Sunday, March 09, 2014

Kes Anwar: Sidang M/Rayuan Tanpa Pakai Jubah. Mengapa?

Anwar Ibrahim memeluk isterinya Datin Seri Wan Azizah dan memberikan sejambak bunga kepada beliau semasa pelancaran jentera pilihan raya Pakatan Rakyat untuk Pilihan Raya Kecil Kajang N25, di Prima Saujana, Kajang, Selangor. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 9 Mac, 2014. 
Anwar Ibrahim memeluk isterinya Datin Seri Wan Azizah dan memberikan sejambak bunga kepada beliau semasa pelancaran jentera pilihan raya Pakatan Rakyat untuk Pilihan Raya Kecil Kajang N25, di Prima Saujana, Kajang, Selangor. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 9 Mac, 2014. 

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa terdapat "arahan" diberikan kepada hakim Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman kepadanya secara tergesa-gesa.
Anwar yang berdepan hukuman penjara lima tahun berkata, situasi semasa hukuman dijatuhkan kepadanya secara jelas menunjukkan wujud campur tangan daripada pihak tertentu.

"Itu kali pertama persidangan Mahkamah Rayuan tanpa pakai jubah.
"Itu kerana ada arahan, you selesaikan semua kes sebelum hari penamaan calon dan mesti halang kemajuan 'Langkah Kajang'," kata Anwar di hadapan kira-kira seribu hadiri di Dataran Saujana Prima, Kajang malam tadi.

Anwar menyifatkan keputusan tersebut membuktikan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) bimbang dengan rancangan "Langkah Kajang" yang dicaturkan oleh PKR.

"Langkah Kajang ini sememangnya takutkan mereka," kata Anwar.

Anwar juga membayangkan dalam tempoh dua bulan berkemungkinan akan terpaksa meringkuk dalam penjara sekiranya gagal merayu dalam kes Liwat II selepas keputusan Mahkamah Rayuan memihak kepada pendakwaraya.

"Saya dalam tempoh dua bulan nampak bebas, sebelum itu tak tau sama ada akan dibawa ke Kajang atau Sungai Buloh
"Kita doa, mudah-mudahan tidak begitu. Itu rencana mereka, Najib dan Rosmah, tapi saya percaya doa dan kebangkitan rakyat akan menentukan perubahan," kata beliau merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Anwar juga membidas peguam Umno, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang dilantik sebagai timbalan pendakwaraya bagi pihak kerajaan sebagai mempunyai motif politik.

"Ini tengok mahkamah, guna peguam Umno. Shafee itu Umno punya peguam
"Tidak baik punya orang, cakap busuk punya peguam, kemudian dia Najib punya peguam, (Tun Dr) Mahathir (Mohamad) punya peguam, lepas itu angkat dia jadi pendakwa," kata Anwar.

Anwar juga mengesyorkan kepada kerajaan supaya mengangkat Shafee menjadi hakim supaya memudahkan lagi kerja kerajaan menghukum pemimpin pembangkang.

"Saya tanya, kenapa tidak terus angkat jadi hakim lagi senang? Dia Umno punya peguam, dia dakwa, dia siasat."

Jumaat lalu, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu. Hakim Datuk Balia Yusuf Wahi yang mengetuai panel tiga hakim itu, bagaimanapun membenarkan permohonan Anwar untuk menangguhkan keputusan itu sehingga rayuan dibuat kepada Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan itu.

Anwar kemudian dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dan dibenarkan meninggalkan mahkamah. – 9 Mac, 2014. (TMI)

No comments:

Post a Comment