6 Febuari, 2014. (TMI)
Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-82: Gerakan Drastik Anwar Rampas MB S'ngor?
No comments:
Post a Comment