Datuk Ambiga Sreenavasan berkata Pakatan Rakyat (PR) perlu menjelaskan kepada rakyat dan pengundi adakah mereka berhasrat untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menteri besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac akan datang.
Bekas pengerusi bersama Bersih 2.0 itu berkata dalam satu forum bertajuk "Serampang Kajang" di Subang Jaya malam tadi, PR perlu menjelaskan rancangan mereka jika memenangi kerusi tersebut kerana ramai yang mengadu kepadanya tidak suka misteri berhubung isu menteri besar Selangor itu.
"Berhubung isu MB, mungkin Anwar akan menjadi MB, mungkin tidak. Saya dapati isu ini tergantung dan perlu diberikan penjelasan," katanya.
Anwar dinamakan sebagai calon PR di Kajang selepas peletakan jawatan secara mengejut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan itu, Lee Chin Cheh.
Langkah itu menimbulkan kemarahan penyokong PR dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang melihat tindakan tersebut sebagai "pengkhianatan terhadap kepercayaan yang diberikan pengundi".
Ia juga menimbulkan spekulasi Anwar akan menggantikan Abdul Khalid bagi meredakan ketegangan di antara menteri besar Selangor itu dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.
Terdahulu, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang merupakan salah seorang ahli panel dalam penerangannya menafikan spekulasi itu dengan mengatakan kehadiran Anwar di Selangor hanya untuk memantapkan lagi negeri berkenaan.
Ambiga yang juga bekas presiden Majlis Peguam berkata, tidak masuk akal untuk menyaksikan ketua pembangkang "mengambil risiko besar hanya untuk menjadi Adun biasa."
"Pada saya, penjelasan lanjut perlu diberikan berhubung isu MB.
"Orang kajang perlu tahu apakah mereka akan mengundi untuk calon MB Selangor. Mereka mempunyai hak untuk tahu," katanya.
Ambiga juga mendedahkan beliau masih tidak dapat diyakinkan dengan penjelasan Rafizi berhubung alasan di belakang "Langkah Kajang" PKR.
"Saya tidak bersetuju dengan semua alasannya. Saya mungkin tidak dapat diyakinkan ini merupakan cara terbaik untuk melakukannya tetapi saya faham," katanya.
Beliau juga mengkritik PAS kerana kadangkala mengambil pendirian berbeza dengan pendirian rakan komponen PR lain.
"Saya menyokong terdapat pendirian berbeza dalam satu pakatan. Kamu tidak perlu berkelakuan seperti robot dan itu tidak mengapa.
"Tetapi dalam isu kritikal seperti ini ramai yang bimbang kerana mereka tidak melihat penyatuan sesebuah pakatan," katanya.
Aktivis itu berkata, biarpun memahami kemarahan pengundi Kajang mengenai situasi yang berlaku dan kemungkinan akan berlakunya tindakan boikot, beliau meminta PRK ini dilihat sebagai peluang kedua.
"Anda diberi peluang kedua untuk mengundi. Peluang ini jarang berlaku jadi inilah masanya untuk menilai semua apa yang berlaku selepas pilihan raya umum lalu," kata Ambiga.
Ambiga turut tidak bersetuju dengan kenyataan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, seorang lagi panel dalam forum tersebut yang mengatakan sekiranya pengundi Kajang menolak Anwar, masa depan ketua pembangkang dan PR akan berakhir.
"Saya tidak setuju dengan kenyataan anda, saya rasa tidak perlu berkata demikian ia sebenarnya hanya lebih merisikokan Anwar," kata Ambiga.
Bagaimanapun, Pua pantas mempertahankan kenyataannya itu dengan mengatakan itu merupakan pandangan peribadinya.
"Saya percaya sekiranya sekiranya Anwar menjadi menteri besar Selangor maka namanya juga akan diakui untuk dijadikan calon perdana menteri. Saya tetap dengan pendirian sekiranya kita kalah di Kajang maka ia akan menamatkan segalanya jadi jangan cakap pasal 'ubah' kerana ia juga akan tiada," katanya.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan hari penamaan calon bagi PRK Kajang ialah pada 11 Mac dan hari mengundi pada 23 Mac. - 6 Febuari, 2014. (TMI)
Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-82: Gerakan Drastik Anwar Rampas MB S'ngor?
No comments:
Post a Comment