Thursday, March 13, 2014

MH370: Kaedah Bomoh Canggah Islam. Jakim, Bertindaklah!


Jakim memutuskan bahawa rawatan perbomohan Ibrahim Mat Zin adalah bercanggah dengan aqidah Islam kerana mengandungi unsur-unsur syirik, khurafat serta penipuan.

PETALING JAYA: Kaedah bomoh yang digunakan untuk mencari penerbangan MH370 yang hilang jelas bercanggah dengan amalan Islam, kata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Dalam satu kenyataan Rabu, Ketua Pengarah Jakim Datuk Haji Othman Mustapha berkata walaupun hukum mengamalkan pengubatan alternatif atau kaedah perbomohan adalah harus di dalam Islam namun mestilah tidak bertentangan dengan syarak.

"Rawatan perbomohan Ibrahim Mat Zin adalah bercanggah dengan aqidah Islam kerana mengandungi unsur-unsur syirik, khurafat serta penipuan.

"Jika dilihat dari sudut alat-alat yang digunakan beliau pula menggambarkan bahawa bahawa raja bomoh ini menggunakan unsur khurafat dan tahyul yang ditolak dalam Islam.

"Panel menjelaskan bahawa Islam adalah saintifik dan menolak segala perbuatan tahyul dan khurafat," katanya.

Katanya, dalam satu Mesyuarat panel Kajian Akidah Jakim pada 22 hingga 23 November 2004, Jakim telah memutuskan bahawa rawatan perbomohan Ibrahim Mat Zin adalah bercanggah dengan aqidah Islam.

Jakim telah terlebih dahulu mengeluarkan Garis Panduan Perbomohan Menurut Islam untuk diteliti dan difahami oleh masyarakat dan ia boleh diakses melalui laman web Jakim www.islam.gov.my.

Othman mengingatkan semua masyarakat khasnya umat Islam agar tidak terpengaruh dan, atau mengamalkan upcara perbomohan yang jelas bertentangan dengan Islam.

"Ia bukan sahaja satu usaha yang sia-sia malah boleh mengundang kemurkaan Allah SWT," katanya.

Beliau turut memuji pihak berkuasa tempatan dan sukarelawan bantuan asing yang menggunakan pendekatan sains, kepakaran teknikal dan teknologi canggih dalam usaha untuk mencari pesawat yang hilang.

"Walaupun tidak ada petunjuk tentang di mana pesawatberada, kita tidak boleh berputus asa. Saya yakin kita akan mendapat petunjuk mengenai misteri pesawat yang hilang dengan izin Allah," katanya. (mStar)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Tunggu apa lagi, buat perundingan dengan raja bomoh itu, dedah di mana salahnya, suruh bertaubat atau hadap ke muka pengadilan. Biar semua orang sedar kesalahannya dan membaiki kejahilan itu.

No comments:

Post a Comment