Friday, February 21, 2014

UNISSA Brunei - Universiti Al-Azhar Pertingkat Kerjasama


MENTERI Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong semasa menyaksikan MoU yang dimeterai antara Pemangku rector UNISSA, Pengiran Anak Dr. Haji Amiruddin Alam Shah bin Pengiran Anak Haji Ismail dan Presiden Universiti Al-Azhar, Profesor Dr. Usamah Mohamed bin Mohamed Hassan Elabed.
MENTERI Pendidikan,Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong semasa menyaksikan MoU yang dimeterai. 
Brunei Gadong, Khamis, 20 Februari. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir terus mempertingkatkan kerjasama dengan mengadakan Penandatanganan Pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU), berlangsung di Auditorium UNISSA, Jalan Pasar Baharu, di sini.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyaksikan Majlis Penandatanganan tersebut.  

Menandatangani bagi pihak UNISSA ialah Pemangku Rektornya, Pengiran Anak Dr. Haji Amiruddin Alam Shah bin Pengiran Anak Haji Ismail, manakala bagi pihak Universiti Al-Azhar ditandatangani oleh Presiden Universitinya, Profesor Dr. Usamah Mohamed bin Mohamed Hassan Elabed.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Setia Awang Haji Yusoff bin Haji Ismail dan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi. Majlis Penandatanganan Mou merupakan kesinambungan daripada MoU yang telah dimeterai pada 2010 dan tamat pada 2013.

 Presiden Universiti Al-Azhar, Profesor Dr. Usamah Mohamed berkata, dengan terlaksananya Majlis Penandatanganan Memorandum antara Universiti Al Azhar dan UNISSA, pihaknya akan bersedia memberikan bantuan dalam meningkatkan lagi persefahaman dan kerjasama dalam segenap bidang khususnya dalam bidang akademik bagi para mahasiswa dan mahasiswi Negara Brunei Darussalam.
Jelasnya lagi, mereka juga akan melaksanakan apa yang telah dipersetujui pada Majlis 

Penandatanganan tersebut, dan berusaha menjadikan UNISSA lebih berkembang lagi, di samping akan mengadakan pertukaran para ulama dan pelajar antara dua buah universiti bagi merealisasikan hasrat mereka. Beliau juga mendoakan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam supaya sentiasa diberikan kesejahteraan dan keberkatan dari Allah Subhanahu Wata’ala.

Sebagai salah sebuah universiti tertua dengan usia melebihi seribu tahun, Universiti Al-Azhar terus unggul dan terkenal di dunia sebagai pusat kesarjanaan dan pendidikan. Presiden Universiti Al-Azhar serta rombongan telah tiba di negara ini pada 16 Februari lalu   dalam rangka lawatan kerja selama lima hari.

Selain memperbaharui Mou dengan UNISSA, kunjungan rombongan juga bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai landskap pendidikan Negara Brunei Darussalam khususnya dalam bidang Pengajian Islam serta mewujudkan kolaborasi antara kedua-dua buah universiti khususnya dalam bidang-bidang penyelidikan, penerbitan pengajian sarjana, pembinaan modal insan serta mobiliti staf dan pelajar.

Rombongan Presiden Universiti Al-Azhar ini disertai oleh Naib Presiden Universiti Al-Azhar bagi Hal Ehwal Pelajar dan Pendidikan, Profesor Dr. Ibrahim Salah Elsayed Soliman Elhodhod; Naib Presiden Universiti Al-Azhar bagi Pengajian Sarjana dan Penyelidikan, Profesor Dr. Tawfik Mohamed Noureldin; dan Setiausaha Agung Universiti Al-Azhar, Mr. Mahmoud Abdelaal Elsayed Shoaib. (IH/Pelita)

No comments:

Post a Comment