MENTERI
Pendidikan,Dato Seri Setia
Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong semasa menyaksikan MoU yang
dimeterai.
Brunei Gadong, Khamis, 20 Februari. -
Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Universiti Al-Azhar,
Republik Arab Mesir terus mempertingkatkan kerjasama dengan mengadakan Penandatanganan Pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU), berlangsung
di Auditorium UNISSA, Jalan Pasar Baharu, di sini.
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin
Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin
Haji Apong hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyaksikan
Majlis Penandatanganan tersebut.
Menandatangani bagi pihak UNISSA ialah
Pemangku Rektornya, Pengiran Anak Dr. Haji Amiruddin Alam Shah bin
Pengiran Anak Haji Ismail, manakala bagi pihak Universiti Al-Azhar
ditandatangani oleh Presiden Universitinya, Profesor Dr. Usamah Mohamed
bin Mohamed Hassan Elabed.
Turut hadir pada majlis itu, Timbalan
Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Setia Awang Haji Yusoff bin
Haji Ismail dan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian
Pendidikan, Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi. Majlis Penandatanganan Mou merupakan kesinambungan daripada MoU yang telah dimeterai pada 2010 dan tamat pada 2013.
Presiden Universiti Al-Azhar, Profesor
Dr. Usamah Mohamed berkata, dengan terlaksananya Majlis Penandatanganan
Memorandum antara Universiti Al Azhar dan UNISSA, pihaknya akan bersedia
memberikan bantuan dalam meningkatkan lagi persefahaman dan kerjasama
dalam segenap bidang khususnya dalam bidang akademik bagi para mahasiswa
dan mahasiswi Negara Brunei Darussalam.
Jelasnya lagi, mereka juga akan
melaksanakan apa yang telah dipersetujui pada Majlis
Penandatanganan
tersebut, dan berusaha menjadikan UNISSA lebih berkembang lagi, di
samping akan mengadakan pertukaran para ulama dan pelajar antara dua
buah universiti bagi merealisasikan hasrat mereka. Beliau juga mendoakan Kehadapan Majlis
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang
Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam supaya sentiasa diberikan
kesejahteraan dan keberkatan dari Allah Subhanahu Wata’ala.
Sebagai salah sebuah universiti tertua dengan usia melebihi seribu tahun, Universiti Al-Azhar terus unggul dan terkenal di dunia sebagai pusat kesarjanaan dan pendidikan. Presiden Universiti Al-Azhar serta rombongan telah tiba di negara ini pada 16 Februari lalu dalam rangka lawatan kerja selama lima hari.
Selain memperbaharui Mou dengan UNISSA,
kunjungan rombongan juga bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai
landskap pendidikan Negara Brunei Darussalam khususnya dalam bidang
Pengajian Islam serta mewujudkan kolaborasi antara kedua-dua buah
universiti khususnya dalam bidang-bidang penyelidikan, penerbitan
pengajian sarjana, pembinaan modal insan serta mobiliti staf dan
pelajar.
Rombongan Presiden Universiti Al-Azhar
ini disertai oleh Naib Presiden Universiti Al-Azhar bagi Hal Ehwal
Pelajar dan Pendidikan, Profesor Dr. Ibrahim Salah Elsayed Soliman
Elhodhod; Naib Presiden Universiti Al-Azhar bagi Pengajian Sarjana dan
Penyelidikan, Profesor Dr. Tawfik Mohamed Noureldin; dan Setiausaha
Agung Universiti Al-Azhar, Mr. Mahmoud Abdelaal Elsayed Shoaib. (IH/Pelita)
No comments:
Post a Comment