Saturday, March 01, 2014

Mengapa Pelajar Islam Tak Pelajari Agama lain? -Dr Steven Selvaraju

Dr Steven Selvaraju 

ANTARA yang berucap pada dialog selesai solat Jumaat semalam bersama Ahli Parlimen Parit Buntar dari PAS Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa di sebuah gereja di Sungai Petani, termasuklah Pengarah Penang Diocesan Pastoral Institute, Dr Steven Selvaraju.

Program dialog bertajuk "Sepetang Dalam Harmoni, Rahmat Untuk Semua" dihadiri kira-kira 100 hadirin yang memenuhi ruang di Church of Christ the King, Sungai Petani, Kedah. Dr Steven Selvaraju berkata adalah wajar dipersoalkan mengapa isu agama yang membawa perbalahan di dalam masyarakat diungkitkan sejak kebelakangan ini.

Bekas pensyarah kolej yang pernah mengajar subjek Moral dan pengajian Malaysia itu berkata rakyat dicanangkan perbezaan dan oleh itu perlu bertanya siapa yang untung daripada isu yang dibangkitkan. Beliau berkata ibu bapa seharusnya tidak bercakap buruk mengenai kaum dan agama lain di hadapan anak mereka, manakala sistem pendidikan pula tidak boleh memecahbelakan murid-murid.

Beliau merujuk kepada dasar yang mewajibkan pelajar bukan Islam di kolej mempelajari pengajian Islam.

"Mengapa pelajar Islam juga tidak mempelajari agama lain?" soal beliau, sambil berkata golongan belia mewakili semua agama harus diberikan lebih peluang bersua dengan masyarakat lain dalam program di gereja dan masjid.

Pada program dialog itu, seorang ahli gereja, Louis Philip Mohan, 62, memberikan pendapat agama sendiri sudah menjadi masalah kerana dieksploitasi beberapa pihak. Katanya, dialog adalah perlu, dan dengan berdiam diri, keadaan akan lebih perit.

Beliau memuji usaha Mujahid mendampingi bukan Islam di rumah ibadat mereka, dan menyeru penganut Kristian mengikut jejak langkah beliau dengan mendampingi penganut lain.

Seorang lagi ahli gereja yang enggan memperkenalkan dirinya menyatakan rasa kagum dengan pengetahuan Mujahid, di samping mendapat tahu bahawa ahli PAS cintakan keamanan. Katanya, sesi dialog yang berlangsung dua jam itu perlu diadakan pada skala lebih besar untuk menarik lebih ramai orang.

Sedangkan pada khutbah Jumaat semalam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sekali lagi mengingatkan umat Islam supaya akur dengan pengharaman penggunaan kalimah Allah oleh penganut lain. Jakim juga menyeru pihak berkuasa menguatkuasakan pengharaman tersebut melalui enakmen di negeri masing-masing. (IH/TMI)

No comments:

Post a Comment