▼
Tuesday, February 04, 2014
Syukur 4 Beradik Selamat Pulang Dari Sweden
KOTA BHARU: Isteri Menteri Besar Kelantan, Datin Siti Zabedah Abdul Hamid, melahirkan rasa syukur kerana empat anak rakyat Malaysia yang ditahan di Sweden selamat pulang ke pangkuan keluarga dua hari lalu.
Beliau yang juga Pengerusi Purnama turut melahirkan rasa terharu kerana usaha kerajaan Malaysia juga akhirnya kanak-kanak berkenaan selamat pulang ke tanah air.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di rumah ibu saudara kanak-kanak berkenaan, Shaleena Nor Shal, 43, di Kampung Wakaf Tok Wali, Melor dekat sini hari ini.
Semalam Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat yang juga Anggota Parlimen Rantau Panjang, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof dan anggota exco kerajaan negeri, Mumtaz Md Nawi, turut meluangkan waktu menziarahi kanak-kanak berkenaan.
Turut serta hari ini Pengarah Tourism Malaysia Kelantan, Nur Aida Ismail dan timbalannya, Kamal Azam Kamaruddin.
Zabedah seterusnya berharap keempat-empat anak Shalwati selesa dengan penjaga mereka yang juga ibu saudara walaupun akan berhadapan dengan masalah komunikasi ketika berada di sekolah.
“Kita berharap Aishah menjadi pengganti kepada ibu buat sementara ini dengan menjaga kebajikan adik-adik dengan dibantu ibu saudaranya sendiri,” ujarnya.
Beliau merasa terharu apabila mengetahui Aishah dan adik beradiknya dapat pulang ke tanah air dan akan menetap di Kelantan (Melor) tempat kelahiran ibunya.
“Saya hari-hari mengikuti perkembangan Aishah dan adik beradiknya melalui media dan kami rakyat Kelantan seluruhnya sentiasa mendoakan kesejahteraan Aishah, ibu bapanya serta adik-beradiknya yang lain,” ujarnya.
Hadir sama dalam sesi lawatan itu Pegawai Penerangan Urusetia Penerangan kerajaan negeri, Norhashimah Deraman dan Dewan Pemuda PAS Kelantan yang diketuai ketuanya Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.
Sementara itu, Shaleena memberitahu beliau akan menjaga kebajikan anak-anak saudaranya itu sebaik mungkin.
Bukan itu sahaja, katanya mereka sebelum inipun sewaktu pulang ke tanah air di rumahnya tempat mereka tinggal.
“Insyaallah, saya akan menjaganya dengan baik, apa lagi mereka adalah anak saudara saya, darah daging saya,” ujarnya.
Menjawab soalan tentang ketegasan kakaknya dalam mendidik anak-anak soal agama, Shaleena mengakui kakaknya memang demikian.
Katanya, bukan soal solat sahaja sebaliknya setiap anak-anaknya terutama yang dewasa wajib khatam al-Quran pada bulan Ramadan.
“Begitu juga dalam bab aurat, Aishah sejak kecil diasuh ibunya supaya menjaga aurat, sebab itu apabila pulang dan tinggal bersama kami, dia sering mengadu rimas kerana terpaksa memakai tudung dalam tempoh yang panjang kecuali bila di dalam bilik,”ujarnya sambil ketawa kecil.
Aishah bagaimanapun melahirkan rasa syukur di atas doa semua rakyat Malaysia termasuk Kelantan di atas kesejahteraan untuk keluarganya sehingga mereka dibawa pulang ke tanah air.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih pada kerajaan Malaysia terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib kerana berusaha membawa kami pulang ke tanah air.
“Apapun saya masih mengharapkan doa rakyat Malaysia seluruhnya supaya ibu bapa saya dibebaskan dari tahanan seberapa segera,” ujar Aishah.
Pada 18 Disember lalu pasangan suami isteri Azizul Raheem Awalludin dan isteri Shalwati Nurshal ditahan reman kerana didakwa memukul anaknya kerana tidak menunaikan solat.
Tahanan reman mereka dijangka tamat pada 10 Febuari ini.
Sejak penahanan itu, keempat-empat anak malang itu Aishah, 14, Ammar, 12, Adam, 11 dan Arif, 7 tinggal dengan keluarga angkat mereka yang juga rakyat Sweden.
Pelbagai usaha dan rayuan dibuat terutama sekali ibu bapa anak-anak berkenaan dan kerajaan Malaysia akhirnya pada Jumaat lalu mereka dibawa pulang ke tanah air dan seterusnya ke Kampung Wakaf Tok Wali, Melor dekat sini. (HD)
No comments:
Post a Comment