Wednesday, March 12, 2014

Lagi Kisah MH370 Terbang Rendah Di Kota Bharu.


Ibrahim Konok menunjukkan lokasi sebuah pesawat yang didakwanya terbang rendah dengan bahagian ekornya kelihatan terbakar ketika melintasi kampung Nechang di Pasir Mas, Kelantan, semalam. - UTUSAN/ Yatimin Abdullah

PASIR MAS 11 Mac - Seorang lelaki mendakwa melihat sebuah pesawat terbang rendah di kawasan Kota Bharu pada pagi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dilaporkan terputus hubungan pada Sabtu lalu.

Pembantu Am di Pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pasir Mas, Mohd. Hisham Seman, 38, mendakwa, dia melihat pesawat berkenaan sekitar pukul 1.30 pagi sehingga 1.45 pagi ketika berada di luar rumah mertuanya di Kampung Pasir Kasar, Sering, Kota Bharu dekat sini.
Dia mengesyaki sesuatu yang tidak kena berlaku selepas melihat pesawat terbabit terbang rendah menuju arah laut pada ketika itu.

"Kebiasaannya pesawat akan membelok atau menghala ke kanan bagaimanapun pada pagi itu ia (pesawat) terus menghala ke laut.
"Selain itu, saya juga hairan kerana pesawat itu melalui kawasan berkenaan pada waktu tersebut yang sepatutnya tiada pesawat kelihatan di ruang udara," dakwanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sejak tiga hari lalu, tiga individu di negeri ini telah tampil mendakwa melihat pesawat terbang rendah di ruang udara pada awal pagi Sabtu lalu.

Sementara itu di TUMPAT, seorang petani mendakwa ternampak sebuah pesawat terbang rendah dengan bahagian ekornya seperti terbakar ketika melintasi Kampung Nechang pada hari kejadian pesawat MH370 dilaporkan hilang pada Sabtu lalu.

Ibrahim Konok, 60, mendakwa, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2 pagi ketika dia berehat selepas membuat batas di kebun cili miliknya yang terletak berhampiran rumah. Dakwanya, pesawat itu terbang rendah daripada biasa seperti mahu melakukan pendaratan kecemasan menghala ke arah laut.

"Logo MAS jelas kelihatan pada badan pesawat itu dan ia terbang menghala ke arah pantai Sri Tujoh.
"Saya juga nampak seperti kebakaran kecil di ekor pesawat. Api jelas kelihatan kerana pesawat itu melintas kawasan ini," katanya.

Dakwa petani itu lagi, kawasan kebunnya itu merupakan laluan pesawat tetapi kebiasaannya menghala ke arah darat tetapi pesawat yang dia lihat itu melawan arus, dari darat menghala keluar ke laut.

"Saya memerhati pesawat itu hingga hilang dari pandangan mata, lebih kurang lima minit dia terbang rendah menghala ke Pantai Sri Tujoh," ujarnya.

Ibrahim berkata, dia telah membuat laporan polis di Balai Polis Chabang Empat kira-kira pukul 12.35 tengah hari kelmarin. (Utusan Online)

No comments:

Post a Comment