Tuesday, February 18, 2014

Pelampau Agama Serang Xinjiang?

KEADAAN dua buah kenderaan milik polis yang diserang kumpulan tidak dikenali pada Jumaat lalu dan mengakibatkan 11 orang maut. - Agensi 

BEIJING - Pelampau-pelampau agama didakwa bertanggungjawab melakukan serangan ganas di wilayah Xinjiang barat China pada Jumaat lalu yang meragut 11 nyawa, lapor agensi berita Xinhua.

Selama bertahun-tahun Xinjiang dilanda keganasan yang didakwa Beijing didalangi kumpulan militan Islam dan puak pemisah. Mereka dituduh mahu berpisah dengan China untuk menubuhkan negara Turkistan Timur.

Namun, banyak kumpulan hak asasi mendapati keganasan di Xinjiang berpunca daripada dasar China menyekat agama Islam dan budaya penduduk setempat. Beijing menafikan tuduhan tersebut. Menurut Xinhua, siasatan mendapati serangan di daerah Wushi, dekat sempadan China dengan Kyrgyzstan dilakukan secara terancang dengan polis menjadi sasaran.

"Sekumpulan 13 anggota pengganas dilatih selama enam bulan oleh seorang lelaki, Mehmut Toohti yang telah menyebarkan fahaman ekstrem agama selama tiga tahun," menurut laporan tersebut.

Agensi berita berkenaan menyatakan, dua orang awam dan dua anggota polis cedera manakala lima kenderaan polis rosak atau musnah dalam serangan tersebut. Dalam pada itu, lebih 100 orang termasuk sebilangan anggota polis terbunuh dalam keganasan di Xinjiang sejak April tahun lalu.
Wilayah tersebut dihuni oleh majoriti etnik Uighur yang beragama Islam. - Reuters

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails