Monday, February 24, 2014

Risalah BM Kristian Didakwa Diedar Di S'gor


SEPASANG warga asing, kemungkinan berasal daripada Amerika Syarikat, didakwa mengedarkan risalah berbahasa Melayu mengandungi ajaran Kristian sekitar Pinggiran USJ, Selangor.

Memetik “pemantau” aktiviti itu, penulis blog Abdul Karim Omar yang juga setiausaha agung NGO Muafakat Malaysia mendakwa, ia malah dibuat secara licik dan berhelah.

“Mereka tidak dapat memberi jawapan apabila sukarelawan pemantauan kita menanyakan kepada mereka jika mereka ingin mengedarkan risalah ini kepada orang-orang Cina dan India kenapa perlu risalah tersebut diterbitkan dalam bahasa Melayu?” soalnya.

“Sungguh aneh dan licik helah penipuan penjenayah Kristian ini.”

Karim turut memuatkan gambar aktiviti itu bagi membuktikan dakwaannya. Beliau juga mendakwa memiliki bukti rakaman video yang tidak disiarkan setakat ini.

Beliau membuat dakwaan itu pada 21 Februari lalu melalui tulisan berjudul “Lagi Mubaligh Kristian Berkeliaran…” dalam blognya Karim's Blog.

Ia ditimbulkan semula oleh NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang menyiarkan laporan berkaitannya di laman webnya hari ini.

Menurut laporan itu, risalah bertajuk “Semua penderitaan akan berakhir tidak lama lagi” itu membandingkan keadaan manusia sekarang serupa dengan apa yang dimuatkan dalam Bible.

Ia juga didakwa membangkitkan persoalan berhubung kebahagiaan manusia bawah pemerintahan Tuhan serta persoalan berkaitan Adam dan Hawa. (MK)

No comments:

Post a Comment