Wednesday, February 26, 2014

Melayu Jijik Babi, Tapi Tidak Ambil Berat Halal Haram -Kadir Jasin


Calon PKR di DUN Kajang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap dalam satu program yang diadakan di gereja. Gambar fail.
Calon PKR di DUN Kajang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap dalam satu program yang diadakan di gereja. Gambar fail.
















Masyarakat Melayu amat jijik dengan babi, namun tidak mengambil berat berkenaan halal atau haram sumber makanan mereka, kata Datuk A Kadir Jasin.

Bekas ketua pengarang Kumpulan The New Straits Times Press itu dipetik berkata, masyarakat Melayu tidak begitu peduli jika sumber makanan mereka diperolehi sama ada dengan cara haram atau rasuah.

"Tapi ramai tidak peduli sangat kalau makanan halal diperoleh secara haram atau dibeli dengan pendapatan haram macam rasuah," katanya, mengulas berkenaan rencana Dr Ridhuan Tee Abdullah di akhbar Sinar Harian berkenaan babi dan tindakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar berceramah di gereja baru-baru ini.

Kadir berkata, sekiranya interpretasi Ridhuan mengenai Anwar yang berceramah di gereja begitu teruk, beliau lebih teruk daripada Anwar kerana pernah belajar selama lapan tahun di Sekolah Rendah dan Menengah Saint Michael di Alor Setar.

"Mengenai masuk gereja pula, kalau itulah interpretasi Ridhuan, saya lagi teruk daripada bakal calon yang Ridhuan kritik itu," katanya merujuk kepada Anwar.
"Saya masuk gereja ketika bersekolah selama lapan tahun di Sekolah Rendah dan Menengah Saint Michael di Alor Setar. Bukan masuk gereja untuk sembahyang Kristian, tetapi berlindung daripada bahang panas musim kemarau. Saya juga masuk gereja untuk ziarah kenalan Kristian yang mati.
"Ketika belajar kewartawanan di New Zealand, saya tinggal seminggu di rumah seorang paderi Gereja Anglican. Di rumah beliaulah saya belajar mengenai “grace” atau doa sebelum makan," katanya.

Ridhuan dalam rencananya menyifatkan tindakan Anwar itu  sebagai “liberal dan keterlaluan”.

"Luar biasa! Dahulu orang Melayu usahkan nak masuk gereja atau kuil, lalu sahaja di luar pun kalau boleh, cuba elakkan. Sama seperti jika mereka ke pasar, kalau boleh elak melalui atau memandang daging atau penjual khinzir.
"Lebih dahsyat lagi, ketika di pasar, ada yang takut ‘lalat khinzir’ terbang kawasan ‘halal’ Islam. Begitulah berhati-hatinya orang Melayu terhadap cara hidup mereka," memetik rencana Ridhuan.

Kadir berkata, tiada salahnya Anwar berucap di gereja, sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut masuk ke kuil untuk sambutan perayaan Thaipusam.

"Jadi apalah salahnya bakal calon masuk berucap dalam gereja atau melawat kuil.
"Perdana Menteri kita, Najib Razak pun buat masa perayaan agama-agama bukan Islam siap dengan pakaian sekali. Inilah 1Malaysia," katanya.

Anwar bakal bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kajang dan akan melawan Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun dan bekas menteri Kabinet, Datuk Zaid Ibrahim. - 25 Februari, 2014. (TMI)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails