Friday, March 14, 2014

Perluas Pencarian Ke Lautan Hindi -White House


WASHINGTON: Lautan Hindi mungkin menjadi kawasan pencarian terbaru dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370, kata White House, awal pagi tadi.
Jurucakap White House Jay Carney berkata, tumpuan di Lautan Hindi berdasarkan maklumat baru namun tidak semestinya muktamad.

"Kami dalam perbincangan bersama sekutu antarabangsa untuk memastikan aset yang sepatutnya dikerah ke kawasan itu," katanya.

Namun, Carney tidak memberi penjelasan lanjut mengenai maklumat baru ini. Amerika Syarikat termasuk Tentera Lautnya antara beberapa negara yang terbabit dalam operasi SAR pesawat MH370 yang hilang, Sabtu lalu.

"Terdapat beberapa senario yang masih disiasat mengenai apa yang berlaku kepada penerbangan ini. Kami tidak dapat membuat kesimpulan mengenai apa yang berlaku tetapi pihak kami giat mengambil bahagian dalam operasi SAR ini. Kami sentiasa mencari maklumat, mengikut petunjuk dan bekerja sama dalam siasatan yang diketuai Kerajaan Malaysia," katanya ketika taklimat berita biasanya, di sini. - Reuters

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails