MH370: Tiada kapal selam diguna untuk operasi mencari.
PETALING JAYA: Tiada kapal selam digunakan dalam
operasi mencari dan mengesan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang
hilang, kata Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.
Katanya,
ini kerana kapal selam tidak sesuai melakukan tugas itu kerana ia hanya
dilengkapi sistem sonar pengesan yang terhad dan tidak berupaya
mengesan objek statik di dasar laut.
"Sonar yang dipasang
pada kapal selam tidak mampu mengesan atau menjejak apa-apa objek yang
berada di paras laut, ia hanya mampu mengesan objek yang bergerak atau
yang mengeluarkan bunyi," katanya dalam sidang media selepas melawat
Pusat Kawalan Trafik Udara, Jabatan Penerbangan Awam di Subang di sini
hari ini.
Turut melawat pusat itu ialah Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga Menteri Pertahanan.
Abdul
Aziz berkata, bagi mengesan objek di dasar laut ia selalunya dilakukan
kapal yang dilengkapi sistem sonar lebih berkeupayaan tinggi dalam
mengesan objek di paras laut seperti kapal selam penyelamat, kapal
hidrografi dan kapal pengesan periuk api.
Katanya, kapal yang
mempunyai kelengkapan itu telah dikerahkan ke kawasan operasi termasuk
kapal MV Mega Bakti, KD Perantau dan KD Mahameru milik Tentera Laut
Diraja Malaysia selain MV Swift Rescue milik Tentera Laut Singapura.
"Jadi
saya harap selepas ini tidak ada lagi tohmahan ataupun pertanyaan
mengenai kenapa kapal selam tidak digunakan dalam operasi mencari MH370
ini," katanya.
Pada Sabtu lepas, penerbangan Malaysia
Airlines (MAS) MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 227 penumpang
termasuk dua bayi dan 12 anak kapal hilang dari imbasan radar pada 1.30
pagi, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang
Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang.
Pesawat itu membawa
penumpang terdiri daripada warga 14 negara dengan lebih separuh
merupakan warga China dan 38 rakyat Malaysia. - Bernama
No comments:
Post a Comment