Perbezaan mazhab menurut perspektif ahlul sunnah wal jamaah (1)
MUQADDIMAH
Ketika Rasulullah SAW dilantik menjadi Rasul akhir zaman, kerasulannya bersifat sejagat dan ‘alami. Baginda bukan sahaja berdepan dengan musyrikin Arab yang buta huruf, paling keras dan bebal, bahkan menghadapi seluruh manusia di muka bumi sepanjang zaman.
Ada pun di luar bumi Arab pula, adanya kuasa-kuasa besar dunia yang bertembung, khususnya Rom dan Parsi, di samping China, India, Mesir, Habsyah dan lain-lain. Dalam masa yang sama, adanya pula golongan ahli kitab dan bukan ahli kitab berbagai-bagai agama.
Al-Quran, bukan sahaja menjadi petunjuk yang benar mengenali Allah dan segala akidahnya, beribadat dan cara hidup diri dan bermasyarakat, hubungan manusia dengan Allah.
Al-Quran juga memberi petunjuk menangani berbagai-bagai agama dan kuasa pemerintahan, dengan memaparkan sejarah terdahulu dan semasa. Pendekatan dakwah secara muwajahah silmiyyah diutamakan, perdamaian didahulukan dalam hubungan antara bangsa, negara, kaum dan agama, berdiplomasi dalam menangani pertembungan antara kuasa besar dan kebijaksanaan dalam pertembungan agama, dengan syarat istiqamah dan konsep murunah tanpa hilang petunjuk yang sebenar, serta tegas menghadapi segala tentangan sehingga tidak menyerah kalah, sama ada menang atau mati kerana Allah.
Apapun mazhab, qiblat tetap sama.
MENGHADAPI PERGOLAKAN ANTARA BANGSADi antara petunjuknya ialah firman Allah, maksudnya:
- “Alif, Laam, Miim. Rom telah dikalahkan. Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya. Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (Kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira. Dengan kemenangan yang diberi Allah. Dia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani. (Surah ar-Rum : ayat 1-5)
Kerajaan Rom purba..
Adapun berdakwah secara umum, manusia berbagai-bagai agama dan budaya, sehingga kerajaan yang memerintah negara, Al Quraan memberi petunjuk. Firman Allah, maksudnya :
- “Serulah (berdakwah) ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
- “Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan yang setimpal seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) Sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.”
- “Dan bersabarlah (Wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah Engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah Engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.”
- “Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha amalan yang baik.”
Khusus bagi menghadapi ahli kitab Allah berfirman, maksudnya :
- “Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan Katakanlah (kepada mereka): "Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri (Islam)." (Surah al-Ankabut : ayat 46)
CABARAN DALAMAN UMMAH
Seterusnya umat Islam menghadapi cabaran penyelewengan dalaman, sehingga memecahkan mereka kepada mazhab bukannya sekadar furu’ ilmu fiqh yang di izinkan, bahkan yang menyentuh akidah yang dinamakan firqah dan tasawwuf yang dinamakan tariqat. Walaupun mengaku berada dalam kepompong Islam, tetapi memecahkan kedudukannya daripada kepompong Islam, secara sedar atau tidak.
Dalam hal ini kita perlu membuat pertimbangan berpandukan firman Allah, Maksudnya:
- “Kemudian Kami jadikan al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengendahkan ajaran al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata).” (Surah Surah Fatir : Ayat 32)
Selepas penterjemahan berbagai-bagai ilmu ke dalam bahasa Arab pada zaman Abbasiyyah, sehingga termasuk pengaruh ilmu falsafah, menyebabkan lahirnya perbincangan ilmu akidah yang memecahkan aliran pemikiran dalam aspek akidah dalam kalangan Ahli Sunnah sendiri, kepada aliran Salafiyyah, Asyairah dan Maturidiyyah sehingga dinamakan Ilmu Al Kalam kerana banyak falsafahnya apabila berdepan dengan aliran Muktazilah, Qadariyyah, Jabariyyah dan lain-lain. Muncul pula aliran Batiniyyah yang menafikan amalan syariat yang diwajibkan. Semua aliran aliran tersebut juga mempengaruhi semua kalangan mazhab yang terdahulu yang bermula dengan politik, feqah dan tasawuf.
Umat Islam pula menghadapi al Ghazwu al-Fikri daripada timur dan barat, khususnya selepas masuknya zaman penjajahan baru dan selepas penjajah asing, bukan sahaja terpengaruh dengan tamadun kebendaan yang melampau, tetapi menganut aliran al-Ilmaniyyah (Sekularisma) yang mencipta semangat menentang penjajah, pada mulanya berasaskan nasionalisma dan selepasnya menganut berbagai-bagai ideologi dan teori politik dan ekonomi yang asing daripada Islam. Bukan sahaja liberal kapitalisma dan sosialisma yang tidak menolak agama bahkan melarat kepada komunisma yang menentang semua agama.
Ada juga yang menghina dan mempersendakan hukum-hukum Islam, dalam keadaan tetap mengaku menjadi penganut Islam. Lebih merbahaya lagi adanya ulama yang bersamanya dan melabelkan Islam kepada semua ideologi itu kerana mengampu kepada kerajaan di negeri masing-masing atau tidak memahami perkembangan semasa.
AKIDAH MEMPENGARUHI MAZHAB
Perpecahan umat berdasarkan kepada politik pada awalnya, bukan sahaja mempengaruhi madrasah fiqhiyyah, namun melibatkan juga madrasah akidah dan tasawuf sehingga berpecah kepada mazhab yang banyak.
Abu al-Hasan al-‘Asyari dalam kitabnya Maqalat al-Islamiyyin dan al-Syahrastani dalam al Milal wa Nihal menghuraikan agak terperinci. Madarasah Ahli Sunnah dalam perkara akidah berpecah kepada tiga mazhab - Salaf, As-Syairah dan Maturidiyyah.
Mazhab Syiah berpecah kepada 52 mazhab yang besar dan kecil. Khawarij pula berpecah kepada 16 mazhab. Mu’atazilah kepada 12 mazhab, Jabriyyah kepada tiga mazhab.
Ada kalangan mazhab yang sama akidahnya dengan ahli sunnah dan berkhilaf dalam hukum feqh dan ada pula beberapa hukum feqh yang sama tetapi menganut mazhab muktazilah dan lain-lain.
MAZHAB AHLI Al SUNNAH WA JAMA’AH
Mazhab Ahli Sunnah Wa Jama’ah wajib dipertahankan kebenarannya, walau pun Muktamar OIC terakhir di Makkah merasmikan keputusan Majmak al-Fiqh dibawahnya yang berpusat di Jeddah dan sebelumnya Majma’a Al Buhuth Al Islamiyyah di-Mesir mengisytiharkan lapan mazhab yang lahir dalam kalangan umat Islam yang diiktiraf bernama Islam.
Lima daripada Sunni: Hanafi, Maliki, Syafe’ei, Hambali dan Zohiri, (tanpa menyebut mazhab yang terdahulu di kalangan sahabat dan tabi’ein). Dua daripada Syi’ah: Imamiyyah (Ja’afariyyah) dan Zaidiyyah dan satu mazhab Khawarij , iaitu Ibadiyyah.
Mazhab Ahli Sunnah mengalami proses ilmu dan perjuangan yang lebih mendalam daripada mazhab yang lain, kerana berada di pusat ilmu, seperti Makkah, Madinah, Yaman, Syam, Iraq dan Mesir.
Adapun Mazhab yang lain menjadi terpencil daripada pusat ilmu dan jauh daripada para ulama muktabar yang berjuang secara berdepan menghadapi cabaran.
Menjadikan pendapat yang kuat dari segi hujah yang sahih dan kuat bersumberkan hukum Islam lebih banyak, dan hujah mazhab yang lain banyak yang lemah, namun kita tidak boleh menafikan adanya banyak persamaan dalam beberapa hukum dan adanya pertemuan ilmu berbagai mazhab, kerana berguru dan meriwayat di antara satu sama lain. Seperti di antara Abu Hanifah dan Imam Al Baqir dan anaknya Imam Ja’afar Al Sadeq daripada mazhab Syi’ah. Imam Al Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Soleh bin Hay yang bermazhab Syiah , dan contoh yang lain.
Perlu diketahui juga bahawa zaman mutakhir berlakunya kelahiran kaul daif dan ada yang menyeleweng daripada imam mazhab yang terdahulu apabila berlalunya masa yang lama dan berlakunya pertembungan secara jahil dan taksub. Sehingga ada yang terlalu melampau sehingga membatalkan Islamnya.
Perlu difahami perbezaan antara meningkari Nas al-Quran, Hadis-Hadis Soheh Mutawatir, Ijma’a dan menafikan Hadis Ahad dan adanya kaul daif daripada mazhab sahabat dan tabi’en.
Dalam masa yang sama berlaku pula ta’asub mazhab Sunni sendiri sehingga menolak dan menyesatkan sesama sendiri dan menafikan mazhab para sahabat dan tabi’ein yang sepatutnya dikaji juga.
Bersambung... ke
No comments:
Post a Comment