Tuesday, March 11, 2014
MH370: Boleh Guna Bomoh Dengan Syarat... -JPM
Seorang wanita daripada persatuan belia memegang sekuntum bunga ros sambil berdoa agar pesawat MH370 yang hilang ditemui kembali. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 11 Mac, 2014
Kerajaan amat mengalu-alukan usaha semua pihak untuk membantu mengesan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang, dalam apa jua cara selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (bawah) berkata keterbukaan itu tidak menghalang mana-mana pihak menggunakan kaedah masing-masing namun dari segi perbomohan, ia tidak boleh dilakukan sehingga melanggar batas agama.
"Kita alu-alukan semua untuk bantu, sekarang tidak timbul soal mistik kerana yang penting pencarian kita dan kalau hendak mencari mestilah bertepatan dengan landasan agama.
"Saya minta mana-mana pihak jangan buat perlakuan yang bertentangan dengan syariat...dalam kaedah perbomohan, saya minta ia dilakukan tidak bercanggah dengan agama," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Shah Alam, malam tadi.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Perasmian Program Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-35 di sini yang disempurnakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Jamil Khir berkata biarpun tidak semua rakyat dapat menghulurkan bantuan secara fizikal, namun doa yang berterusan supaya pesawat tersebut dijumpai adalah amat diperlukan.
Tambahnya, orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang komen negatif ataupun kutukan berhubung insiden itu sehingga mampu mengguris hati keluarga penumpang pesawat malang tersebut.
Pada Sabtu lepas, pesawat MAS penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal itu hilang dari imbasan radar pada 1.30 pagi, kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA.
Pesawat itu membawa penumpang terdiri daripada warga 14 negara dengan lebih separuh merupakan warga China dan 38 rakyat Malaysia.
Sehingga kini, pesawat itu masih belum dikesan.
- Bernama.
Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-84: Apa Di Balik Misteri MH370 Yang Hilang?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment