Monday, February 10, 2014

'Kopitiam 88' & 7 Tuntutan..


'Kopitiam 88' dihukum sebelum diadili 
Gerakan Media Marah (GERAMM) menyelar tindakan Radio Televisyen Malaysia (RTM)  menggantung penyiaran sitkom popular Cina “Kopitiam 88”, yang menampilkan pelakon dalam video parodi Tahun Baru Cina Teresa Kok.

Alasan penggantungan bagi menunggu siasatan membabitkan pelakon dalam klip video yang didakwa mencemarkan negara itu dibuat secara melulu dan terburu-buru. Bahkan, tindakan tersebut dilihat sebagai hukuman awal walaupun siasatan terhadap video kontroversi itu masih berjalan dan belum dimuktamadkan.

Dengan kata lain, “Kopitiam 88” telah dihukum sebelum diadili dan diputuskan bersalah.

The Heat

Pada Jumaat lepas, 7 Februari The Heat kembali menemui pembaca setelah digantung penerbitannya oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). GERAMM mengambil kesempatan ini mengalu-alukan kembalinya akhbar akhbar mingguan itu menemui pembaca.

Kami mengucapkan selamat berjaya kepada The Heat dan berharap akhbar itu terus konsisten melaporkan dengan berani isu-isu masyarakat seperti sebelum digantung.
Kami yakin masyarakat akan bersama The Heat jika muncul lagi tekanan seumpama insiden Disember lalu.
Kami mengucapkan syabas dan terima kasih kepada semua pihak yang bangun menyatakan bantahan masing-masing ketika kebebasan media cuba dicengkam di negara ini.

Bagaimanapun, harus diingat, GERAMM masih mempunyai tujuh lagi tuntutan yang belum ditunaikan, seperti yang dinyatakan sebelum ini. Lihat petisyen GERAMM.

Kami juga mengucapkan terima kasih kepada The Heat kerana memberikan dedikasi dua halaman kepada GERAMM dan perjuangan menuntut kebebasan media di negara ini dalam keluaran terbarunya.
Bagaimanapun, kami tegaskan, perjuangan menuntut kebebasan media sudah lama dirintis dan digerakkan pelbagai pihak. GERAMM cuma sebahagian kecil daripada perjuangan itu.
Oleh itu, kemenangan itu sebenarnya milik seluruh rakyat Malaysia yang cintakan kebebasan.

P'raya kecil Kajang

Sempena pilihan raya kecil Kajang yang bakal berlangsung tidak lama lagi, kami menyeru semua media berlaku adil dalam laporan masing-masing serta memberikan akses kepada semua calon dan pihak tanpa memilih bulu.
Kami yakin, media yang adil dan berimbang akan mendapat keyakinan awam, dijadikan rujukan pelbagai pihak dan sekali gus meningkatkan kewibawaan wartawan secara keseluruhannya.
Jika ada gangguan pada wartawan untuk tujuan itu, kami menyeru semua pihak agar berani mempertahankan prinsip kebebasan media.
Laporkan gangguan kepada GERAMM, jika ada, sewaktu membuat liputan pilihan raya kecil Kajang.

Gangguan lain pada media

(1) Tamil Malar

Kes-kes pencabulan hak kebebasan media masih berlaku dalam tempoh sebulan dua ini, termasuk serangan kepada akhbar Tamil Malar.
Pejabat Tamil Malar, sebuah harian berbahasa Tamil, diserang tiga lelaki berparang pada 29 Januari lalu.
GERAMM menggesa pihak polis menjalankan siasatan rapi dan segera agar kejadian ganas di Tamil Malar tidak berulang.

(2) Kes Aziz Bari vs Sultan

GERAMM juga menggesa polis berlaku adil dan profesional dalam siasatan pada Malaysiakini dalam isu Dr Aziz Bari vs sultan Selangor.
Pada 24 Januari, polis menyiasat Malaysiakini bagi kali ketiga kes itu dalam tempoh dua tahun dan menanyakan soalan-soalan sama.
Siasatan pada Malaysiakini satu gangguan terhadap kebebasan media. Kami tuntut siasatan diselesaikan segera secara adil dan profesional.

(3) Sekatan pada BBC

GERAMM juga ingin mengingatkan terhadap dakwaan sekatan laporan BBC berhubung isu kangkung yang boleh merosakkan imej kebebasan negara ini.
Kami gesa kerajaan agar mempertahankan jaminan tiada sekatan di Internet demi masa depan kebebasan rakyat dan media.


GERAKAN MEDIA MARAH (GERAMM) perkumpulan longgar pengamal dan aktivis media bagi menuntut kebebasan akhbar di Malaysia. Ikuti perkembangan terkininya di Twitter @mediageramm dan Facebook GerakanMediaMarah.  (MK)

No comments:

Post a Comment