KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengecam sekeras-kerasnya hukuman mati yang dikenakan oleh Mahkamah Mesir hari ini ke atas 529 orang penyokong Presiden Mesir yang dipilih secara sah menerusi demokrasi, Dr Mohamad Morsi.
“Sesungguhnya hukuman ini merupakan langkah ke belakang yang menjanjikan masa depan yang serba gelap terhadap amalan demokrasi serta rakyat Mesir keseluruhannya,” tegas Presidennya, Amidi Abd Manan dalam satu kenyataan.
Katanya, hukuman itu jelas merupakan rentetan daripada langkah kuku besi yang didalangi oleh regim pemerintah Mesir untuk mengukuhkan cengkaman kuasa mereka.
Cengkaman itu, ujarnya meliputi memberikan kuasa yang lebih besar ke atas Supreme Council of the Armed Forces (SCAF) yang bertindak menafikan samasekali kebebasan serta hak rakyat Mesir untuk bersuara.
Abim, jelasnya menilai hukuman mati yang dikenakan itu merupakan campur tangan regim pemerintah untuk menakut-nakutkan rakyat Mesir menjelang pilihanraya Presiden Mesir tidak lama lagi.
Esok, Selasa 25 Mac 2013, seramai 700 lagi saki baki daripada kira-kira 1,200 para penyokong Morsi pula yang akan dibicarakan atas dakwaan mencetuskan huru hara serta mengancam ketenteraman awam.
Menurutnya, usaha untuk memusnahkan gerakan Ikhwan Muslimin yang bergerak serta berdiri di atas dukungan akar umbi rakyat Mesir semakin berleluasa dengan 'pembunuhan kehakiman' terhadap 529 mangsa terbaru ini.
Tambahnya, anggapan bahawa hukuman ini hanya bersifat “domestik” serta tidak mencakupi kepentingan masyarakat awam di peringkat antarabangsa seharusnya dikikis.
Beliau berkata, pastinya kezaliman terbaru ini bakal merancakkan lagi gerakan diktator negara-negara Arab yang kini bergerak aktif memburu simpatisan Ikhwan Muslimin khususnya di Bahrain, UAE dan Arab Saudi.
“Abim menegaskan bahawa kemelut politik Mesir ini adalah polemik sejagat yang bakal menjejaskan kestabilan politik dunia.
“Kebangkitan rakyat Mesir merupakan simbol kebangkitan demokrasi berinspirasikan rakyat yang tertindas. sejak sekian lama. Sikap membisu serta menutup mata masyarakat antarabangsa merupakan pengkhianatan terhadap demokrasi itu sendiri,” tegasnya.
Oleh itu, kata beliau Abim menggesa rakyat Malaysia serta masyarakat antarabangsa untuk menyuarakan secara lantang tentangan mereka terhadap kezaliman ini.
“Demi ke arah memartabatkan demokrasi, kebebasan, serta karamah insaniah rakyat Mesir dan umat secara keseluruhannya. We are all ikhwan (kita semua adalah bersaudara),” tegasnya lagi.
“Lebih dahsyat dari regim Mubarak,” ujar Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan yang turut mengulas hukuman mati itu menerusi facebook.
Antara yang dijatuhkan hukuman mati itu ialah Mursyidul Am Ikhwan Muslimin, Dr Muhammad Badi’ dan Presiden FJP, Dr Mohamed Saad Katatni.
Sementara itu, PAS mengecam keras hukuman mati yang dijatuhkan mahkamah Mesir terhadap 529 ahli Ikhwanul Muslimin termasuk Mursyid Amnya, Dr Mohammad Badie atas pelbagai tuduhan yang di reka cipta dan menggesa demokrasi dan keamanan dipulihkan di negara tersebut, tegas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. (IH)
No comments:
Post a Comment