Saturday, March 22, 2014

PRK Kajang: Anwar Ibrahim Menjadi “cult figure” -Kadit Jasin

by A KADIR JASIN


PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri kawasan Kajang, macam juga pilihan raya lain di negara kita, masih mirip kepada hal-hal berkaitan peribadi.

Esok, Ahad 23 Mac pemilih Adun Kajang akan keluar mengundi. Berpandukan aliran semasa dan sejarah pengundian, Pakatan Rakyat melalui PKR akan mengekalkan kerusi itu.

Berbalik kepada kecenderungan yang semakin menular ke arah “cult politics,” adalah tidak memeranjatkan yang agenda, dasar dan peruntukan kewangan tidak dapat mengatasi isu watak dan peribadi.

Jadi tidak hairanlah kalau Anwar Ibrahim menjadi “cult figure” dalam PRK Kajang.

Kalau benar sekali pun laporan bahawa Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi BN, Muhyiddin Mohd Yassin, telah menggesa Puteri Umno supaya mengingatkan pengundi Kajang agar tidak terpengaruh dengan papan iklan yang memaparkan gambar calon PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail, sedang berdoa ia tidak akan memberi kesan besar kepada penyokong pembangkang.

Lagipun orang Islam digalakkan berdoa. Muhyiddin sebagai anak orang alim tentu mengakui dan menghormati doa dan hak seseorang berdoa.

Kalau PKR dan PR menggunakan perwatakan Anwar sebagai bahan kempen PRK Kajang, ia adalah perkara biasa kerana Umno dan BN pun melakukan hal yang sama.

Kita tentu masih ingat bagaimana pada Pilihan Raya Umum (PRU) tahun lalu, Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak begitu yakin bahawa beliau popular dan boleh memberi kemenangan besar kepada BN walaupun parti campuran itu lemah.

Maka beliau menjadikan diri beliau sebagai matlamat dengan slogan seperti “Sokong Saya Undi BN” manakala para strategis beliau meniru kempen pilihan raya presiden Barrack Obama.

Tetapi tanggapan Mohd Najib meleset dan strategi pilihan raya ala-presiden Amerika tidak menjadi.

Sepatutnya, semakin maju pemikiran dan tahap sosial kita, semakin egalitarian pula pendirian kita. Kita akan memilih pemimpin yang berwibawa bukan yang dikenali kerana nama dan keturunan.

Sebaliknya kita masih dikhayalkan oleh nama dan keturunan walaupun kita tahu bahawa bukan semua anak rintik walaupun bapanya borek. Wallahuaklam. - http://kadirjasin.blogspot.com/

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails