Saturday, February 22, 2014
Wartawan Cerita Detik Cemas Dikepung 5 Jam Di Myanmar
SEPANG: "Kami bernasib baik kerana kira-kira 50 anggota polis datang menyelamatkan kami," kata seorang daripada dua petugas stesen televisyen Al-Hijrah ketika menceritakan detik cemas dikepung selama lima jam oleh 100 penduduk di Sitwee, Rakhine, Myanmar.
Wartawan yang juga penolong penerbit, Mohd Muhaimin Samad, 28, berkata kejadian berlaku kira-kira 8 malam semalam ketika beliau dan jurukamera Mohd Fithri Ahmad, 42, berada di luar hotel penginapan.
"Ketika itu kami baru lepas bertemu sebuah kumpulan kemanusiaan yang lain sebelum dikepung," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba dari Yangon, Myanmar malam ini.
Kedua-dua mereka berada di Myanmar sejak Selasa lepas bagi menyertai misi kemanusiaan anjuran Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) selain merakam dokumentari mengenai kehidupan masyarakat Rohingya di sana.
Beliau berkata kumpulan polis tersebut terus mengiringi mereka masuk ke dalam hotel untuk memastikan keselamatan terjamin daripada dicederakan kumpulan terbabit.
Mohd Muhaimin berkata mereka turut disoal jawab mengenai tujuan kedatangan mereka.
"Masyarakat di situ turut mempersoalkan kedatangan kami namun mujur terdapat seorang dari mereka yang memahami bahasa Melayu, antara persoalan mereka apakah tujuan kami ke situ," katanya.
Setelah keadaan reda, mereka berdua di bawa ke balai polis kira-kira pukul 1 pagi dan berada di situ sehingga pukul 5 petang hari ini sebelum berlepas pulang ke tanah air, katanya.
Katanya walaupun sebelum ini telah beberapa kali pergi ke negara bergolak itu namun ini kali pertama kejadian menakutkan berlaku namun bersyukur kerana rakaman di sana sempat diselamatkan. – Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment