Friday, March 07, 2014

Memo Tuntut Harga Lantai Getah RM4 Sekilo.. -PAS & NGO


KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia bersama beberapa NGO hari ini menyerahkan memorandum kepada Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi mendesak harga getah di Malaysia dinaikkan.

Memorandum tersebut ekoran penurunan harga getah beku yang pernah mencatat harga RM2 sekilo pada Februari lalu. Memorandum yang mengandungi lapan tuntutan itu diterima Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr Salmiah Ahmad selepas sesi dialog bersama.

Lapan tuntutan tersebut adalah menuntut penggubalan mekanisma penentuan harga penutupan fizikel (FOB), penetapan harga lantai getah beku, penetapan harga kos proses atau kos kilang, penggunaan alat penyukat Dry Rubber Content (DRC), penyelidikan produk berasaskan getah asli, penerokaan pasaran berasaskan getah asli, peranan aktif dalam International Tripartrate Rubber Council (ITRC), dan kebajikan pekebun kecil getah.

Menurut Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kayat, pendapatan pekebun-pekeun kecil getah tidak seimbang dengan kenaikan harga barang pada waktu ini.

"Getah asli Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia tetapi malangnya pengusaha getah berada di bawah paras kemiskinan.
"Pihak kerajaan sewajarnya mengambil peranan untuk membantu mereka. Justeru kami kemukakan lapan tuntutan ini bagi perhatian pihak kerajaan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai tuntutan mekanisma penentuan harga penutupan fizikel (FOB), Suhaizan berkata, mekanisma penentu FOB  yang lebih mantap perlu digubal serta merta bagi menggantikan sistem penetapan harga yang sedia ada sekarang.

"Operasi panel penetapan harga di bawah LGM mestilah dijalankan secara telus dan perlu melibatkan NGO pekebun kecil yang berpengaruh bagi mewakili mereka yang menerima akibat penurunan harga getah di pasaran dan penentuan FOB harus didedahkan keapda rakyat," katanya.

Tambah beliau juga, harga lantai getah beku perlu ditetapkan pada RM4 sekilogram  dan kerajaan perlu menyediakan subsidi kepada pekebun-pekebun kecil yang telah membantu negara mengeluarkan getah asli.

"Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Persatuan Pekebun Kecil Getah Gen 2, Kampung Nyalas, Melaka, anggaran kos operasi sekilogram getah beku adalah RM3.21.
"Justeru kami mendesak LGM mencadangkan kepada kerajaan untuk menetapkan harga lantai pada harga RM4 sekilogram," katanya.

Turut hadir pada penyerahan memorandum tersebut ialah Pengerusi Gerakan Suara Orang Kampung, Sulaiman Ibrahim, Pengerusi Gerakan Pekebun Kecil Getah Gen 2, Kampung Nylas, Melaka, Abdul Halim Majid, Pengerusi Jaringan Anak Petani Semalaysia (Anak Tani), Mohd Idris Mohd yussof, Timbalan Presiden Panglima Malaysia, Fadhil Mohd Noor Sahani, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) Abdul Malik Ab Razak dan Pengerusi Gerakan Turun Harga barang (Turun), Azan Safar. (HD)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails