Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melahirkan kekesalan ke atas keputusan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kerajaan negeri Selangor yang terburu-buru menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) pengstrukturan semula air.
Ketua pembangkang itu berkata Khalid tidak perlu tergesa-gesa menandatangani MoU penting berkenaan yang melibatkan kepentingan rakyat Selangor malah ia boleh ditangguh pada hari yang lain.
"Beliau boleh minta hari yang lain. Namun kita tetap memberi sokongan kekuatan kepada Khalid.
Kerajaan negeri Selangor menandatangani MoU dengan Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air berhubung pemilikan konsesi air di Selangor minggu lalu. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyaksikan upacara menandatangani MoU berkenaan, antara Khalid dan Datuk Seri Maximus Ongkili di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Anwar berkata, kerajaan persekutuan tidak wajar membuat tawaran dengan masa sesingkat itu kepada kerajaan Selangor kerana ia melibatkan perjanjian bernilai tinggi. Katanya, perkara tersebut tidak pernah berlaku dalam mana-mana tawaran perjanjian dan atas sebab itu MoU tersebut terus menjadi tanda tanya.
"Saya sebut depan Khalid dua hari lalu, kerajaan persekutuan mestilah bersabar. Takkanlah malam telefon, esok kita tandatangan pukul 11 pagi.
"Ini tidak pernah berlaku dan menjadi tanda tanya. Kalau betul, bagilah notis untuk tandatangan MoU bernilai RM9 atau RM11 bilion ini," katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Ahli Parlimen DAP, Anthony Loke.
Ketua Umum PKR itu berkata bagaimanapun MoU itu harus ditandatangani demi kebajikan rakyat Selangor agar kehidupan harian mereka tidak terjejas. Katanya, Majlis Pimpinan PR akan menghantar tiga wakilnya iaitu Ahli Jawatankuasa PAS Dr Dzulkefly Ahmad, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen DAP Tan Kok Wai bagi menyampaikan pandangan berhubung MoU itu.
"Ketiga-tiga mereka akan memberi pandangan dan diberi penjelasan mengenai kesan MoU kepada negeri Selangor berhubung tarif dan perjanjian Langat 2.
"Mereka bertanggungjawab memberi penerangan kepada pemimpin Pakatan sebelum apa-apa perjanjian ditandatangani," katanya.
Mustafa pula berkata, satu konvensyen PR akan diadakan pada Sabtu bertemakan "Pakatan Membela Rakyat" yang akan dipengerusikan oleh Exco Selangor, Iskandar Abdul Samad.
"Antara objektif konvensyen itu adalah melihat Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang sebagai satu platform PR ke Putrajaya dan urus tadbir kewangan yang baik," katanya. (IH)
No comments:
Post a Comment