Friday, March 21, 2014

MP Cadang Usul Tubuh PSC Siasat MH370

 

KL: Ahli Parlimen DAP Seremban, Anthony Loke Siew Fook hari ini mencadangkan satu usul agar Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) ditubuhkan bagi menyiasat semua aspek berhubung kehilangan pesawat MH370.

Usul tersebut dicadangkan sebagai pindaan ke dalam usul menjunjung Titah Yang di-Pertuan Agong oleh Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad baru-baru ini di bawah peraturan mesyuarat 26 (1) (a) dan perkara 30 (1).

Dalam usul itu beliau juga mahu perkataan seperti "Dewan yang mulia ini menyatakan sokongan penuh kepada semua usaha operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam kes kehilangan pesawat MH370", dimasukkan.

Menurut beliau, pindaan tersebut sebagai menunjukkan contoh yang baik kepada negara luar bahawa Parlimen Malaysia prihatin dalam perkara tersebut.

"Kita tunjukkan parlimen boleh bersatu padu melangkaui perbezaan politi.
"Saya harap semua ahli parlimen boleh bersetuju dan menyokong usul ini," katanya ketika membahaskan Titah Yang di-Pertuan Agong, sebelum mengemukakan usul tersebut pagi ini.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Dewan bagaimanapun berkata, beliau tidak dapat membuat keputusan segera terhadap usul tersebut dan perlu meneliti syarat dan merujuk peraturan dewan. Katanya, ini kerana usul tersebut dikemukan dalam ucapan dan bukan melalui pembawaan usul khusus.

Sementara itu, DAP hari ini menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Kabinetnya meluluskan penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) bagi menyokong usaha mencari dan menyelamat (SAR) serta siasatan skala besar dalam kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Penasihatnya, Lim Kit Siang (gambar sebelah) berkata, satu e-mel dikirimkan kepada Najib bagi menyatakan hasratnya terhadap penubuhan jawatankuasa itu selaras dengan apa yang diusulkan Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke di Dewan Rakyat hari ini. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails