KL: Kerajaan Negeri Selangor perlu memberi penjelasan berhubung syarat-syarat yang terkandung dalam memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani Menteri Besar dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air di Putrajaya semalam.
Menurut Ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, oleh kerana MoU berhubung penstrukturan semula industri air Selangor itu berlaku agak mengejut, adalah menjadi kewajipan kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghuraikan beberapa persoalan yang timbul daripada langkah tersebut.
MoU yang ditandatangani Abdul Khalid dan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili itu turut disaksi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bertujuan memuktamadkan penstrukturan semula industri air di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Dr Dzulkefly menambah, penyelesaian terhadap isu air di Selangor yang berlarutan sejak 2009 memang ditunggu rakyat namun kerajaan negeri khususnya Menteri Besar perlu menjelaskan beberapa persoalan yang timbul.
"Pertama, kenapa hanya MoU dan tidak terus pengambilalihan (outright takeover)?
"Isu ini penting kerana MoU tidak bersifat mengikat atau 'binding'. Ini bermakna mungkin sahaja (persefahaman yang dicapai) tidak menjadi lagi lepas pilihan raya kecil (PRK) Kajang kerana MoU bukan MOA (perjanjian) yang lebih bersifat mengikat," ujarnya.
Beliau turut mencadangkan agar terma-terma MoU itu dijelaskan kepada para pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Penjelasan juga, tambahnya perlu menyentuh hal-hal dan terma bersangkutan Projek Langat 2 yang secara tiba-tiba menjadi 'viable' dan termasuk dalam pakej MoU itu.
"Berapakah harga air yang dibayar oleh kerajaan negeri dari sumber air terawat dari Langat 2? Apakah semua ini akan meningkatkan kos tarif air di negeri Selangor," tegas beliau. (HD)
No comments:
Post a Comment