Hansard Parlimen Malaysia bertarikh 18 Mac
mengenai jawapan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi
Tuanku Jaafar (gambar) di Dewan Rakyat berhubung kes rogol bawah umur diedarkan
kepada media hari ini.
Hansard itu diedarkan oleh Setiausaha Sulit Kanan timbalan menteri itu,
Wan Hamzah Wan Paie berikutan jawapan Wan Junaidi itu didakwa telah
disalah tafsir beberapa pihak.
Selain Hansard bertarikh 18 Mac, turut diedarkan pada sidang akhbar itu
adalah Hansard 19 Mac mengenai kenyataan anggota Parlimen Kuching dari
DAP, Chong Chieng Jen mendakwa jawapan Wan Junaidi itu telah menyakitkan
perasaan kaum lain.
Berikut petikan Hansard jawapan Wan Junaidi:
"Statistik mangsa jenayah rogol yang melibatkan remaja 15 tahun ke bawah
bagi 2012 adalah sebanyak 1,550. Mangsa terdiri daripada 1,243 Melayu
(80 peratus), sebanyak 73 Cina (lima peratus), 45 India (tiga peratus),
dan 189 lagi lain lain bangsa iaitu 12 peratus.
"Bagi tahun 2013, seramai 1,424 mangsa rogol dilaporkan iaitu 1,147 Melayu, 62 Cina, 32 India dan 183 lain-lain bangsa.
"Ini bukan bermakna orang Melayu kebanyakannya secara nisbah melakukan
kes rogol secara sedemikian. Sebenarnya oleh kerana orang Melayu
sensitif sangat kepada kes-kes seks di antara belia ini, maka laporan
mesti dibuat pihak-pihak ini.
"Pihak lain mungkin kurang sensitif kepadanya maka nisbahnya dapat
diterima, perkara yang berlaku itu boleh diterima oleh pihak-pihak lain.
Maka nisbahnya lebih di bawah dan turun sedikit daripada angka yang ada
di balai polis."
Wan Hamzah berkata Wan Junaidi kini terikat dengan peraturan Mesyuarat
Dewan Rakyat 36 (12) iaitu ahli yang berhormat yang dirujuk kepada
Jawatankuasa Hak dan Kebebasan tidak boleh membuat sebarang kenyataan
sehingga Yang Dipertua Dewan membuat keputusan, dijangka Selasa ini.
- Bernama
No comments:
Post a Comment